Selasa, 18 Ogos 2015 | 7:34am

Transformasi diri ke arah kehidupan lebih baik


Suami menjadi contoh kepada isteri dan anak dalam mewujudkan keluarga bahagia. - Gambar hiasan

Islam adalah agama syumul yang membimbing manusia ke arah kehidupan cemerlang dunia dan akhirat.

Tanggungjawab umat Islam bukan hanya melakukan ibadah, tetapi juga bertanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT.

Manusia dan alam adalah makhluk ciptaan Allah SWT, tetapi manusia mempunyai taraf lebih tinggi berbanding makhluk lain. Asal usul manusia bermula daripada manusia pertama diciptakan Allah SWT, iaitu Nabi Adam.

Allah SWT menyatakan dengan jelas tujuan manusia diciptakan iaitu sebagai khalifah di bumi. Firman-Nya bermaksud: "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Sesuai kejadian manusia sebagai khalifah, maka Allah SWT yang Maha Pencipta mencantikkan kejadian manusia dengan menganugerahkan nikmat akal untuk membezakannya daripada makhluk lain. Dengan akal dan berpandukan ajaran Islam syumul manusia bertanggungjawab melaksanakan amanah sebagai khalifah.

Pelihara hubungan sesama manusia, alam

Pastinya tugas itu besar dan berat untuk menyempurnakan tanggungjawab kepada Allah SWT dan memelihara hubungan sesama manusia serta alam.

Program Pesona D'Zahra di IKIMfm bersama Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin membincangkan tajuk bagaimana memahami erti kehidupan kerana masa dikurniakan Allah SWT kepada setiap insan itu berbeza-beza.

Ada diberi jangka hayat yang lama, ada yang dijemput Allah SWT pada usia muda. Namun, lama atau seketika usia kita di dunia, kembalinya di akhirat nanti yang akan diadili ialah bagaimana kita menggunakan kesempatan umur kurniaan Allah SWT.

Islam membimbing umatnya untuk mengimbangi kehidupan dunia dan akhirat. Di samping menganjurkan umatnya supaya beramal sebagai bekalan akhirat, Islam tidak pernah melarang mereka berusaha untuk kesejahteraan hidup di dunia.

Namun, manusia sering terleka dalam menikmati kehidupan dunia. Ramai yang tertipu berasa masa dinikmati itu kekal miliknya. Terleka dengan kehidupan yang tiada kesudahan, ramai menyibukkan diri mengejar kekayaan harta, kemasyhuran, kedudukan, pangkat dan permainan yang mengasyikkan.

Kesibukan sering kali menarik manusia daripada mengingati kematian. Rasulullah SAW mengingatkan pentingnya untuk selalu mengingati mati. Baginda bersabda: "Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu, tetapi mengharapkan cita-citanya dikabulkan Allah SWT." (Riwayat Tirmidzi)

Hikmah mengingati kematian menjadikan manusia lebih menghargai kehidupan dan berhati-hati dalam segala tindakan serta perbuatan. Mengingati kematian membuatkan seseorang itu bermuhasabah diri dari semasa ke semasa.

Kita akan menilai kesilapan dan kekurangan diri. Adakah kita sudah melalui kehidupan yang diredai Allah SWT atau sebaliknya. Oleh itu, orang yang sentiasa mengingati mati akan memperbanyakkan amal perbuatan baik sepanjang hidupnya.

Hasil muhasabah sebenar adalah perubahan dilakukan selepas itu. Ingatlah, Allah SWT tidak akan mengubah sesuatu kaum selagi mereka tidak melakukan perubahan pada diri sendiri.

Ini adalah undang-undang dan sunah yang ditetapkan Allah SWT seperti firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolak dan tidak ada pelindung bagi mereka selain daripada-Nya." (Surah al-Ra'd, ayat 11)

Mujahadah lawan nafsu, perbaiki diri

Melakukan transformasi diri ke arah kecemerlangan memerlukan individu itu mempunyai jiwa besar lagi kental. Pengalihan atau transformasi diri memerlukan kekuatan dan sokongan. Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri.

Berbuat baik bukan sahaja menjaga hubungan sesama manusia, malah setiap amalan baik akan mempengaruhi doa dimohon.

Dalam konteks rumah tangga, transformasi diri juga perlu sentiasa dipertingkatkan dengan menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami, anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga.

Sentiasa berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing. Keluarga yang saling mendorong antara satu sama lain, hormat menghormati dan mengisi kekurangan diri dengan nasihat menasihati, sudah tentu akan dapat melayari hidup lebih bermakna.

Justeru, ketika seseorang itu sedang berusaha membuat peralihan ke arah kebaikan, pasangannya juga perlu menjadi penyokong yang proaktif dan positif membantu ke arah peralihan itu.

Beri ruang dan peluang dalam usaha membiasakan perubahan. Suami yang berjaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT akan menjadi contoh kepada anak dan ini memudahkan mereka untuk membimbing ahli keluarga supaya taat kepada Allah SWT.

Marilah bersama melakukan transformasi atau peralihan diri dengan mengubah kebiasaan negatif yang selama ini menjadi rutin supaya kehidupan di dunia sarat dengan amalan kebaikan.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm.

Berita Harian X