Jumaat, 25 September 2015 | 12:00am

Idam bibir secantik Jolie

BIBIR saya tampak semakin jatuh, tidak penuh dan merekah. Gincu yang saya guna tidak mampu mengubah bentuk bibir dan menyerikan wajah. Apakah yang patut saya buat?

Norhana Nordin, Kluang, Johor

Ramai wanita mengimpikan bibir seperti Angelina Jolie dengan bentuknya yang tebal dan tampak sempurna. Wajah juga akan lebih menarik selepas mengoles gincu pada bibir.

Bagaimanapun, bibir akan lebih sihat berwarna sedikit kemerahan dan kelihatan lembap meskipun tidak disapu sebarang losen atau pelembap bibir. Kulit bibir yang tipis akan berwarna sekata. Apabila usia meningkat, warna bibir turut berubah menjadi kusam dan pigmentasi mula terhasil.

Masalah bibir

Masalah yang sering berlaku ialah kulit bibir kering dan mengelupas. Ia biasanya berlaku apabila kita alah kepada gincu atau losen tertentu. Bibir yang kering dan merekah akan perit dan menyakitkan.

Apabila kulit pada bibir bermasalah sudah pasti seseorang tidak dapat mengoles gincu kegemarannya. Jika disapu gincu, kerap kali masalah menjadi lebih teruk dan bibir semakin kering dan gatal.

Ini menimbulkan rasa kecewa kepada wanita yang gemar berhias kerana tanpa gincu, sudah tentu mereka rasa tidak sempurna.

Rawatan sesuai

Pengambilan Vitamin C yang banyak dan ubat sapuan untuk menahan sakit serta mengurangkan keradangan antara yang boleh dilakukan apabila masalah ini terjadi. Pelembap bibir yang mengandungi vitamin, boleh membantu mengatasi masalah itu.

Ada kalanya ulser menjadi serius dan antibiotik diperlukan. Apabila keadaan menjadi serius, ada kalanya ia turut menyebabkan masalah pada gusi dan halitosis iaitu mulut yang berbau. Bagi kes sebegini pengambilan vitamin secara suntikan amat berkesan. Ia lebih cepat bertindak dan kita dapat memberikan dos yang sebenar dengan tepat.

Inginkan bibir menawan?

Bagi mereka yang memiliki bibir yang kecil dan kurang menyerlah, penggunaan filler mampu mengatasinya. Filler yang disuntik pada sekeliling bibir membuatkannya tampak lebih menawan dan seolaholah terlukis indah.

Bagi wanita yang memasuki usia 40-an, warna bibir sudah tentu pudar dan mengecut. Penggunaan filler akan menyerlahkan semula bentuk bibir menjadikan ia lebih anggun dan tebal.

Garisan pada tepi bibir yang melengkung ke bawah menjadikan wajah seseorang tampak muram dan kurang seri. Dalam kata lain, ia membuatkan seseorang tampak lebih tua daripada usia sebenar. Garisan di tepi bibir dinamakan marionette lines dan ia boleh dirawat juga dengan suntikan filler hyaluronic acid.

Bagaimana filler dilakukan pada bibir?

Mula-mula kawasan sekitar bibir dibersihkan dan disapu krim bius bagi menjadikan ia kebas. Selepas itu filler akan dimasukkan dengan kaedah suntikan ke dalam bibir. Hasilnya bibir akan tampak lebih cantik dan menawan.

Teknik mengangkat semula bibir boleh digunakan bagi menjadikan bibir tampak lawa dan menarik.

Penggunaan filler banyak membantu menjadikan wajah berseri semula. Pada usia 40-an adalah sesuai bagi kita melakukan rawatan filler mencantikkan bibir. Pada waktu ini, kekurangan hormon dan kolagen sangatlah ketara. Bergantung kepada jenis filler biasanya kaedah ini mampu bertahan untuk tempoh satu hingga dua tahun.

Lemak menganjalkan

Selain daripada kaedah filler hyaluronic acid, lemak juga boleh digunakan untuk menganjalkan bibir dan membentuk bibir.

Kaedah ini dilakukan dengan mengunakan lemak daripada badan sendiri yang diambil daripada bahagian paha atau pinggul dan diproses.

Setelah diproses, lemak itu boleh disuntik terus kedalam bibir. Penggunaan lemak yang mengandungi kolagen dan stem sel secara semula jadi boleh menyerikan bibir sejurus selepas disuntik.

Lemak yang disuntik juga mampu menahan selama satu hingga dua tahun dan kaedah ini bebas daripada alahan kerana menggunakan lemak daripada badan sendiri.

Berita Harian X