Sabtu, 27 September 2014 | 1:21pm

1,875 graduan UniMAP terima ijazah, diploma Konvokesyen ke-9

KANGAR: Sebanyak 1,875 graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima ijazah mereka pada majlis Konvokesyen ke-9 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini.

Majlis penganugerahan ijazah bagi sesi pertama di Dewan 2020 di sini disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titahnya perasmian sidang pertama itu meminta semua graduan supaya menghayati ciri-ciri kepimpinan efektif supaya mampu menjadi pemimpin pelapis bagi generasi akan datang dalam negara ini.

Titah baginda ciri kepimpinan efektif merangkumi sikap optimistik, keyakinan diri, integriti, data atau semangat juang tinggi, jujur dan ikhlas.

"Ia bukan saja perlu dihayati malah perlu sentiasa diamalkan dalam memimpin pasukan dan sebarang organisasi pada masa depan," titah baginda.

Baginda bertitah sebagai pemimpin, sebarang keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada semua anggota di bawah seliaan mereka.

"Justeru berlaku adillah dalam apa juga tindakan yang dilakukan. Saya nasihatkan agar anda melihat dan menilai sesuatu perkara di sekeliling dengan positif dan bijaksana serta bertindak atas landasan iman dan taqwa," titah baginda.

Daripada 1,875 graduan, sebanyak 44 akan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 69 Ijazah Sarjana Sains dan 31 penerima Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

"1,129 graduan pula menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 294 penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan 308 graduan menerima Diploma Kejuruteraan," kata Naib Canselor UniMAP Datuk Dr Kamarudin Hussin dalam ucapannya.

Kamarudin berkata daripada 1,129 graduan Ijazah Muda Kejuruteraan, 61 daripadanya dianugerahkan ijazah kelas pertama dan 374 graduan memperoleh kelas kedua tertinggi.

Beliau berkata, daripada 294 graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, sebanyak

11 graduan menerima ijazah kelas pertama dan 173 mendapat ijazah kelas kedua tertinggi.

Katanya, sehingga 23 Sept lepas, sebanyak 1,005 graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan yang menerima ijazah mereka hari ini telah bekerja, melanjutkan pengajian dan menunggu penempatan pekerjaan.

"Sebanyak 224 graduan diploma pula telah bekerja dan melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi. Data ini menunjukkan 90 peratus graduan UniMAP ditawarkan pekerjaan sebaik tamat pengajian," katanya.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan empat tokoh menerima Ijazah Kehormat iaitu bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin yang menerima Ijazah kehormat Doktor Ekonomi.

Bekas Menteri Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Prof Dr Mohammed A. Hussain dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains dan Senior Akademik dan Senior Saintis di Pusat Kajian Teknologi Baru Universiti West Bohemia, Prof Dr Ali Hussain Reshak Al-Jaary menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan. - BERNAMA

Berita Harian X