Ahad, 13 September 2015 | 12:03am
CONTOH pakaian yang dihasilkan daripada Tenun Pahang Diraja yang dipamerkan di Kampung Budaya Pulau Keladi. - Foto Luqman Hakim Zubir
SEORANG pekerja Tenun Pahang Diraja tekun bertugas di bengkel tenun Pulau Keladi, Pekan.- Foto Luqman Hakim Zubir

Mak Teh 'pewaris' songket Tenun Pahang Diraja

DARIPADA kerabat diraja, orang kenamaan sehinggalah peminat Tenun Pahang Diraja, semuanya mahu mempelajari dan mengetahui teknik melikas serta usik yang diwarisi Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir daripada keluarganya sejak beratus tahun lalu.

  Namun bukan mudah memujuk Nortipah atau lebih dikenali dengan panggilan 'Mak Teh' untuk membuka mulut bagi mendedahkan rahsia kepada dua teknik yang mampu memberi aura tersendiri kepada kain songket Tenun Pahang Diraja.

  Nortipah, 71, berkata, mereka bukannya kedekut ilmu kerana merahsiakan kaedah pembuatan itu sebaliknya ia dibuat berikutan ada pihak yang mempelajari teknik berkenaan 'berubah sikap' walaupun belum habis mempelajarinya.

  "Dulu keluarga Mak Teh ada mengajar orang lain tetapi belum tamat belajar orang itu sudah mengaku dia 'Tok Guru'...ini menyebabkan kami bimbang ada pihak cuba menyalahgunakannya.

  "Macam Mak Teh sendiri tidak berani hendak ajar dan minta mereka tanya orang-orang tua keluarga Mak Teh, bila ini terjadi kami sekeluarga sepakat tidak mahu mengajarnya kepada orang lain.


ADIGURU kraf Tenun Pahang Diraja, Nortipah Abdul Kadir,71. - Foto Luqman Hakim Zubir

  "Malah, Mak Teh pernah meminta maaf dan ampun daripada Tengku Puan Pahang (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) kerana tidak boleh dedahkan rahsia dua teknik berkenaan, keluarga kami juga menyimpannya untuk diturunkan ke generasi akan datang," katanya ditemui di rumahnya di ditemui BH di kediamannya di Pulau Keladi, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

  Ditanya apa keistimewaan teknik melikas dan usik, Nortipah yang juga anak jati daerah Pekan berkata, ia dapat memberi satu sentuhan tersendiri kepada Songket tenun Pahang Diraja dan menambah 'manis' kepada si pemakainya baik lelaki atau wanita.

  "Harganya sudah tentu lebih mahal iaitu dari RM400 sehingga RM5,000 bergantung kepada permintaan pembeli, kalau mereka mahu tambah corak dan bunga untuk menambah kecantikannya jadi bayarannya lebih tinggi.

  "Lebih tinggi kerana proses hendak membuatnya amat rumit dan memerlukan penelitian teliti bagi mengelakkan sebarang kecacatan pada kain sutera," katanya.


SEORANG pekerja Tenun Pahang Diraja tekun membuat tenun di bengkel tenun Pulau Keladi, Pekan. - Foto Luqman Hakim Zubir

  Beliau menjelaskan teknik usik adalah satu proses melorek kain iaitu memasukkan warna lain dalam kain warna tertentu dan ia masih mendapat permintaan tinggi sehingga sekarang.

  "Kalau teknik usik ini ia berlorek contohnya dalam warna kain putih ada diselitkan warna biru, bukan mudah hendak membuatnya tetapi apabila siap ia kelihatan cantik," katanya.

  Untuk teknik melikas, Nortipah berkata, pada masa ini mereka sudah jarang menggunakan kaedah yang digunakan bagi mewarna kain sutera dan hanya membuatnya apabila mendapat tempahan serta mempunyai kain sutera berlebihan.

  "Ia dibuat kerana dulu kita terpaksa mewarna sendiri kerana dapat sutera mentah tetapi sekarang banyak sutera sudah siap, untuk buat proses itu ada alatnya," katanya.

 

Berita Harian X