Rabu, 16 September 2015 | 12:04am
KANANG ketika awal perkhidmatannya dalam tentera. - Foto NSTP
GAMBAR kenangan Kanang (kiri, barisan depan) bersama rakan sepasukan sewaktu berkhidmat di dalam tentera. - Foto NSTP
KANANG (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan ketika berkhidmat dalam Platun Risik Gempur (UCIS), Batalion Kelapan, Rejimen Renjer Diraja. - Foto NSTP
KANANG sentiasa mempamerkan semangat patriotik setiap kali sambutan Hari Malaysia. - Foto NSTP

Kanang dikenang sebagai wira terbilang


KIRA-KIRA empat bulan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Temenggong Datuk Kanang anak Langkau pernah berkata: "Anggota pasukan keselamatan harus berjuang sebagai pahlawan sejati, bukannya menjadi pengkhianat bangsa yang mudah dijual beli hingga menggadai keselamatan negara."

 Bagi Pahlawan Negara itu, tiada maknanya tubuh dibaluti pakaian seragam pasukan keselamatan jika ada niat lain di hati dan sengaja menjebakkan diri dengan anasir yang mahu menggugat keamanan serta keharmonian negara.

Mengimbau perbualannya dengan sekumpulan wartawan selepas sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai 2012, Kanang, mengakui perjuangan anggota pasukan keselamatan ketika ini lebih mencabar kerana mereka bukan lagi meredah hutan belantara memburu musuh negara, tetapi berdepan pelbagai tindak-tanduk dan muslihat musuh selain ancaman global serba canggih.


KANANG menunjukkan pingat keberanian yang dianugerahkan kepadanya. - Foto NSTP

Perjuangan bukan sekadar bertempur di medan perang

Bagi Kanang, tiada peperangan bukan bermakna tiada perjuangan, kerana katanya perjuangan bukan semata-mata bertempur di medan perang, sebaliknya anggota pasukan keselamatan yang bertugas dalam pejabat juga berjuang kerana bertanggungjawab menjaga kepentingan negara, termasuk menyimpan sebaik-baiknya maklumat negara.

Kanang menyifatkan menjual maklumat negara sama seperti perbuatan sengaja menyerahkan negara kepada pihak musuh yang mahu mencari kelemahan bagi menjatuhkan sesebuah negara.

"Kita kena bekerja bersungguh-sungguh dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara dan paling utama jangan sesekali menjual maklumat negara," katanya.

Genap 95 hari selepas mengungkapkan kata-kata itu di hadapan sekumpulan wartawan di Dataran Merdeka, Kanang, 68, menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.45 pagi, 3 Januari 2013, akibat serangan jantung di rumahnya di Sungai Apong, Kuching.

Kanang, bekas tentera berpangkat Pegawai Waran 1, cukup dikenali sebagai pahlawan terbilang kerana keberanian luar biasa yang dipamerkannya ketika menentang pengganas komunis yang mengucar-kacirkan keamanan negara sejak pembentukan Malaysia.

Sepanjang perkhidmatannya dengan pasukan tentera antara tahun 1962 hingga 1986, Kanang melalui banyak pengalaman bertempur dengan pengganas komunis, terutamanya di Semenanjung. Pertempuran paling sengit dalam sejarah pembabitan Kanang selaku anggota tentera berlaku di kawasan Tanah Hitam, Perak pada tahun 1980.


KANANG (kiri) bersama rakan sepasukan ketika berkhidmat dalam Platun Risik Gempur (UCIS), Batalion Kelapan, Rejimen Renjer Diraja. - Foto NSTP

Ketika itu, Kanang mengetuai kira-kira 30 anggota Platun Risik Gempur (UCIS), Batalion Kelapan, Rejimen Renjer Diraja (8 RRD) menjejak dan memusnahkan kumpulan pengganas komunis yang sebelum itu membunuh seorang anggota tentera pada 8 Februari 1980.

Keberanian Kanang

tumpaskan musuh

Selepas 11 hari menjejak, kedudukan musuh dikesan kira-kira jam 3 petang, pada 19 Februari 1980 dan ketangkasan serta keberanian Kanang serta anggota platunnya, berjaya menumpaskan musuh apabila seorang daripada pengganas ditangkap, manakala lima lagi dibunuh.

Dalam pertempuran itu seorang anggota Platun UCIS 8 RRD parah, manakala Kanang sendiri ditembak tiga kali, tetapi terselamat, walaupun sebutir peluru dari arah belakang singgah ke jantung sebelum menembusi dadanya.  Kanang yang berlumuran darah dan tidak bermaya ketika menanti bantuan tiba, cekal memapah seorang anggota bawahannya daripada menjadi mangsa tembakan bertali arus pengganas komunis.

  Terdahulu, ketika masyarakat Dayak di Sarawak sibuk menyambut Hari Gawai pada 1 Jun 1979, Kanang, mengetuai sekumpulan anggota 8 RRD menghapuskan musuh yang berada di kawasan Hutan Simpan Korbu, Perak. Kira-kira jam 3.50 petang pada hari itu, Kanang, yang mengetuai rondaan terlihat khemah musuh dan tanpa berlengah, beliau memberi isyarat kepada anggota pasukannya supaya bersedia untuk melancarkan serangan.


KANANG menunjukkan kesan tembakan yang menyebabkan perutnya terburai. - Foto NSTP

Terkena tembakan di dada

Kanang memulakan serangan dengan menembak mati seorang pengganas komunis yang bertugas sebagai sentri, disusuli dengan serangan kilat anggotanya terhadap kedudukan musuh. Pengganas komunis yang terkejut dengan serangan itu membalas tembakan menyebabkan dua anggota 8 RRD terkorban dan melihat keadaan itu, Kanang, tiba-tiba meluru ke depan dan berjaya membunuh seorang musuh, manakala beliau sendiri turut mengalami kecederaan apabila terkena tembakan di dada.

Kisah keberanian luar biasa Kanang dalam dua pertempuran hebat itu dikagumi ramai pihak dan sebagai pengiktirafan, Kerajaan Persekutuan menganugerahkan pingat keberanian Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1980 dan pada 1981 pula, beliau dianugerahkan pingat tertinggi Persekutuan, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP).

Berita Harian X