Sabtu, 12 September 2015 | 12:02am
SUASANA pelanggan di Restoran Wood & Steel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri
MENU Tempura Butter Cream. - Foto Shazreen Zamzuri
HIDANGAN Shrimp Burger atau burger udang yang mempunyai tarikan tersendiri di Restoran Wood & Steel. - Foto Shazreen Zamzuri
PEMILK Restoran Wood & Steel, Ierfan Azriff (kiri) bersama adiknya Adam Azriff (kanan) menunjukan hidangan di Restoran Wood & Steel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri
RUANGAN dan hiasan yang menarik di Restoran Wood & Steel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

Rempah ratus suntik kelainan sajian Barat di W&S

ANTARA ruangan dan hiasan yang menarik di Restoran Wood & Steel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

DILIHAT dari luar, Wood & Steel (W&S) jelas bukan kafe tipikal yang hanya bersandarkan menu lazat tetapi menyajikan suasana hambar dan hiasan dalaman kaku.

Kafe W&S yang menawarkan menu masakan Barat itu dikagumi menerusi gaya penataan berkonsep industrial disulami aksesori antik diselangi vintaj.

Pengusahanya, Ierfan Azriff, menjelaskan keperluan membina tanggapan pertama yang baik khusus menarik pelanggan singgah untuk menjamu selera di tempat itu.

"Sebolehnya, biarlah pengunjung jatuh cinta pandang pertama sebelum menikmati keselesaan maksimum ketika makan di sini," katanya menegaskan tema penataan diketengahkan itu sesuai dengan masakan Barat yang menjadi menu tunjang restoran.

Kafe W&S yang juga milik perusahaan keluarga itu menyenaraikan hidangan Barat yang sudah sebati dengan selera masyarakat tempatan dan antara yang mendapat sambutan adalah spageti aglio e' olio, bolognese daging, spageti carbonara, pelbagai jenis burger serta sandwic, salad selain pencuci mulut yang menawarkan aneka pilihan kek.

Begitupun, yang menjadikan rasanya sedikit luar biasa adalah campuran rempah ratus dan cili sekali gus menyuntik selera tempatan pada hidangan.

"Saya ingin berkongsi selera keluarga dengan pelanggan. Lagipun saya faham 'lidah Melayu' tidak boleh meninggalkan masakan yang pedas terutama cili padi, malah sebolehnya menyelitkan sekali rempah-ratus," katanya.

RESTORAN Wood & Steel di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

Selain di Bandar Pinggiran Subang, W&S juga beroperasi di Kota Damansara, Taman Tun Dr Ismail dan Kelana Jaya.

Ierfan dan adiknya, Adam, yang diberi tanggungjawab menguruskan makanan dan minuman (F&B) turut berkongsi keunikan rasa kacang panggang resipi turun temurun nenek mereka.

Berbanding kacang panggang biasa, menu istimewa diberi nama Nanny's Baked Bean itu menyediakan campuran ramuan seperti cili merah, jintan manis, bawang goreng bersama minyak sapi sebelum dipanggang di atas arang yang ditutup dengan kerajang aluminium.

"Ia dipanggang dengan arang melahirkan rasa barbeku pada kacang itu bercampur pedas dan manis cili serta bawang," katanya.

Pelanggan W&S jarang melepaskan peluang menikmati Tempura Butter Cream, yang menampilkan carbonara dengan kuah krim daripada susu sejat. Berbanding kuah pekat, penggunaan susu sejat menghasilkan kuah lebih cair, tidak mual malah mampu sebati dengan taburan cili padi sementara udang tempura menyeimbangkan rasa pijar cili.

Bagi pelanggan yang belum betah menjamah makanan pedas, disediakan pilihan carbonara biasa dengan sajian kuah krim klasik.

Jika inginkan kelainan cita rasa burger, disyorkan mencuba Shrimp Burger atau burger udang, yang menzahirkan tarikan daging buatan di rumah (homemade).

Harga sepinggan burger RM20, namun saiznya sesuai untuk dua orang. Sajian sampingan jejari kentang bersama salad serta sos membuatkan kita lebih cepat kenyang.

PELBAGAI hidangan terdapat di Restoran Wood & Steel Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

Turut dicadangkan, Salad Royale, yang mencampurkan pelbagai jenis sayur hijau, timun Jepun, tomato ceri, bawang putih bakar dan parmesan parut dengan alternatif ayam rangup, salmon salai dan banyak lagi.

Selain itu, Chicken dan keju bruschetta iaitu ayam dimasak krim dihidangkan bersama baguette bakar dan kerepek keju mozarella di samping pilihan croissant sumbat yang enak dengan buah strawberi dilapisi krim vanila dan sos coklat.

Selain tarikan menu Barat diselangi selera tempatan, W&S dilihat berbeza kerana menawarkan pembelian mana-mana perabot dan perhiasan yang ada di restoran itu.

Ierfan yang bertanggungjawab penuh terhadap hiasan dalamannya memberitahu, setiap kelengkapan, termasuk meja dan kerusi makan, koleksi antik serta vintaj dan sebagainya boleh dimiliki pelanggan yang menawarkan harga sesuai.

"Sebagai contoh, meja makan daripada kayu kapal ini sudah ada pembelinya. Semua perabot di sini rekaan saya sendiri, manakala kebanyakan bahan untuk membuatnya dibawa khas dari Indonesia. Bagi mendapatkan bahan berkualiti, saya kerap terbang ke sana bagi mencari kayu yang berpotensi untuk menghasilkan perabot," katanya.

W&S yang boleh menampung sehingga 70 pelanggan dalam satu masa itu dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 11 malam kecuali Jumaat, yang dibuka pada jam 3 petang hingga 12 malam manakala hujung minggu, dibuka lebih awal iaitu pada jam 9 pagi.

Berita Harian X