Khamis, 25 September 2014 | 9:42am

Industri berasas bio yang diluluskan meningkat sekali ganda daripada sasaran - Najib

NEW YORK: Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam industri berasaskan bio di Malaysia melebihi AS$5.6 bilion (RM17.9 bilion) sejak 2011, meningkat sekali ganda berbanding sasaran, kata Datuk Seri Najib Razak di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata ini merupakan kejayaan penting dalam Fasa 2 Dasar Bioteknologi Negara memandangkan sasaran pelaburan yang diluluskan bagi 2011-2015 ditetapkan sebanyak AS$2.7 bilion (RM8.64 bilion).

Bioekonomi (ekonomi berasaskan bio) sudah berevolusi untuk muncul sebagai penyumbang penting dalam perjalanan Malaysia bergerak untuk muncul sebagai negara maju berpendapatan tinggi, katanya dalam ucapan pada pembukaan Mesyuarat Panel Penasihat Bio Antarabangsa (BIO-IAP) di sebuah hotel di sini.

"Bioekonomi akan terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi yang produktif, kompetitif dan inovatif," katanya.

Najib berkata beliau yakin pelaksanaan Program Peningkatan Bioekonomi Malaysia akan mewujudkan kesan berganda ke atas ekonomi dan memberikan impak positif ke atas pendapatan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata program itu antara lain membabitkan usaha sama pemegang kepentingan dengan Koridor-koridor Ekonomi, universiti, institusi penyelidikan, institusi kewangan dan kerjasama antara kementerian.

Program itu diperkenal dengan matlamat meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia di bandar dan luar bandar.

Ini kata Perdana Menteri akan dicapai menerusi Program Pembangunan Komuniti Bioekonomi dan pakatan teknologi antara syarikat berasaskan bio dan institusi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa.

Ia juga boleh dicapai dengan memastikan pembangunan berkekalan menerusi Keusahawanan Bio dan meningkatkan syarikat berstatus BioNexus kepada peserta global menerusi program Go Global BioNexus.

Menyentuh mengenai hasil mesyuarat BIO-IAP itu, Perdana Mentrei berkata kerajaan akan menimbang untuk memasukkan tiga bidang tumpuan dalam bioekonomi dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Najib berkata bidang tersebut ialah Ubat-ubatan Selular dan Sel Stem; Bio-kosmeseutikal, Kesejahteraan dan Pharma Nutrisi; dan Kimia berasaskan Bio.

"Malaysia mempunyai kelebihan untuk memulakan tiga bidang tumpuan utama ini," katanya.

Beliau berkata BiotechCorp akan menerajui pembangunan tiga bidang tumpuan ini. Setakat ini, beliau berkata 241 syarikat berstatus BioNexus terus maju walaupun kedudukan pasaran yang tidak menentu.

"Hasil AS$237 juta (RM758.4 juta) yang dicatatkan oleh syarikat BioNexus sangat baik dan boleh ditingkatkan lagi menerusi usaha berterusan oleh semua pihak," katanya.

Perdana Menteri berkata Malaysia akan mempunyai sekurang-kurangnya 200 syarikat BioNexus global menjelang 2020.

"Produktiviti syarikat berstatus BioNexus pada 2013 berjumlah AS$50,000 (RM160,000), pencapaian yang sangat menarik dan lebih tinggi berbanding purata negara bagi PKS sebanyak AS$15,000 (RM48,000) sehingga 2012," katanya.

Najib berkata ini menunjukkan potensi besar syarikat BioNexus dan jelas menunjukkan impak dan pentingnya melaksanakan inovasi dan pemakaian teknologi.

"Unjuran bioekonomi negara sangat optimistik. Syarikat BioNexus akan mempunyai kesan pemangkin ke atas pertumbuhan negara dan aspirasi pembangunan Malaysia akan dijaga baik dengan menyediakan persekitaran kondusif untuk syarikat BioNexus berkembang maju," katanya.

Untuk itu, beliau berkata kerjasama yang lebih erat perlu diwujudkan antara kementerian dan agensi selain meningkatkan rangka kerja kawal aturan.

Najib kemudiannya bertukar-tukar perjanjian dan inisiatif kerjasama membabitkan :

Pertukaran perjanjian pajakan antara Kulim High-Tech Park dan Abbott Manufacturing Malaysia Sdn Bhd berkaitan penubuhan kemudahan pengeluaran lensa intraokular Abbott;

Pertukaran perjanjian antara BiotechCorp, MARDI dan Felda Global Ventures Research and Development Sdn Bhd bagi penggunaan platform bantuan pilihan teknologi dalam pengenalan minyak sawit;

Pertukaran instrumen kerjasama antara BiotechCorp dan Perbadanan Nasional Berhad bagi francais Bioshoppe, dan;

Perakuan penggerak utama Bioekonomi Malaysia kepada Genting Plantations Berhad. - BERNAMA

Berita Harian X