Khamis, 17 September 2015 | 7:00am

Manfaat sejarah sebagai panduan bina masa depan


MALAYSIA kini dikenali dunia hasil pembangunan dan semangat bersatu padu rakyat. - Foto hiasan

PENGHAYATAN sejarah penubuhan Malaysia penting kepada rakyat negara ini supaya lebih menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu yang rela berjuang, berkorban jiwa raga dan nyawa demi menuntut kemerdekaan serta menyatukan Tanah Melayu dengan Tanah Borneo menjadi negara bernama Malaysia.

Tanpa generasi terdahulu dan pengorbanan mereka, kita tidak mampu menikmati keindahan alam tanah air serta tidur lena di tanah tumpah darah ini.

Justeru, pengetahuan mengenai sejarah negara penting sebagai tunjang kepada pembentukan bangsa.

Cerdik pandai sering berkata, sejarah adalah guru terbaik untuk mendidik manusia menjadikan sesuatu yang lalu sebagai teladan atau sempadan. Sejarah adalah kebijaksanaan silam yang boleh dimanfaatkan untuk membina masa depan.

16 September bukan sekadar dirai

Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 bukan sekadar untuk diraikan, tetapi menjadi panduan kepada generasi sekarang supaya menghargai serta menghayati pembangunan dilalui negara hingga mencapai tahap seperti hari ini.

Mengimbau sejarah penubuhan Persekutuan Malaysia pada tarikh keramat itu menandakan penyertaan Malaya, Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia. Persekutuan Malaysia dirasmikan dan diisytiharkan Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Perisytiharan dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah serta 30,000 rakyat berbilang kaum.

Bagaimanapun, penubuhan Persekutuan Malaysia ditentang hebat Indonesia dan Filipina. Indonesia tidak senang dengan penubuhan Persekutuan Malaysia lantas melancarkan konfrontasi ketenteraan di bawah slogan 'Ganyang Malaysia' yang berlanjutan sehingga 1966.


GENERASI kini perlu menghayati sejarah pembentukan Malaysia. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pada masa sama, Filipina menuntut haknya ke atas Sabah atas hujahan perjanjian yang dimeterai antara Kesultanan Sulu dengan pihak British. Brunei sepatutnya masuk dalam penubuhan Persekutuan Malaysia membatalkan penyertaan setelah berdepan pemberontakan besar-besaran di Brunei pada penghujung 1962.

Selepas menempuh pelbagai cabaran, akhirnya pada 9 Julai 1963, perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia dimeterai di London hanya selepas Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan menyatakan, lebih 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju dengan cadangan kemerdekaan melalui penggabungan bersama Persekutuan Tanah Melayu.

Tarikh perasmian pengisytiharan Persekutuan Malaysia telah ditangguhkan daripada 1 Jun 1963 kepada 31 Ogos 1963 kerana menunggu Laporan Suruhanjaya Cobbold. Namun tarikh itu pula ditangguhkan selepas Indonesia dan Filipina memperhebatkan tentangan mereka terhadap penubuhan Persekutuan Malaysia.

Diisytihar cuti am

Akhirnya, 16 September 1963 menjadi hari secara rasminya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Hari Malaysia sebelum ini adalah cuti am di Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri, tetapi pada 2010, Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti am di semua negeri di Malaysia.

Mengenali sejarah negara memberi impak besar khususnya kepada generasi muda untuk menghargai keamanan serta kemakmuran seterusnya memastikan pengorbanan mereka yang membentuk Malaysia merdeka sentiasa dihargai.

Sudah 52 tahun Malaysia dibentuk dan sepanjang tempoh itu tentunya pelbagai dugaan, cabaran serta kesulitan dilalui pejuang, pemimpin dan generasi terdahulu. Justeru, adalah rugi andai segala kesukaran dan kepayahan itu disia-siakan pihak yang mempunyai kepentingan hingga meruntuhkan penyatuan Malaysia.

Perlu diakui, kekuatan Malaysia terletak pada pembangunan di semua negeri yang menjana ekonomi negara, kestabilan serta semangat bersatu padu rakyat keseluruhannya. Bersama kita pelihara negara menjadi Malaysia yang dikenali dunia.

Penulis ialah EXCO Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Berita Harian X