Jumaat, 11 September 2015 | 5:47pm

Ambil komisyen urus bantuan zakat


BAITULMAL Negeri Sembilan mengesan beberapa individu bertindak sebagai 'orang tengah' dalam urusan memohon bantuan zakat dengan mengambil komisyen daripada wang yang diterima pemohon.

Mereka turut dipercayai bersekongkol dengan individu yang tidak layak menerima zakat untuk memperdayakan Baitulmal dengan memberi maklumat tidak tepat mengenai latar belakang pemohon dalam usaha mendapatkan bantuan.

Pengurus Baitulmal negeri, Kamal Amran Kamarudin, berkata pihaknya mengesan perkara itu dua tahun lalu membabitkan permohonan zakat daripada sekurang-kurangnya enam pemohon.

"Kami mendapati borang permohonan mereka meragukan, terutama membabitkan cerita mengenai latar belakang dan kesusahan atau masalah yang dihadapi hampir sama di antara satu sama lain.

"Justeru, kami menjalankan siasatan lanjut sebelum mendapati mereka bersubahat dengan 'orang tengah' atau ejen yang membantu menguruskan permohonan," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kes 'orang tengah' yang membantu menguruskan permohonan individu yang layak, namun mengambil komisyen daripada bantuan diterima, malah lebih teruk mendakwa wang itu untuk diberi kepada kakitangan Baitulmal.


PENGURUS Baitulmal negeri, Kamal Amran Kamarudin.

Katanya, dakwaan berkenaan memburukkan imej Baitulmal, yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kerana pihaknya tidak pernah mengenakan bayaran atau komisyen.

Kamal yang juga Setiausaha MAINS berkata, secara purata, Baitulmal yang berfungsi menyalurkan wang kutipan zakat, menolak kira-kira 20 peratus daripada permohonan yang dikemukakan kepada mereka.

"Ada dua punca penolakan, iaitu sama ada disebabkan dokumen tidak lengkap atau permohonan meragukan dan mengemukakan maklumat tidak benar. Bagaimanapun, kes penipuan zakat adalah terpencil dan jarang berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menggunakan pendekatan bersangka baik dalam memproses permohonan bagi memudahkan orang ramai yang berhak menerima bantuan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Hussin Mohd Ali, berkata pihaknya memantau pengagihan wang zakat dengan pengawasan melalui siri pengauditan oleh enam pihak, termasuk SIRIM Berhad dan Jabatan Audit Negara, bagi memastikan urus tadbir dilakukan secara adil, telus dan amanah, serta hanya pemohon yang layak mendapat bantuan.

Beliau berkata, berkata berdasarkan rekod LZS bagi tahun 2014, sebanyak 157,032 permohonan bantuan diterima dan diproses, yang mana 6,753 permohonan terpaksa ditolak atas pelbagai sebab.

Beliau juga tidak menafikan, wujud beberapa isu pertindihan dan ketidaktelusan dalam urusan memberi maklumat oleh pemohon selain ada kes ketua keluarga yang tidak amanah serta tidak menyalurkan wang zakat kepada isteri dan anak.

Katanya, keadaan itu menyebabkan LZS terpaksa mengambil langkah lebih teliti dengan menyemak latar belakang, menyiasat dan memantau pengagihan wang zakat bagi sesebuah keluarga.

"LZS akan menyaring dan menolak permohonan sekiranya didapati tidak layak. Siasatan serta penilaian akan dibuat dan agihan zakat perlu dilaksanakan mengikut hukum syarak dan bukan sewenang-wenangnya diberi kepada yang tidak berhak," katanya.

Selain itu, Hussin berkata, LZS turut menerima beberapa aduan berhubung nama dan maklumat peribadi asnaf digunakan pihak luar yang tidak bertanggungjawab untuk mendapat bantuan zakat, namun kes berkenaan adalah terpencil dan tindakan telah diambil pada peringkat awal.

Jelasnya, LZS sentiasa proaktif membantu golongan terutama fakir dan miskin dengan menyediakan banyak saluran bagi individu atau keluarga mendapatkan bantuan zakat.

Katanya, ini termasuk dengan membuka 26 cawangan LZS di seluruh Selangor, kaunter mini zakat di setiap daerah, kaunter bergerak, kaunter ekspres agihan zakat, Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) serta mewujudkan medium saluran maklumat melalui Talian Zakat Selangor, Facebook LZS dan aplikasi telefon pintar Ezakat.

"Bagi SJK yang dimulakan sejak 2011, LZS telah turun padang untuk mengenal pasti asnaf fakir dan miskin yang belum berdaftar tetapi memerlukan bantuan zakat. Pada tahun 2014, sebanyak 830 keluarga asnaf fakir dan miskin baharu dikesan melalui program ini," katanya.

Pada masa yang sama, pihaknya meminta kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat mengenai individu atau keluarga yang memerlukan bantuan supaya zakat dapat disalurkan kepada mereka.

Bantuan zakat membantu asnaf memperbaiki taraf hidup dan keluar daripada kemiskinan, malah ada yang sudah bergelar jutawan. Ikuti siri seterusnya, esok.

Berita Harian X