Rabu, 23 September 2015 | 11:49am

U for Life catat nilai perlindungan lebih RM165 juta

KUALA LUMPUR: Perintis platform insurans dalam internet U for Life Sdn Bhd mencatat nilai perlindungan lebih RM165 juta sejak pelancaran awalnya Mei lalu.

Ini mengisyaratkan peningkatan penerimaan dalam kalangan rakyat negara ini yang membeli polisi insurans hayat dalam talian.

Maklum balas itu meyakinkan syarikat itu untuk membuat komitmen pelaburan sehingga RM5 juta untuk tempoh 12 bulan akan datang untuk mencetuskan kesedaran akan pentingnya insurans hayat selain menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan buat pertama kalinya.

Menurut kaji selidik Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) baru-baru ini, rakyat negara ini secara umumnya kurang mendapat perlindungan insurans berbanding negara jiran seperti Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Hari ini insurans hayat dan takaful keluarga menyediakan perlindungan hanya untuk 55.5% daripada jumlah populasi.

Hannover Re dan Tokio Marine Life Insurance Malaysia Bhd bekerjasama dalam menawarkan negara dengan platform insurans hayat dalam talian pertama di bawah U for Life.

Ia direka untuk menawarkan cara mudah, segera dan mampu untuk mendapatkan perlindungan insurans hayat.

Hanover Re adalah firma reinsurans ketiga terbesar dunia dan adalah pemegang saham terbesar dalam kerjasama itu, manakala Tokio Marine Life Insurance Malaysia sebagai penanggung insurans.

Bercakap kepada pemberita pada majlis pelancaran U for Life sebentar tadi, Ahli Lembaga Pengarah Hannover Re, Claude Chevre, berkata tabiat pembelian pelanggan sudah berubah dengan penggunaan teknologi secara ekstensif.

"Kami kini mampu mengenal pasti ruang kosong di pasaran tempatan, sehubugan itu U for Life diperkenalkan.

"Hakikat jumlah yang diinsuranskan melepasi RM165 juta untuk jangka yang singkat adalah petanda kesediaan rakyat Malaysia untuk menerima platform ini bagi membeli insurans hayat dalam talian," katanya.

Berita Harian X