Khamis, 10 September 2015 | 12:02am

10 novel merdeka

NOVEL seperti Anak Mat Lela Gila dan Putera Gunung Tahan, karya Pak Sako serta Melati Kota Bharu (A Kadir Adabi) menjadi wadah untuk menghantar semangat menuntut kemerdekaan kepada masyarakat di negara ini sebelum merdeka dulu.

Sumbangan karya kesusasteraan tidak berhenti dengan laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman, bahkan ia berterusan dalam mengisi makna kemerdekaan dan mengingatkan generasi seterusnya tentang pentingnya mempertahankannya.

Tidak hairanlah di sebalik gelombang globalisasi dan pemikiran pascamodenisme, novel yang mengungkapkan tema, latar serta semangat kemerdekaan tidak pernah kontang dalam ranah kesusasteraan tanah air.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September ini, Sastera BH mengemukakan 10 novel mutakhir yang wajar dijadikan bacaan kepada generasi baharu dalam memastikan kefahaman terhadap makna kemerdekaan dan kesedaran mengenai pentingnya untuk terus mengisi serta mempertahankannya.

Ah Fook karya Jong Chian Lai

Mengungkapkan kehidupan lelaki Cina yang dihimpit kemiskinan sejak tiga generasi di negara Tembok Besar, Yong Ah Fook yang kecewa dengan sistem komunisme merantau ke kepulauan Borneo dengan bekerja sebagai kuli di rumah agam milik kapitan Cina di Sarawak.

Apabila Jepun menguasai Asia Tenggara, Ah Fook terpaksa berkahwin dengan wanita tempatan berketurunan Cina-Melanau demi menyelamatkan wanita itu daripada kekejaman tentera Jepun, sekali gus memulakan sejarah baharu di tanah yang mula dicintainya.

Amuk Si Anak Zapin karya Ali Jusuh

Bertingkah pada tiga anak muda, iaitu Adi Kelana, Wan Jamal dan Jelatang, novel ini membawa kisah perjuangan yang bermula di gelanggang latihan zapin perang hingga medan pertempuran menentang penjajah.

Daripada paluan rebana dan gambus yang melatari latihan mereka, medan bertukar kepada tingkah bersenjatakan keris dan badik serta rencong dan sundang untuk menghalau musuh tanah air tetapi pada masa terpaksa menghadapi pengkhianat dan ada kalanya merasai cinta mendebarkan.

Bukan Orang-Orang karya Hafizah Iszahanid

Mo, anak pendatang dari China yang lahir di Tanah Melayu, dibesarkan dengan kisah penderitaan bapanya di negara asal dan harapan untuk bahagia di negara baharu, iaitu Tanah Melayu dengan melalui sendiri suka duka sejarah perjalanan kenegaraan hasil perpaduan sesama bangsa.

Membesar dengan Midah, anak anggota polis yang juga tinggal di kem Cina, mereka terus bersaudara sehingga ke hari tua tetapi malangnya persahabatan ikhlas itu tidak dikongsi oleh anak mereka, Qi dan Zara yang terperangkap dengan ideologi perkauman yang kemudiannya terlajak kepada isu agama.

Dokumen 136 karya Syafiq Ali'am

Berbeza dengan novel kemerdekaan yang disorot, karya ini ialah novel grafik yang menampilkan pertembungan antara dua kuasa penjajah, iaitu Inggeris dengan Jepun apabila kapal terbang British yang membawa dokumen sulit mengenai pasukan penentang negara Matahari Terbit itu terhempas di Hutan Lading.

Hang Nadim karya Abdul Latip Talib

Menyorot watak penting dalam episod mempertahankan kota Melaka daripada jatuh ke tangan Portugis, Laksamana Hang Nadim menjadi bukti kekalahan mereka bukan bermakna keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka. Ini kerana jihad merampas kembali Melaka terus dilancarkan meskipun Kota A Famosa menjadi benteng kukuh penjajah.

Kininaru karya Amelia Hashim

Buku ini mengungkap realiti hidup pemimpin tua, Haji Dollah yang kental melindungi penduduk kampungnya, iaitu Kampung Simpang Tiga apabila pelbagai perkara buruk menimpa selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pengorbanan besar Haji Dollah lebih diserlahkan lagi melalui kisah pedih keluarganya termasuk isteri meninggal dunia, anak bongsu kehilangan suami dan cucu dihina kerana berkahwin dengan wanita yang pernah bersekedudukan dengan pengintip Jepun.

Pahlawan Adnan karya Zailiani Taslim

Berkisar pada kehidupan tokoh yang sinonim dalam sejarah, iaitu Leftenan Adnan, karya ini menyorot watak itu sejak kecil dan remaja hingga menginjak dewasa, sebelum memasuki Rejimen Askar Melayu pada tahun 1933.

Perang Dunia Kedua yang meletus menjadi saksi keberanian Leftenan Adnan apabila beliau diberi kepercayaan memimpin dua batalion askar Melayu untuk mempertahankan Singapura daripada ditawan Jepun.

Sayang Sarawak karya Idris Boi

Novel ini membawa pembaca menyusuri penghujung era pemerintahan Kesultanan Brunei sebelum Sarawak jatuh ke tangan penjajah Inggeris yang diketuai oleh James Brooke.

Keamanan di Sarawak turut digambarkan melalui ancaman rasuah dan penyelewengan kuasa pembesar dan kegiatan lanun bermaharajalela di perairan sehingga kepada pemberontakan besar-besaran oleh penduduk yang tidak berpuas hati.

Sebalik Yamashita dan Percival karya Shaari Isa

Novel ini tidak hanya menceritakan dua susuk besar dalam Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu dan Singapura itu, sebaliknya turut berkisar limpahan peristiwa yang berbangkit dalam kehidupan penduduk beraneka bangsa, keturunan, agama serta budaya.

Bertapak pada tema cinta dan peperangan, ia memperlihatkan pelbagai pembawaan daripada angkuh dan gasar sehinggalah rendah hati serta berani, sekali gus membawa mesej rapuhnya manusia dalam peperangan dan kesulitan hidup.

Semenanjung Menangis karya Ariff Mohamed

Karya ini bergerak daripada sejarah pedih penjajahan yang memisahkan alam Melayu 'dikotakkan' kepada Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura sehingga terkesan kepada anak muda, Aminuddin Rizal, apatah lagi ibunya, Habibah banyak mencurahkan falsafah kemerdekaan di sebalik kesederhanaan wanita berkenaan.

Tidak hanya berlegar dalam sejarah silam, novel ini turut mengungkapkan kemelut politik moden sehingga mengubah landskap politik tanah yang dianggap berbentuk air mata dalam mengadun konflik pelbagai watak yang ada.

Berita Harian X