Khamis, 17 September 2015 | 12:04am

Haram guna tangkal, azimat

Soalan: Saya mendapati sesetengah restoran menggunakan tangkal sebagai pelaris. Apakah pandangan syarak dalam isu ini?

Jawapan: Tangkal diertikan sebagai perkara yang digunakan bagi menolak bala seperti penyakit, hantu, jin dan lain-lain. Tangkal biasanya dipakai atau digantung pada leher, tangan atau kadang-kadang diletak di bawah bantal.

Permasalahan tangkal sudah lama bertapak dalam masyarakat Arab jahiliah awal sehingga meresap masuk ke alam Melayu, malah penggunaannya diterima pakai dan diamalkan oleh masyarakat dahulu hingga kepada masyarakat moden.

Penggunaan tangkal untuk apa-apa tujuan sama ada rawatan, mengelak diri daripada kemudaratan ataupun sebagai pelaris adalah diharamkan kerana ia mengandungi elemen syirik.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya jampi mantera dan tangkal serta ilmu pengasih adalah syirik." (Sunan Abi Daud).

Pengertian azimat pula adalah bahan terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu atau sisik tenggiling dipakai pada bahagian tertentu tubuh, seperti di pinggang, serta tempat dianggap mempunyai sakti dan boleh mengelakkan penyakit serta bencana.

Selain itu, ia boleh ditakrifkan sebagai jampi atau memohon pertolongan atau bantuan untuk memperoleh sesuatu perkara dengan menggunakan kekuatan melampaui kekuatan tabii.

Justeru, dapat difahami bahawa azimat adalah suatu bentuk permohonan mendapatkan pertolongan bagi manfaat diri atau untuk memudaratkan orang lain menggunakan objek dan ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian serta kuasa ghaib melampaui kekuatan semula jadi (tabii) apabila dijampi atau dipuja.

Bungkus dengan kain kuning

Antara bentuk azimat ialah menjampi batu, cincin, rantai, baju, keris dan sebagainya untuk dijadikan pelindung diri seperti ilmu kebal, pengasih atau sebagainya. Membungkus tulisan, rajah atau objek tertentu dengan kain kuning dijadikan tangkal.

Berjampi atau berazimat menggunakan kata-kata dicampuradukkan dengan kata-kata sihir dan kufur yang tidak diketahui maknanya seperti "Bikana, makana, Nabi Yakun, Numa Yakun Akulah sebenar-benar Zat Allah."

Ada juga dakwaan bahawa tangkal hanya ikhtiar. Ungkapan itu mengelirukan kerana niat baik tidak boleh menghalalkan cara yang haram. Oleh itu, semua bentuk azimat yang dinyatakan adalah diharamkan.

Hakikatnya, penggunaan tangkal tidak menambahkan kepada yang terbabit selain daripada kelemahan kepada diri sendiri. Ia bukan cara mengelak bala yang berlaku atau bakal berlaku, sebaliknya semakin mendekatkan manusia syirik kepada Allah SWT.

Ibnu Qayyim berkata: "Seseorang yang benar-benar bertawakal tidak akan bergantung kepada makhluk seperti tangkal dan sebagainya. Tambahan pula Nabi Muhammad SAW dan sahabat tidak bertangkal, mereka sentiasa bertawakal."

Ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kepada Allah jugalah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang yang beriman." (Surah al-Ma'idah, ayat 23)

Namun, bagaimana pula tangkal menggunakan ayat al-Quran? Sebahagian ulama menolak tangkal menggunakan ayat al-Quran berdasarkan kepada beberapa hujah iaitu larangan penggunaan tangkal adalah umum dan menyeluruh, sama ada menggunakan ayat al-Quran mahupun selain daripada itu.

Mengharuskan penggunaan tangkal yang mengandungi ayat al-Quran akan mendedahkannya kepada kehinaan kerana orang yang menggantungnya akan membawa ke tempat najis ketika membuang air dan lain-lain.

Ia akan membuka ruang untuk tidak menghormati al-Quran serta meringankannya dan ini bertentangan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.

Malah, Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai petunjuk manusia ke jalan yang lurus, bukan untuk digunakan sebagai tangkal, azimat, penjaga atau pendinding.

Panduan kehidupan

Ayat al-Quran bukan digunakan untuk digantung atau dijadikan tangkal mahupun azimat. Al-Quran digunakan untuk diamati maknanya, difahami tuntutannya, dipraktikkan hukumnya dan dijadikan panduan kehidupan untuk mendapat keredaan Allah SWT di dunia serta akhirat.

Al-Quran juga diturunkan untuk dibaca dan dihafal, dibaca untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT dan membentuk jati diri mentaati Allah SWT.

Namun, terdapat sebahagian ulama cenderung untuk mengharuskan penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal, malah Ibnu Mas'ud serta muridnya menghukumkan makruh dalam penggunaan tangkal sebegini rupa.

Memandangkan keperluan memelihara kesucian al-Quran itu adalah suatu tuntutan, maka larangan penggunaan ayat al-Quran sebagai tangkal adalah lebih selamat untuk diambil sebagai sandaran hukum.

Berita Harian X