Khamis, 10 September 2015 | 9:39pm

Untung suku ketiga SP Setia RM406.34 juta

KUALA LUMPUR: Untung sebelum cukai SP Setia Bhd bagi suku ketiga yang berakhir pada 31 Julai, 2015 naik kepada RM406.34 juta berbanding RM187.60 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM1.63 bilion daripada RM902.66 juta sebelumnya, demikian menurut pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Keputusan yang baik ini disebabkan jualan kukuh yang dicapai sehingga kini dan penyerahan projek Fulton Lane di Australia," menurutnya. Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen, berkata usaha syarikat menembusi pasaran Australia telah membuahkan hasil bagi kumpulan semasa pasaran hartanah yang mencabar.

"Penyerahan Fulton Lane yang tepat pada masanya telah membantu kami mencatat perolehan yang kukuh dan pengiktirafan keuntungan manakala jenama 'SP Setia' telah mula mendapat tempat di pasaran Australia seperti yang terbukti dalam dua projek kami yang habis dijual di Melbourne.

"Kami akan terus meninjau usaha baru di Australia untuk mengembangkan lagi portfolio luar negara kami," katanya.

SP Setia telah mengubah akhir tahun kewangan kepada 31 Disember 2015 daripada 31 Oktober, 2015.

- BERNAMA

Berita Harian X