Ahad, 20 September 2015 | 12:00am

Kontroversi Anugerah SEA Write berulang?


PENGARAH Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran. - Foto Azmaidi Abidin

BARANGKALI kesan kontroversi Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada tahun lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat SEA Write Malaysia menerima sebanyak 14 pencalonan tahun ini.

Pencalonan itu datang daripada seluruh negara yang membabitkan persatuan penulis negeri dan institusi kerajaan selain orang perseorangan.

Pengarah Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran, berkata pencalonan sebanyak itu menandakan khalayak sastera kebangsaan mula sedar keperluan pencalonan yang melayakkan seseorang pengarang dinilai dan diangkat sebagai penerima SEA Write mewakili Malaysia.

Tegasnya, DBP mengambil maklum balas orang ramai dan belajar daripada kontroversi yang melanda SEA Write pada tahun lalu, sekali gus menjanjikan penilaian serta pemilihan akan dibuat dengan sebaik mungkin.


CALON SEA Write Malaysia, Zam Ismail. - Foto Azmaidi Abidin

Lebih ramai cerpenis

"Mungkin satu daripada sebabnya adalah ranah sastera kebangsaan memiliki lebih ramai pengarang genre cerpen berbanding puisi yang menjadi faktor kami menerima lebih banyak pencalonan pengarang pelbagai latar usia dan budaya," katanya kepada Sastera BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah pencalonan yang datang daripada persatuan penulis negeri juga sangat menggalakkan meskipun masih ada persatuan penulis negeri yang 'tidak terpanggil' untuk membuat pencalonan, sebaliknya lebih selesa mengambil tindakan tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, kata Abang Salehuddin, pencalonan yang banyak dianggap sebagai reaksi yang baik daripada khalayak sastera dalam usaha DBP untuk terus memantapkan pelaksanaan SEA Write.

"Apabila ada ramai calon, lebih mudah kita membuat pilihan. Kami akan menilai calon yang selayaknya diangkat, sekali gus memastikan tidak ada pengarang yang terlepas," katanya.


DR Malim Ghozali membaca puisi pada Moreh Edisi Dinihari di Sanggar Damai Abadi, Kampung Bukit Kapar, Klang. - Foto Aziah Azmee

Sukar puaskan hati semua

Namun, disebabkan sastera itu bersifat subjektif, Abang Salehuddin mengakui, pihaknya sangat sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

"Sudah menjadi perkara biasa, ada pihak yang tidak puas hati selepas sesuatu keputusan diumumkan tetapi kami berjanji untuk memastikan setiap kelemahan diperbaiki dan pengarang yang selayaknya diangkat," katanya.

Menjawab desas-desus keputusan akhir SEA Write kononnya dipengaruhi individu tertentu di DBP, Abang Salehuddin menyifatkan pandangan itu tidak tepat.

"Setiap tahun, kami melantik juri berlainan mengikut genre penilaian tahun itu, sekali gus menjadikan setiap keputusan datang daripada mesyuarat yang teliti dan pemilihan dibuat berdasarkan kriteria yang digariskan.

"Justeru, tidak berlaku 'pengaruh' daripada mana-mana individu dalam menentukan keputusan," katanya.

SEA Write kali ini mempertaruhkan genre cerpen dan seperti kata Abang Salehuddin, ranah sastera Malaysia memiliki lebih ramai cerpenis dan novelis berbanding penyair mapan.


PENYAIR, Zaen Kasturi pada malam Deklamasi Puisi ASEAN 2015. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Persatuan tidak hantar pencalonan

Justeru, tidak keterlaluan sebenarnya untuk menganggap 14 pencalonan itu sebagai sedikit apatah lagi jika berlaku pertindihan pencalonan.

Malah, Sastera BH dimaklumkan ada persatuan penulis besar yang tidak menghantar pencalonan sehingga memungkinkan seseorang pengarang yang terkenal dalam genre cerpen pada peringkat kebangsaan, tetapi tidak menjadi ahli persatuan negeri, tidak tercalon.

Sekiranya hal itu berlaku, apakah kontroversi pengarang tercicir akan berulang kerana panel dikatakan 'tidak ada pilihan', selain daripada mengambil daripada senarai akhir yang ada, meskipun calon berkenaan tidak sekuat pengarang yang tidak dicalonkan.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, SEA Write tahun ini sangat mendebarkan dengan 14 pencalonan yang membariskan pengarang hebat dari seluruh negara.

Lebih menambah debar, pasti saja apabila ia membabitkan pengarang besar tahun 1970-an dan 1980-an, malah tahun 1990-an yang diketahui kerap memenangi sayembara sastera, selain hasil karya yang menggugah pemikiran.

Namun, sehingga keputusan belum diumumkan, khalayak sastera dipersilakan untuk berspekulasi.

INFO

Anugerah SEA Write

  • Pengiktirafan berprestij yang diwujudkan bagi mengangkat pengarang terkemuka di Asia Tenggara, iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.
  • Dimulakan pada tahun 1979 dengan objektif utama untuk memupuk kesedaran dan pemahaman meluas mengenai kekayaan sastera dalam kalangan 10 negara ASEAN.
  • Dijayakan dengan kerjasama Kerajaan Thailand, Yayasan Jim Thompson, Hotel The Oriental Bangkok dan Thai Airways.
  • Mengiktiraf semua genre penulisan iaitu puisi, cerpen, novel dan drama. Berbanding sebahagian negara ASEAN lain, Malaysia melaksanakannya dengan menggilirkan setiap genre itu.
Berita Harian X