Sabtu, 12 September 2015 | 6:00pm

17 kawasan catat IPU tidak sihat setakat 3 petang - JAS

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kawasan di beberapa negeri di Semenanjung serta Sarawak mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 3 petang ini.

Selain Sarawak, situasi itu membabitkan lokasi di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar.

Bagaimanapun, Batu Muda yang merekodkan bacaan IPU bacaan paling tinggi iaitu 162 pada 9 pagi tadi, telah turun kepada 148 pada 3 petang ini.

Pelabuhan Klang merekodkan bacaan paling tinggi iaitu 153, diikuti Batu Muda (148), Shah Alam (144), Kuala Selangor (143), Petaling Jaya (135), Samarahan (129), Cheras (125), Banting (123), Putrajaya (122), Jerantut (120), Nilai (120), Seremban (118), Kuching (115), Seri Manjung di Perak (114) dan Sri Aman di Sarawak (111).

Sementara itu, dua kawasan di Ipoh, iaitu SK Jalan Pegoh dan Jalan Tasek yang mencatatkan bacaan sederhana pada pukul 9 pagi, masing-masing kini mencatat bacaan tidak sihat iaitu 107 dan 101.

Tiga kawasan yang mencatat IPU tidak sihat pada 9 pagi tadi telah pulih kepada paras sederhana iaitu Bukit Rambai, Melaka (92), Port Dickson (88) dan Bandaraya Melaka (87).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X