Isnin, 17 Ogos 2015 | 1:16pm

Bursa Saham kekal rendah pada tengah hari

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari susulan tekanan jualan dalam kebanyakan kaunter wajaran tinggi, diketuai saham perdagangan dan perkhidmatan, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 24.18 mata kepada 1,572.64, selepas bergerak antara 1,569.19 dan 1,591.46 di sepanjang sesi dagangan.

Bagi saham perdagangan dan perkhidmatan berkaitan indeks, SapuraKencana susut 21 sen kepada RM1.72, TNB turun 22 sen kepada RM10.36 manakala Axiata susut 14 sen kepada RM5.67.

Seorang peniaga berkata, wujud penurunan bersepadu apabila rali lebihan jualan yang ditunggu-tunggu gagal Jumaat lepas dengan sentimen pelabur kekal lemah berikutan isu-isu domestik dan risiko luaran yang masih belum reda.

Prestasi lemah bursa tempatan juga selari dengan bursa serantau berikutan kurangnya minat belian, diheret turun oleh kejatuhan saham China dan nilai dolar AS yang mengukuh.

Hang Seng Hong Kong susut 0.99 peratus kepada 23,754.21, Kospi Korea Selatan turun 0.25 peratus kepada 1,978.42 manakala Straits Times Singapura turun 0.62 peratus kepada 3,094.97, namun Nikkei Jepun menokok 0.16 peratus kepada 20,552.17.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 202.76 mata kepada 10,763.16, Indeks FBMT100 susut 189.58 mata kepada 10,503.82 manakala FBM Emas Shariah susut 245.11 mata kepada 11,140.24.

FBM Ace turun 237.54 mata kepada 5,216.84 dan FBM 70 merosot 311.28 mata kepada 11,461.99.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 194.56 mata kepada 14,088.26, Indeks Perusahaan turun 23.18 mata kepada 3,054.50, manakala Indeks Perladangan susut 122.52 mata kepada 6,871.47.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 794 berbanding 93 dengan 188 kaunter tidak berubah, 726 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.17 bilion saham bernilai RM767.43 juta.

Antara saham aktif, Frontken susut 1.5 sen kepada 19 sen, R&A Telecommunication susut setengah sen kepada satu sen manakala Sumatec merosot satu sen kepada 12.5 sen.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank susut tujuh sen kepada RM8.22, Public Bank rugi 20 sen kepada RM18 dan Sime Darby turun 13 sen kepada RM7.90.

- BERNAMA

Berita Harian X