Ahad, 23 Ogos 2015 | 4:23pm

Tenis: Djokovic sasar rekod ATP Masters di Cincinnati

DJOKOVIC cuba melakar sejarah pada jelajah ATP apabila bertemu juara enam kali, Roger Federer di final Cincinnati Masters, awal pagi ini. - Foto AP

CINCINNATI, Amerika Syarikat (AS): Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic cuba melakar sejarah pada jelajah ATP apabila bertemu juara enam kali, Roger Federer di final Cincinnati Masters, awal pagi ini.

Djokovic bergelut sebelum menewaskan pemain kelayakan Ukraine, Alexandr Dolgopolov 4-6, 7-6 (7/5), 6-2, awal pagi tadi untuk menempah pertembungan ke-41 bertemu Federer.

Bintang Switzerland itu menyingkirkan pemain Britain, Andy Murray 6-4, 7-6 (8/6).

Andai mencatat kemenangan, ia adalah gelaran ke-20 ATP Masters buat Djokovic yang sebelum ini tumbang empat kali pada pentas final di Cincinnati.

Kemenangan akan menyaksikan pemain nombor satu dunia itu pemain pertama memenangi kesemua sembilan gelaran ATP Masters, kejayaan yang dianggap Federer "agak menakjubkan."

"Saya memberikan diri saya satu lagi peluang untuk bertarung mendapatkan trofi," kata Djokovic. "Itu adalah sasaran dan saya berharap ia berada di sini di Cincinnati.

"Jelas beberapa tahun sebelum ini ia sentiasa berada di fikiran saya, potensi untuk melakar sejarah dan jelas ia memberikan saya lebih motivasi.

"Dengan sentiasa menjadikannya sasaran, ia membantu saya untuk mengharungi perlawanan yang sukar seperti ini."

Begitupun, andai mahu mencipta kejayaan itu, Djokovic harus bermain lebih baik berbanding dilakukannya ketika menentang pemain di ranking ke-66 dunia, Dolgopolov.

Sepanjang 40 pertembungan menentang Federer, Djokovic memenangi 20 termasuk tiga pertemuan terakhir antaranya ialah di final Wimbledon.

Pernah menewaskan Djokovic pada dua aksi final di sini, Federer mengakui teruja untuk sekali lagi berada di pentas akhir.

"Saya teruja untuk berada di satu lagi final," kata Federer. Ia adalah ujian yang terhebat untuk bermain menentang Novak, dia melalui perjalanan yang hebat beberapa tahun kebelakangan ini." - AFP

Berita Harian X