Ahad, 16 Ogos 2015 | 12:05am
PEMANDANGAN dari Chalet penginapan Bagus Place Retreat, Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG
PASIR memutih dan pantai yang jernih memikat hati pecinta alam semulajadi di Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG
SETIAP bilik mempunyai reka bentuk yang unik dan berlainan di Bagus Place Retreat, Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Damai di Tioman, lebih tenang berkunjung di luar musim cuti panjang


PANTAI yang menarik berhampiran Chalet Tunamaya dan Bagus Place Retreat mengamit kedatangan pengunjung di Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

 

KEINDAHAN panorama semula jadi Pulau Tioman nyata berada dalam kelas tersendiri sehingga pelancong yang pernah berkunjung tidak pernah menolak untuk kembali ke pulau itu buat kali kedua.

Dikelilingi Laut China Selatan yang membiru, keindahan pasir pantai yang halus dan memutih, pengalaman berkunjung ke Pulau Tioman meninggalkan kesan mendalam kepada jiwa pengunjung yang pernah ke sini.

Tidak hairanlah pulau ini sentiasa menjadi tumpuan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.

Malah ada yang pernah bercuti berulang kali ke pulau ini semata-mata selesa, seronok dan puas dengan suasananya yang mengasyikkan.

Tioman mungkin boleh disenaraikan dalam perancangan anda menjadi antara destinasi pelancongan yang boleh dikunjungi apabila bercuti selepas Hari Raya nanti.

Memilih untuk bercuti ketika bukan musim cuti sekolah pada hujung tahun atau cuti kelepasan am yang agak panjang menjadikan kunjungan ke Tioman lebih tenang dan selesa.

Tidak perlu bersesak di jeti feri atau suasana di pulau juga agak mendamaikan kerana kehadiran pelancong yang tidak ramai.


BATUAN granit dan bukit menhijau menjadi latar belakang Tunamaya Resort, Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Keindahan memukau Puteri Naga

Seperti pulau dan tempat menarik lain di Malaysia, Tioman juga tidak terlepas dari menyimpan kisah mitosnya, yang turut menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong.

Banyak kisah mitos mengenai Tioman termasuk dikaitkan dengan naga di Tasik Chini, Pahang.

Dalam satu versi, berdasarkan cerita rakyat yang disampaikan secara lisan sejak turun temurun, Tioman bermula apabila Puteri Naga yang berasal dari China ingin berkunjung ke Singapura bagi menemui puteranya yang menetap di situ.

Ketika dalam perjalanannya, Puteri Naga singgah di Pulau Tioman untuk berehat. Keindahan alam semula jadi serta hembusan bayu dan desiran ombak menyebabkan Puteri Naga terpukau sehingga beliau membuat keputusan tidak meneruskan perjalanan dan membuat keputusan menetap di pulau itu.

Kesan legenda itu didakwa dapat dilihat pada bongkah batu granit berkembar yang bentuknya seakan-akan tanduk naga, selain batuan granit besar berwarna kelabu memberi gambaran bentuk seperti kuku naga itu.

Kehadiran rabung tinggi yang tebal berwarna hijau tua pula menambah gambaran rupa bentuk badannya yang bersisik serta melengkapkan keseluruhan bahagian badan naga itu.


PENGUNJUNG mengambil peluang melihat pelbagai jenis ikan dan batu karang di pantai Tunamaya Resort, Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Tawarkan aktiviti laut, darat

Bagi pencinta aktiviti laut, Pulau Tioman adalah destinasi yang wajib dikunjungi bagi menikmati sendiri pengalaman yang ditawarkan.

Keindahannya yang diwartakan sebagai taman laut berjaya mengekalkan ekosistem hidupan akuatik dan keindahan semula jadinya.

Kehadiran pelbagai jenis ikan mengelilingi penyelam seolah-olah menari menyambut kedatangan yang mana semestinya memberi pengalaman baru kepada pengunjung yang baru berjinak dalam aktiviti ini.

Pernah dinobatkan sebagai antara 10 Pulau Tercantik Dunia oleh majalah Times pada sekitar 70-an, penyelam juga berpeluang melihat sendiri kapal perang lama yang terbenam ketika Perang Dunia Kedua meletus, pada waktu air jernih.

Tioman turut menawarkan aktiviti luar di darat seperti aktiviti berjalan menyaksikan keindahan hutan yang melalui denai bagi melihat sendiri hidupan hutan seperti biawak, kera, helang, penyu serta pelanduk selain bagi pengunjung yang sukakan aktiviti ekstrim mereka boleh memilih untuk mencuba aktiviti "rock climbing".

Laluan masuk utama ke Taman Laut Tioman adalah dari Tanjung Gemuk, Pahang atau dari Mersing, Johor. Terdapat perkhidmatan feri berjadual yang mengambil masa perjalanan kira-kira dua jam 30 minit ke Pulau Tioman setiap hari.


CHALET berbentuk kapal menarik perhatian pengunjung di Bagus Place Retreat, Pulau Tioman. - Foto MUHAMMAD MIKAIL ONG

Penginapan bergantung pada bajet

Bagi pengunjung yang belum atau sudah lama tidak ke Tioman, mungkin ada yang tercari-cari tempat penginapan yang sesuai.

Ada banyak penginapan ditawarkan sama ada resort, chalet atau hotel mewah. Ia bergantung kepada bajet anda.

Selepas puas mencari penginapan yang sesuai, penulis memilih Bagus Place Retreat. Di Tioman, terdapat kira-kira 54 chalet di sini, yang dibahagikan kepada dua jenis mengikut kedudukannya, iaitu chalet pantai dan chalet hutan hujan.

Bagus Place Retreat mempunyai sembilan chalet yang dibina berlainan antara satu sama lain, hasil daripada penggabungan asas binaan dan alam semulajadi.

Mereka yang bosan dengan keadaan bingit hiruk pikuk kota, ingin bebaskan diri dari sebarang teknologi dan menikmati alam semula jadi, Bagus Place Retreat merupakan pilihan yang terbaik kerana di sini tiada peti televisyen, tiada komputer, tiada gajet, tiada WiFi! Cuma anda dan panorama alam semula jadi.

Berita Harian X