Ahad, 27 September 2015 | 11:50am

Bilangan kawasan catat bacaan IPU sangat tidak sihat meningkat, jam 10 pagi

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu semakin membimbangkan setakat 10 pagi ini dengan empat kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, berbanding tiga sebelum ini.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shah Alam mencatatkan IPU tertinggi 279, diikuti Pelabuhan Klang (255), Batu Muda, Kuala Lumpur (250) dan Petaling Jaya (226).

Sebanyak 14 kawasan lain mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan Putrajaya berada pada 197, Banting (187), Sri Aman (185), Cheras, Kuala Lumpur (177), Kuala Selangor (171).

Seremban pula mencatatkan IPU 152, Samarahan (144), Nilai (143), Kuching dan Tanjung Malim masing-masing 141, Port Dickson (132), Sri Manjung dan Jerantut masing-masing 120 serta Bukit Rambai (105).

Bagaimanapun, Bandaraya Melaka yang mencatatkan IPU tidak sihat 101 pada sebelah pagi menurun kepada bacaan IPU sederhana 97.

Sementara itu, 26 kawasan lain turut mencatat IPU sederhana antaranya Sarikei (99), Tawau (96), Kemaman (80), Sibu (77) dan Kuala Terengganu (76).

Hanya lima kawasan mencatatkan bacaan IPU sihat iaitu di Perai (48), Tanah Merah (42), Langkawi (31), Alor Setar (30) dan Kangar (27). - BERNAMA

Berita Harian X