Khamis, 17 September 2015 | 5:26pm

LPM tidak adakan semula peperiksaan kertas Bahasa Cina, UPSR: Chong


TIMBALAN Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.. - Foto Surianie Mohd Hanif

SERDANG: Tiada keperluan untuk menduduki semula peperiksaan kertas Bahasa Cina Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kerana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mendapati ia mampu dijawab pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon.

Katanya, dalam pertemuannya dengan pegawai LPM dua hari lalu, beliau dimaklumkan soalan kertas peperiksaan itu direka berdasarkan prosedur sedia ada dalam Kementerian Pendidikan selain mengambil kira praujian di sekolah.

"Soalan ini boleh dijawab murid kita. Saya ingin mengulangi kenyataan tiada keperluan untuk pelajar menduduki semula peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sistem Interaksi Sekolah (SIS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kembangan di sini hari ini.

Chong berkata, ramai ibu bapa dan guru meluahkan rasa tidak puas hati berikutan soalan peperiksaan Bahasa Cina (Pemahaman) menggunakan artikel klasik dari China yang juga digunakan dalam silabus sekolah menengah di Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Pemuda MCA, bagaimanapun tidak bersetuju dengan penggunaan artikel dan penggunaan kosa kata China yang tidak biasa digunakan di kalangan murid di Malaysia.

"Kosa kata yang digunakan adalah berbeza di Malaysia, China, Taiwan atau Hong Kong. Contohnya, perkataan 'pasar' yang digunakan dalam konteks Malaysia tidak digunakan di China atau Taiwan.

"Maka, kita tidak perlu terikut-ikut dengan standard China, sebaliknya perlu mempunyai standard yang sesuai dengan Malaysia," katanya.

Chong berkata perkara tersebut turut dibincangkan dengan pegawai LPM dan mereka akan membawanya ke lembaga untuk membuat penyesuaian bagi peperiksaan akan datang.

Mengenai SIS, Chong berkata Kementerian Pendidikan menyambut baik inisiatif SMK Seri Kembangan dan EMM Education Technology Sdn Bhd membangunkan sistem yang digunakan di peringkat dalaman sekolah untuk memantau kehadiran dan disiplin pelajar.

Katanya, SIS sistem pertama digunakan di sekolah menengah di Malaysia, merupakan satu platform membolehkan pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa berkomunikasi secara berkesan untuk mengurus dan memantau pelajar.

"Penggunaan ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) ini akan membantu pengurusan sekolah, mengurangkan beban guru serta tidak membebankan kewangan ibu bapa, jadi tiada halangan sekolah untuk melaksanakan sistem ini," katanya.

SIS akan mula dilaksanakan di SMK Seri Kembangan yang mempunyai kira-kira 3,350 pelajar Oktober ini di mana ibu bapa hanya perlu membayar RM2.50 untuk anak pertama dan RM1.25 (anak kedua) bagi memantau kehadiran mereka di sekolah.

Sekiranya mereka tidak hadir, maka khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar untuk memaklumkan perkara ini.

Selain itu, ibu bapa boleh mengakses kad laporan elektronik anak mereka pada bila-bila masa selain memantau kerja sekolah melalui sistem ini. -- BERNAMA

Berita Harian X