Sabtu, 22 Ogos 2015 | 2:44pm

Ringgit dijangka terus tertekan minggu depan


RINGGIT hari ini ditutup rendah berbanding dolar AS.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus tertekan minggu depan dan mungkin menguji tahap 4.20 kepada dolar AS, menurut bank komersial.

Hong Leong Bank, dalam laporan penyelidikan mingguannya, menyatakan ringgit akan terus didominasi oleh prestasi dolar minggu depan.

"Melainkan ada kelemahan ketara dolar, kami berpendapat lebih selamat untuk mengunjurkan ringgit masih menghadapi tekanan. Ia mungkin dicabar pada paras 4.25 minggu depan," menurutnya.

Bagaimanapun, bank itu menyatakan pasangan dolar-ringgit terlebih beli dan menunjukkan tanda-tanda tidak mampu lagi bertahan dan akan mencatat kedudukan yang berbeza jika berlaku pengukuhan ringgit.

Sementara itu, Standard Chartered Bank, dalam laporan terkininya juga menjangkakan ringgit akan terus menyusut.

"Walaupun semua faktor negatif sudah pun diambil kira, kami menjangkakan peningkatan dolar-ringgit daripada paras semasa.

"Kami menjangkakan dolar-ringgit dipacu oleh tiga faktor utama dalam jangka pendek iaitu impak kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan, potensi pengaliran keluar portfolio dan respons Bank Negara Malaysia mengenai penyusutan mata wang tempatan," menurutya.

Dari segi aliran, bank menjangkakan berlaku pengaliran keluar portfolio bon dan pasaran ekuiti yang menjejaskan mata wang.

"Kami mengunjurkan dolar-ringgit pada 4.20 menjelang suku ketiga dan pada 4.05 menjelang akhir 2015," menurutnya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit terus lemah disebabkan sentimen serantau, penurunan harga minyak mentah yang susut 2.6 peratus atau 1,050 mata asas berbanding dolar AS pada 4.1800/1880 daripada 4.0750/0800 yang direkodkan Jumaat lepas.

Ringgit mencecah paras harian 4.1880 kepada dolar pada Jumaat lepas, buat pertama kali sejak krisis kewangan Asia 17 tahun lepas.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 2.9694/9753 daripada 2.9037/9087 Jumaat lepas dan yen kepada 3.3981/4060 daripada 3.2784/2837.

Ia rendah berbanding pound sterling kepada 6.5672/5814 daripada 6.3603/3693 minggu lepas dan rendah berbanding euro kepada 4.7033/7132 daripada 4.5424/5496 sebelumnya.

- BERNAMA

Berita Harian X