Isnin, 14 September 2015 | 1:14pm

Hanya Tanah Merah, Kuala Terengganu catat IPU baik

KUALA LUMPUR: Hanya Kuala Terengganu dan Tanah Merah mencatat bacaaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik dengan masing-masing 44 dan 35 sementara kawasan lain di kebanyakan negeri masih dilanda cuaca jerebu.

Antara negeri yang teruk terjejas ialah Selangor, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, Banting, Selangor merekodkan bacaan IPU tidak sihat paling tinggi iaitu 176 setakat 10 pagi ini.

Kawasan lain di Selangor yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Pelabuhan Klang (165), Shah Alam (148), Kuala Selangor (144) dan Petaling Jaya (143).

Di Sarawak, empat kawasan mencatat IPU tidak sihat iaitu Sri Aman (134), Sarikei (119), Samarahan (118) dan Kuching (105).

Jerebu turut menyelubungi ibu negara dengan kualiti udara tidak sihat direkodkan di Batu Muda (161) dan sekitar Cheras (152) manakala pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya merekodkan IPU 161.

Bagi Negeri Sembilan, Nilai merekodkan bacaan (168), Seremban (162) dan Port Dickson (146), di Melaka, Bukit Rambai (143) serta Bandaraya Melaka (129).

Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Kemaman, Terengganu (115), Seri Manjung (138), SK Jalan Pegoh (Ipoh) (130) dan Jalan Tasek (Ipoh) (122) serta Taiping (109) di Perak.

Di Johor, IPU tidak sihat direkodkan di Muar (120), Larkin Lama (104) dan Pasir Gudang (101) manakala di Pahang, di Balok Baru, Kuantan (111) dan Jerantut (102).

Di Pulau Pinang melibatkan kawasan Seberang Jaya 2, Perai (107) dan USM (112).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X