Khamis, 20 Ogos 2015 | 12:01am

Isu pedofilia 'umpama duri dalam daging'


ANTARA penunjuk perasaan yang berhimpun membantah penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Lahore, Pakistan. - Foto EPA

PAKISTAN bergegar lagi, kali ini tiada kaitan dengan pemberontakan, pengeboman, serangan atau bencana alam yang sering kali menghiasi dada akhbar, sebaliknya kisah yang tidak kurang tragik - skandal penderaan seksual kanak-kanak.

Kes itu bukan perkara baharu dan Pakistan bukan satu-satunya negara yang berdepan jenayah terbabit namun dengan statusnya sebagai negara Islam, ia sesuatu yang mengejutkan dan yang pasti, memalukan.

Membabitkan hampir 300 kanak-kanak, skandal itu disifatkan sebagai penderaan seksual terbesar dalam sejarah negara bergolak itu.

Kerajaan Punjab, negeri di mana jenayah berlaku, mengarahkan siasatan segera dibuat mengenai kes berkenaan berikutan penemuan kira-kira 400 rakaman video membabitkan lebih 280 kanak-kanak yang dipaksa melakukan aktiviti seksual.

Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, memberi jaminan penjenayah akan menerima hukuman berat setimpal.

"Mereka yang terbabit dalam kes itu akan menerima hukuman berat. Mereka tidak akan dapat lari. Keluarga yang terjejas akibat skandal akan diberi keadilan dengan apa cara sekali pun," katanya.


SKANDAL penderaan kanak-kanak disifatkan sebagai penderaan seksual terbesar dalam sejarah negara bergolak itu. - Foto hiasan

Setakat ini, tujuh orang ditahan polis berhubung kes yang mengejutkan negara dengan 180 juta penduduk itu.

Ketua Polis Daerah Kasur, Rai Babar berkata kebanyakan mangsa berusia bawah 14 tahun, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun, menambah pelajar perempuan berusia 10 tahun turut dirakam mencabul remaja lelaki 14 tahun.

Video terbabit dirakam dan malah beribu salinan dipercayai dijual di kampung Hussain Khan Wala di daerah Kasur. Seorang daripada mangsa disuntik dadah sebelum dicabul.

Skala skandal itu terbongkar awal minggu ini selepas ibu bapa mangsa bertempur dengan polis ketika tunjuk perasaan terhadap kegagalan pihak berkuasa mendakwa pihak bertanggungjawab.

Ini bukan kali pertama Pakistan digegarkan dengan skandal kontroversi itu kerana pada lewat 1990-an, tragedi sama berlaku apabila 100 kanak-kanak didera secara seksual dan dibunuh di Lahore oleh pembunuh bersiri, Javed Iqbal Mughal.

Penderaan seksual kanak-kanak bermaksud apabila mereka dipaksa atau dipujuk untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seksual. Ia tidak memerlukan sentuhan fizikal, dan boleh berlaku secara dalam talian.


SEORANG kanak-kanak terbiar di sekitar bandar daerah Kasur, Pakistan. - Foto REUTERS

Kadang kala mangsa sendiri tidak faham apa yang berlaku kepada mereka adalah satu bentuk penderaan. Mereka mungkin tidak faham perbuatan itu salah.

Skala skandal itu yang merangkumi seluruh dunia memaksa pihak berkuasa memberi maklumat antara satu sama lain bagi membanteras jenayah berkenaan.

Awal tahun lalu, polis seluruh dunia berjaya membanteras rangkaian pedofilia yang menyiarkan secara langsung penderaan seksual ke atas kanak-kanak Filipina semuda usia enam tahun menerusi internet.

Apa yang menyedihkan dan mengejutkan mengenai operasi itu adalah ia turut membabitkan ibu bapa mangsa dalam sesetengah kes.

Agensi Jenayah Kebangsaan Britain melaporkan, 15 mangsa berusia antara enam hingga 15 tahun diselamatkan sebagai sebahagian Operasi Endeavour, dengan 29 penjenayah ditahan termasuk 11 warga Filipina.

Tiga lagi siasatan berterusan mengenai golongan pedofilia yang membayar untuk menyaksikan penderaan itu menerusi kamera web mengenal pasti 733 suspek, memberi amaran ia menjadi ancaman di negara membangun.


KEADAAN riuh ketika tunjuk perasaan di Lahore, Pakistan berkaitan isu skandal pencabulan penderaan kanak-kanak. - Foto AFP

Dalam operasi itu, polis Britain bekerjasama dengan rakan sejawatan mereka di Filipina dan Australia.

Ketua Unit Anti-Jenayah Siber polis Filipina, Superintendan Kanan Gilbert Sosa berkata kerjasama itu adalah sebahagian usaha pihaknya bagi menamatkan jenayah membabitkan siaran langsung penderaan seksual kanak-kanak untuk ditempah oleh pedofilia asing.

Dalam kes sama di Amerika Syarikat tahun lalu, ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menyiasat kes penderaan seksual kanak-kanak yang disifatkan antara terburuk pernah dilihat, membabitkan lebih 90 kanak-kanak.

Ejen Khas FBI Houstin, Shauna Dunlap berkata berkemungkinan ada lebih ramai mangsa yang tidak diketahui pihak berkuasa dan mahu mencari mangsa untuk menawarkan bantuan kepada mereka yang kini sudah dewasa.

"Ini adalah antara kes paling prolifik (terbesar) yang kami pernah lihat," katanya.

Suspek, William James Vahey, 64, membunuh diri selepas FBI memulakan siasatan.

Info

  • Seorang dalam setiap 10 kanak-kanak didera secara seksual sebelum ulang tahun ke-18
  • Nisbah satu daripada tujuh kanak-kanak perempuan dan satu daripada 25 kanak-kanak lelaki didera secara seksual sebelum berusia 18 tahun
  • Hampir 70 peratus daripada serangan seksual yang dilaporkan berlaku kepada golongan berusia 17 tahun ke bawah
  • Hanya 38 peratus mangsa mendedahkan mereka pernah didera secara seksual
  • Kanak-kanak mangsa penderaan seksual berkemungkinan dua kali ganda melarikan diri dari rumah

Berita Harian X