Sabtu, 26 September 2015 | 12:01am

Nikmati nasi ambeng dalam suasana resort


NASI ambeng yang disajikan di Riverstone Eco Resort, Hutan Lipur Sungai Tua. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

NASI ambeng antara sajian masyarakat Jawa yang popular pada satu ketika dahulu, namun kini semakin mudah untuk dilihat sekali gus dibeli dari restoran di bandar utama.

Namun, ada beberapa menu masyarakat orang Jawa yang secara perlahan-lahan mula mendapat minat daripada 'pemburu makanan' atau food hunter seperti pecal selain tiwol, getuk ubi (ubi rebus selepas ditos ditumbuk dengan kelapa).

Begitu juga dengan pisang dan ubi godog atau rebus (godog dalam bahasa Jawa bermakna rebus).

Bagi anda, yang sudah biasa makan nasi ambeng asli, biarpun bukan berketurunan Jawa, pasti akan mengeluh apabila nasi ambeng yang dibeli tidak menepati selera atau kurang sedap.

Nasi ambeng terdiri daripada satu set hidangan iaitu nasi putih dengan lauk ayam atau ayam semur, sayur kacang panjang goreng, mi goreng, ikan masin, serunding kelapa dan sambal goreng Jawa. Ia dihidangkan di dalam sebuah dulang untuk empat atau lima orang di atas satu meja.


PENGUNJUNG menikmati nasi ambeng di Riverstone Eco Resort, Hutan Lipur Sungai Tua. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bagi anda yang sudah puas mencari di merata tempat, namun sehingga kini masih belum bertemu dengan hidangan yang dimasak seperti di tempat asalnya, anda boleh datang ke Riverstone Eco Resort (RER) terletak di Jalan Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Sebaik sahaja anda melepasi Empangan Batu, belok ke kiri jalan menuju ke resort yang terletak di tepi sungai dan dikelilingi hutan menghijau.

RER turut menawarkan perkhidmatan penghantaran sehingga ke pintu pejabat atau rumah. Cara mudah ke sana adalah mengikut jalan raya menuju ke Hulu Yam dari Batu Caves.

Pengurusnya, Hamidah Asararuddin, berkata, sajian nasi ambeng yang dihidangkan di atas talam di restorannya, memang menjadi pilihan ramai bukan saja dari sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, malah dari Johor dan Sarawak.

Beliau berkata, secara tradisinya, nasi ambeng dihidangkan di dalam talam dan dimakan antara empat hingga lima orang.

Katanya, bagi mereka yang pernah bergaul dengan masyarakat Jawa, hidangan nasi ambeng bukan sesuatu yang pelik.

"Bagi mereka yang tidak biasa atau kekok untuk menikmati nasi ambeng di dalam talam, boleh meminta kami menyediakan pinggan.

"Jangan segan, untuk memanggil pelayan atau saya sendiri untuk mendapatkan pinggan," katanya.


PENGURUS Besar Riverstone Eco Resort, Hamidah Asararuddin. - Foto Salhani Ibrahim

Mengenai harga, Hamidah berkata, harga sebungkus nasi ambeng mini adalah RM8, dulang kecil (RM30) dan dulang besar (RM50), manakala minimum tempahan adalah RM150 dan harga itu sudah termasuk kos penghantaran.

Hamidah berkata, selain nasi ambeng, aneka juadah lain turut disajikan seperti masak lemak patin tempoyak, daging salai masak lemak cili padi, sambal goreng Jawa, pecal dan asam pedas ikan tenggiri.

"Lauk tambahan pula berharga antara RM4 dan RM10 bagi satu jenis menu," katanya.

Sementara itu, pakej famili turut ditawarkan ialah RM70 satu set, yang mengandungi nasi ambeng besar, daging salai masak lemak cili api, sago gula Melaka dan minuman.

Bagi yang menggemari minuman kesihatan, wedang serey (minum serai) iaitu minuman herba istimewa yang menggabungkan rasa eksotik serai (serey), halia, kayu manis dan gula Melaka boleh dicuba di resort ini.

Dalam pada itu, kemudahan surau turut disediakan. Surau berkonsep terbuka itu terletak di lereng bukit dengan latar belakang hutan.


RIVERSTONE Eco Resort menyediakan pelbagai juadah yang enak seperti gulai kambing, itik dan rendang arnab. - Foto Salhani Ibrahim

INFO

Riverstone

  • Hutan Lipur Sungai Tua, Jalan Sungai Tua, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.
  • Tel : 013-2080833, 03-92022672.
  • e-mel : etika_riverstone@yahoo.com
  • Koordinat GPS: U 3.298425 T 101.694692
Berita Harian X