Selasa, 8 September 2015 | 12:07pm

Sukan Remaja Komanwel: Malaysia kini di tangga ke-4 dari 47 negara

KUALA LUMPUR: Kontinjen atlet muda negara kini menduduki tangga keempat Sukan Remaja Komanwel edisi ke-5 (CYG V) di Pulau Samoa, Lautan Pasifik selepas tiga hari temasya itu berlangsung.

Mereka sehingga ini sudah menghimpun sebanyak tiga emas, dua perak dan satu gangsa, untuk berada di belakang Afrika Selatan yang menduduki tangga teratas dengan mengumpul lima emas dan tiga perak.

Tempat kedua milik Australia dengan himpunan empat emas, lima perak dan enam gangsa manakala England ketiga, dengan koleksi tiga emas, dua perak dan lima gangsa.

Sebanyak 47 negara termasuk Singapura menyertai temasya ini yang bermula sejak 5 September lalu dan dijadual berakhir pada Jumaat ini. Malaysia bertanding sebanyak lapan acara daripada sembilan, membabitkan 30 atlet.

Tiga emas negara diperoleh setakat ini adalah menerusi dua atlet skuasy, Eain Yon Ng dan Sivasangari Subramaniam serta Nur Atikah Mahamad Sobri.

Dua perak pula disumbangkan atlet renang, Welson Wee Sheng Sim manakala gangsa oleh Ronny Jesos menerusi acara angkat berat.

Yon Ng, 17, dari Kuala Lumpur memenangi acara perseorangan lelaki skuasy manakala Sivasangari, 16, dari Kedah bagi acara perseorangan perempuan.

Nur Atikah, 14, dari Kuala Lumpur memenangi acara angkat berat bagi kategori 50 kilogram.

Sheng Sim, 18, dari Sarawak pula memenangi pingat perak acara 1,500 meter bebas dan 200 meter bebas.

Jesos, 17, dari Sabah memenangi gangsa menerusi acara angkat berat kategori 56kg.

Saingan kontinjen Malaysia akan diteruskan lagi hari ini.

Berita Harian X