Ahad, 13 September 2015 | 12:00am

Bandaraya Melaka pula catat IPU tidak sihat

KUALA LUMPUR: Bandaraya Melaka merupakan kawasan terbaru yang mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 113 setakat 10 malam ini.

Sementara kawasan Jalan Tasek, Ipoh yang sebelum ini mencatat bacaan IPU tidak sihat, menurun kepada paras sederhana dengan bacaan 99, demikian menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Situasi itu menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang mencatat bacaan IPU tidak sihat kekal 17 kawasan sama seperti petang tadi, dengan Shah Alam masih mencatat bacaan tertinggi iaitu 135. Kawasan lain yang mencatat bacaan tidak sihat malam ini, ialah Pelabuhan Klang 134, Batu Muda (130), Kuala Selangor (124), Petaling Jaya (123), Samarahan (118), Nilai (119), Seri Manjung (113), Putrajaya (116), Cheras (114), Jerantut (111), Seremban (114), Kuching (105), Banting (113), Bukit Rambai di Melaka (115) dan SK Jalan Pegoh Ipoh (105).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. -- BERNAMA

Berita Harian X