Ahad, 6 September 2015 | 12:00am

Debaran Sasterawan Negara berlanjutan


PENGARAH Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran.

KHABAR angin tentang siapa yang bakal diangkat sebagai penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) yang membawa gelar Sasterawan Negara (SN) ke-13 sudah kerap sangat didengar sehingga seolah-olah dianggap sebagai rahsia terbuka.

Bagaimanapun, sejauh mana kebenarannya tidak dapat dipastikan kerana sehingga kini penilaian akhir untuk menentukan siapakah yang bakal dinobat sebagai SN ke-13 masih lagi berjalan.

Malah, jika ada pun calon yang bakal bergelar SN, pengumuman itu tidak mungkin dimaklumkan dalam masa terdekat.

Ini kerana Pengarah Bahagian Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran mengingatkan proses memilih SN bukanlah kerja mudah kerana calon yang bakal diangkat itu boleh dijadikan ikon kepada sastera kebangsaan.

Perkenan Yang diPertuan Agong

"Selain memastikan calon itu berkelayakan dalam pelbagai aspek penilaian, keputusannya juga perlu mendapat perkenan Yang diPertuan Agong.

"Pada masa sekarang, proses itu mungkin lewat daripada yang dijangkakan kerana seperti yang diketahui Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab dalam urusan ini juga sudah bertukar," katanya kepada Sastera BH di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Abang Salehuddin, walaupun sudah bertebaran kononnya pengarang tertentu dikatakan bakal diangkat sebagai pemenang, beliau lebih menganggapnya sebagai andaian dan spekulasi.

"Apabila tarikh pencalonan tamat, spekulasi mula timbul yang mungkin betul atau salah tetapi selagi keputusan tidak diumumkan semua orang boleh membuat spekulasi.

"Bagaimanapun bagi DBP selaku sekretariat yang menangani ASN, kami sangat menitikberatkan kerahsiaan," katanya.

Sasterawan berwibawa, layak

Abang Salehuddin memberikan keyakinan sekretariat akan sedaya upaya memilih pengarang terbaik pada tahun penilaiannya, sekali gus memastikan SN dipilih dari kalangan sasterawan yang berwibawa dan layak.

"Pihak kami memilih yang terbaik kerana menjadi harapan bersama bahawa tokoh yang dipilih itu menyumbang semula kepakarannya dalam sama-sama membantu membangunkan kesusasteraan kebangsaan.

"Kita berharap mereka dapat memberi sumbangan daripada aspek pemikiran dan karya mereka. Pengarang yang dipilih juga sudah lama berkarya dan masyarakat tahu serta membaca karya mereka.

"Justeru, kami mengharapkan penerima akan terus memberi sumbangan dan membabitkan diri secara berterusan dalam ranah sastera kebangsaan," katanya.

ASN yang bermula pada tahun 1981 mengangkat pengarang kelahiran Bentong Pahang, Dr Kamaludin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Keris Mas dinobat sebagai SN pertama. Selain dikenali sebagai penulis dan pengkritik sastera, Keris Mas juga ialah wartawan.

Pengarang yang mutakhir diangkat sebagai SN ialah penyair kelahiran Hutan Melintang, Datuk Dr Baharuddin Zainal (Baha Zain) pada tahun 2013.


DATUK Dr Baharuddin Zainal atau dikenali sebagai Baha Zain.

Terbuka pada cadangan

Tegas Abang Salehuddin, dalam usia penganjuran ASN yang sudah mencecah 34 tahun, DBP sentiasa terbuka kepada semua cadangan untuk memperkukuhkan lagi dan membaiki status ASN termasuk dalam soal kebajikan penerimanya.

"ASN ialah pengiktirafan tertinggi dalam sastera negara, jadi sepatutnya kita melakukan penambahbaikan untuk penghargaan sebegini.

"Sedaya upaya kami akan memberi sesuatu yang bermanfaat kepada setiap penerima ASN. Walaupun begitu, setiap proses pembaikan perlu mendapat kelulusan jemaah menteri," katanya.

Untuk rekod, ASN dimulakan hasil gagasan mantan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn yang mahukan satu pengiktirafan khusus diberikan kepada khalayak sastera kebangsaan demi mengangkat martabat sastera negara.

DBP dilantik sebagai sekretariat ASN di bawah seliaan Kementerian Pelajaran dan ketika ia dimulakan, setiap penerima gelaran SN menerima hadiah wang tunai RM30,000, selain pelbagai kemudahan berkarya.

Hadiah itu dinaikkan sejak tahun 2003 dengan penambahan sebanyak RM30,000, sekali gus menjadikan nilainya RM60,000, selain kemudahan menerbitkan karya mencecah RM500,000.

Berita Harian X