Isnin, 29 September 2014 | 9:15am

Clarity Malaysia sedia pelopori Big Data


KHAN (kanan) dan Kalcina (kiri) memantau gerak kerja proses Big Data di Pejabat AGA Group, Kota Kemuning. - Foto Asyraf Hamzah

PEREKA teknologi dan peranti masa nyata, Clarity Malaysia, merancang mempelopori industri Big Data di negara ini bersandarkan kepakarannya dalam menganalisis dan merangka pelan tindakan strategik yang membabitkan dasar kerajaan.

Malah, anak syarikat Kumpulan AGA itu yang turut menguasai beberapa segmen industri Big Data seperti telekomunikasi dan automotif, optimis mampu membantu menyumbang terhadap usaha memacu pembangunan ekonomi Malaysia dan mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan AGA, Datuk Khan Mohd Akram Khan, berkata secara purata, antara 15 hingga 20 bilion data baharu, merangkumi pelbagai platform seperti media sosial, perbankan dan telekomunikasi dicipta di seluruh dunia.

Sehubungan itu, katanya, kejayaan negara mengoptimumkan Big Data menerusi aplikasi teknologi yang dibangunkan mengikut ciri tersendiri, mampu merencana output atau tindakan lebih tepat. 

"Pada tahun lalu, pasaran ekonomi dunia mempunyai tiga zetabait data, namun hanya 0.25 peratus yang dianalisis untuk kepentingan tertentu.

Proses maklumat

"Saya yakin output atau keputusan yang dijana lebih produktif, jika Malaysia mempunyai komponen kepakaran Big Data Analytic dan teknologi bersesuaian, selain rangka kerja untuk memproses maklumat ini," katanya kepada BH di Shah Alam, baru-baru ini.

Clarity Malaysia yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anthony Peter Kalcina, kini mengorak langkah untuk bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Keyakinan MAMPU dan MDeC itu susulan prestasi Clarity Malaysia menerusi pembentangan di Big Data World Show Malaysia 2014, yang turut dihadiri lebih 500 saintis dan syarikat pemaju teknologi maklumat dari dalam serta luar negara.

Khan berkata, penguasaan negara dalam mengoptimumkan penggunaan maklumat menerusi rangka kerja dan teknologi Big Data bakal menyaksikan peningkatan prestasi kira-kira 25 peratus, manakala perbelanjaan modal (capex) dan operasi (opex) pada tahap minimum.

Beliau berkata, ia berikutan Big Data bukan sekadar menyediakan maklumat terperinci tetapi keputusan alternatif mengikut perubahan semasa yang dipengaruhi pelbagai faktor seperti geopolitik, ekonomi dan sosial.

Berita Harian X