Sabtu, 19 September 2015 | 12:00am
KARI kepala ikan muncul tarikan di kalangan pelanggan ke Restoran Kandar Nordin.
NORDIN Abdul Kadir sedang menyiapkan kari kepala ikan di restorannya.
PELANGGAN boleh memilih di antara kepala ikan jenis jenahak, kerisi, kerapu dan merah di Restoran Kandar Nordin.

Penangan kari kepala ikan Bidor

JIKA anda dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau Teluk Intan melalui jalan Persekutuan dan tercari-cari tempat makan yang menyelerakan, dicadangkan untuk singgah ke pekan Bidor untuk menikmati masakan kari kepala ikan.

Terletak di Jalan Besar, masakan istimewa yang ditawarkan oleh Restoran Kandar Nordin memang cukup dikenali di kalangan penduduk atau pelawat yang melalui pekan kecil ini.

Ini kerana kuah kari yang digunakan dikatakan daripada adunan rempah ratus tradisional yang menjadi rahsia kepada pengusahanya.

Kepala ikan yang ditawarkan juga pelbagai jenis seperti jenahak, kerisi, kerapu dan merah. Bagi memastikan bekalan ikan sentiasa segar, pengusahanya membuat tempatan daripada nelayan di Pantai Remis dan Sungai Besar, Selangor atau nelayan di Hutan Melintang dan Teluk Intan di Perak.

Bermula seawal jam 11 pagi, orang ramai sudah mengerumuni restoran ini kerana jumlah kepala ikan yang disediakan adalah terhad iaitu 25 kepala sehari. Sekitar jam 2 petang, semuanya sudah habis.

Jadi, ada pelanggan yang sanggup membuat tempahan terlebih dahulu semata-mata mahu menikmati keenakan kepala ikan di restoran ini.

Pengusaha Restoran Nasi Kandar Nordin, Nordin Abdul Kadir, 50, berkata, ramuan masakan kari kepala ikan berasal daripada resepi bapanya yang mengajar beliau memasak sejak di bangku sekolah lagi dan dari situ timbul minat untuk berniaga kerana masakan itu mampu menambat hati pelanggan.

"Ramuan yang digunakan adalah daripada rempah ratus tempatan dan diadun sendiri serta dimasak secukupnya bagi memastikan mutu kari yang dihasilkan itu memang enak.

"Kepala ikan yang saya perolehi dari pasar itu dibasuh dengan air garam atau asam untuk menghilangkan rasa hanyir sebelum dimasukkan ke dalam periuk yang berisi kuah kari yang sudah dimasak dengan secukupnya.

"Kepala ikan dibiarkan rendam di dalam kuah kari kira-kira 25 minit sahaja untuk memastikan isinya tidak hancur dan pelanggan dapat menikmati keenakan kepala ikan yang segar dengan selera untuk makanan tengah hari," katanya.


NORDIN Abdul Kadir menunjukkan menu kari kepala ikan di restorannya.

Harga tidak jadi masalah

Soal harga bukan masalah kepada pelanggan di restoran ini kerana masing-masing berasakan kepuasan dan keenakan kari kepala ikan yang dinikmati itu setimpal dengan wang yang dibelanjakan.

Nordin berkata, harga sebenarnya mengikut jenis dan saiz kepala ikan.

Kepala ikan kerapu harganya antara RM65 sehingga RM135, manakala bagi ikan lain seperti ikan jenahak, kerisi dan merah pula sekitar RM65 sehingga RM75 sahaja.

Katanya, permintaan kari kepala ikan setiap hari memang menggalakkan dan sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Selain kari kepala ikan, restoran ini turut menyediakan makanan mengikut cita rasa utara dengan mengekalkan masakan era 70-an seperti mi rebus, pasembor dan mi goreng istimewa.


PENGUNJUNG Restoran Kandar Nordin menikmati kari kepala ikan.

INFO

Restoran Nasi Kandar Nordin

  • Lokasi: Jalan Besar, Bidor, Perak
  • Menu utama: Kari Kepala Ikan - Jenahak, kerisi, kerapu dan merah
  • Harga: Antara RM65 hingga RM135 seketul (bergantung kepada jenis dan saiz kepala ikan)
  • Waktu Operasi: 11 pagi hingga 2 petang
Berita Harian X