Jumaat, 18 September 2015 | 12:00am

Lambakan produk antioksidan

Saya melihat banyak produk kecantikan dan makanan tambahan yang mengandungi bahan antioksidan. Sejauh manakah ia membantu menjadi agen antipenuaan?

Melissa Zoel
Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Antioksidan didefinisikan sebagai zat yang dapat melewatkan proses oksidasi dalam badan. Oksidasi adalah reaksi kimia membabitkan pengikatan oksigen, pelepasan hidrogen atau elektron.

Secara umumnya, bahan perosak tubuh bertindak ke atas sel. Bahan ini masuk ke dalam tubuh manusia melalui pemakanan. Makanan mempunyai pengawet dan pewarna akan menyebabkan sel tubuh rosak. Bahan cemar ini dinamakan oksida atau radikal bebas.

Faedah antioksidan


ANTIOKSIDAN boleh diperoleh daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. - Foto hiasan

Apabila masuk ke dalam tubuh, ia akan bertindak kepada sel dan menukar sel boleh rosak. Sel yang rosak dipanggil sebagai mutasi.

Sel yang mengalami mutasi bersifat ganjil. Ia mempunyai jangka hayat yang panjang dan mampu membiak dengan cepat. Ia boleh bergerak dalam darah dan menuju ke organ badan sehingga menyebabkan kanser.

Kanser boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ dalam tubuh dan membawa maut. Sesetengah orang mempunyai genetik untuk mendapat kanser. Ketahanan tubuh yang lemah sebenarnya dapat diperbaiki jika jumlah antioksidan wujud di dalam darah.

Antioksidan ini boleh diperoleh daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

  • Antioksidan daripada vitamin Vitamin C boleh diperoleh daripada buah-buahan, manakala vitamin E daripada minyak.
  • Antioksidan daripada kumpulan enzim SuperoksidaDismutse(SODs), katalase dan peroksidase. Antioksidan karotenoid seperti likopen dan karoten banyak terdapat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Antioksidan daripada polifenol Sumber polifenol yang boleh didapati di dalam teh, kopi, buah-buahan, minyak zaitun dan kayu manis.
  • Antioksidan semula jadi Glutathione adalah bahan semula jadi boleh ditemui dalam buah-buahan seperti epal dan manggis. Saintis percaya, kehadiran radikal bebas boleh mengancam kesihatan dan menjadi penyebab utama kepada pelbagai masalah penyakit kronik.

Kehadiran radikal bebas juga membimbangkan kerana ia dikatakan boleh mempercepatkan proses penuaan dan meningkatkan risiko penyakit seperti jantung, strok, kencing manis, artritis serta kanser.

Saintis menganggarkan, lebih 10,000 radikal bebas menyerang sel badan setiap hari. Radikal bebas ialah atom atau molekul yang sangat aktif dan tidak stabil kerana mempunyai elektron tidak berpasangan dalam strukturnya.

Serangan radikal bebas

Untuk menjadi stabil, atom atau molekul ini perlu mendapatkan elektron. Caranya ialah dengan 'mencuri' elektron daripada molekul lain dan molekul ini pula kemudian akan menjadi radikal bebas kerana ia tidak lagi stabil.

Bagi mengembalikan kestabilannya, molekul kedua ini akan mencuri elektron daripada molekul lain dan proses ini akhirnya akan membentuk rantaian radikal bebas. Rantaian reaksi spontan ini akan menyebabkan kerosakan fungsi sel dan boleh membawa kepada kematian awal sel berkenaan.

Radikal bebas dikenal pasti berpunca daripada beberapa sumber:

  • Makanan tidak sihat makanan berlemak, bergoreng dan hangus (seperti kepingan hitam pada sate atau ikan bakar).
  • Minuman beralkohol dan rokok - sebatang rokok membebaskan tiga trilion radikal bebas ke dalam sistem peredaran darah.
  • Tekanan - semua bahan kimia dan sesetengah hormon endokrin menghasilkan radikal bebas
  • .

  • Bahan kimia atau toksik di dalam udara (seperti racun serangga) dan sinaran ultra ungu daripada cahaya matahari.
  • Pencemaran alam sekitar - air dan udara.

Berlumba-lumba keluarkan produk antipenuaan


RAMAI penyelidik berlumba-lumba mencipta barangan atau makanan tambahan mengandungi antioksidan. - Foto hiasan

Penghasilan radikal bebas berlaku sepanjang masa dan ia sukar dikawal. Bagi mengimbangi kemusnahan sel akibat serangan radikal bebas ini ramai penyelidik terutama dalam bidang kesihatan dan kecantikan berlumba-lumba mencipta barangan atau makanan tambahan mengandungi antioksidan.

Antioksidan adalah bahan yang dikenal pasti dapat menghapus atau melemahkan radikal bebas dengan 'mendermakan' elektron kepada radikal bebas. Inilah caranya antioksidan bertindak menstabilkan radikal bebas, sekali gus melindungi kerosakan sel badan.

Peranan antioksidan

1 Melambatkan proses penuaan dengan merendahkan paras kolesterol.

2 Mengurangkan risiko atherosclerosis (penyakit penyempitan berlaku pada saluran darah akibat pengumpulan lemak.

3 Mengurangkan risiko segala jenis kanser dan membantu melindungi penyakit jantung, strok dan alzheimer.

4 Melambatkan pertumbuhan kanser dan membantu badan menyingkirkan toksik karsinogen (penyebab kanser).

5 Kesihatan mata, elak masalah penglihatan dan melindungi badan daripada kerosakan yang berpunca daripada asap rokok.

Berita Harian X