Isnin, 14 September 2015 | 10:00pm

33 kawasan catat IPU tidak sihat


SUASANA malam ketika cuaca jerebu di Lebuhraya Guthrie menuju ke Bandaraya Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

KUALA LUMPUR: Jumlah kawasan di seluruh negara yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat meningkat kepada 33 kawasan pada 7 malam ini, berbanding 31 kawasan setakat 2 petang tadi.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), dua kawasan baharu yang mencatat IPU tidak sihat ialah Sibu (106) dan Pasir Gudang (103) manakala Banting mencatat bacaan IPU tidak sihat paling tinggi iaitu 188 setakat ini.

Kawasan lain di Selangor yang terjejas teruk dilanda jerebu dengan bacaan IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Klang (181), Petaling Jaya (168), Shah Alam (167) dan Kuala Selangor (137).

Di Sarawak, tiga kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu Samarahan (104), Sarikei (126) dan Sri Aman (136).

Kualiti udara tidak sihat turut menyelubungi ibu negara, direkodkan di Batu Muda (183), Putrajaya (164) dan Cheras (161).

Bagi Terengganu, Kemaman merekodkan bacaan 134 dan Paka 112, manakala di Johor iaitu Larkin Lama (105) dan Muar (140), juga mencatat IPU tidak sihat.

Di Pulau Pinang, tiga kawasan terjejas teruk iaitu Seberang Perai 2 (150), USM (145) dan Perai (124).

Kawasan lain ialah Bandaraya Melaka (161), Bukit Rambai (182), Nilai (187), Port Dickson (183), Seremban (175), Balok Baru di Kuantan (135), Indera Mahkota (118), Jerantut (125), Jalan Tasek (153), Kampung Air Putih, Taiping (141), Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh (167) dan Seri Manjung (173) serta Bakar Arang, Sungai Petani (127).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X