Jumaat, 28 Ogos 2015 | 10:19pm

PPj disaran giat usaha tingkat kedatangan pelancong ke Putrajaya


MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Abd. Rahim Rahmat

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan mahu Perbadanan Putrajaya (PPj) menggiatkan lagi usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini, sejajar dengan matlamat untuk mencapai 10 juta pelancong pada 2020.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pada tahun lalu saja, Putrajaya mencatatkan kedatangan 7.3 juta pelancong, peningkatan 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Penginapan di hotel di bandar ini juga menunjukkan peningkatan 60 peratus, berbanding di negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Kenaikan jumlah pengunjung ini adalah sesuatu yang begitu membanggakan," katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Presiden PPj, Datuk Hasim Ismail.

Taman Putra Perdana dipilih sebagai lokasi sambutan kerana taman berkenaan adalah kawasan pecah tanah pertama ketika penubuhan Putrajaya pada Ogos 1995.

Sementara itu, Hasim berkata, PPj akan sentiasa berusaha dan komited untuk mejadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar yang progresif.

"PPj akan meningkatkan mutu perkhidmatan, bukan saja untuk memastikan ia sebagai bandar selamat tetapi juga mempunyai persekitaran yang kondusif," katanya.

Pada sambutan yang diadakan secara santai itu, pelbagai acara diadakan, termasuk persembahan lagu puisi, sketsa dan deklamasi sajak.

Berita Harian X