Sabtu, 15 Ogos 2015 | 12:04am

Lebihan cecair dalam otak ganggu saraf tunjang


PENYAKIT kepala besar, atau dikenali sebagai Hydrocephalus.

SERING kali kita terbaca di dada akhbar mengenai berita bayi atau kanak-kanak diserang menghidap penyakit berkepala besar.

Sesetengah penghidap mempunyai saiz kepala yang besar tetapi mampu bergerak normal seperti kanak-kanak lain.

Namun ada juga yang mengalami komplikasi dan keadaan yang lebih serius. Mereka hanya mampu terbaring dan segala urusan harian perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga.

Perunding Neurosurgeon, Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azmi Alias, berkata penyakit kepala besar ini dikenali sebagai Hydrocephalus.

Katanya, ini adalah keadaan apabila berlaku pengumpulan cecair otak (Cerebro Spinal Fluid) yang berlebihan.

Hydrocephalus-Lebihan Cecair Otak


PERUNDING Neurosurgeon, Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azmi Alias. - Foto Zulfadhli Zulkifli

"Cecair otak dihasilkan setiap hari pada kadar 500 mililiter (ml) sehari. Otak hanya boleh menyimpan cecair pada kadar 135 ml hingga 150 ml.

"Lebihan cecair otak berlaku kerana beberapa sebab, antaranya terdapat halangan atau ketumbuhan yang menghalang penyaliran cecair otak secara normal.

"Halangan yang berlaku menyebabkan cecair otak berkumpul dan akan mengakibatkan peningkatan tekanan dalam otak. Seterusnya keadaan ini akan mengganggu perkembangan otak dan saraf tunjang," katanya.

Beliau yang ditemui di HKL baru-baru ini menggesa ibu bapa yang mempunyai anak yang dilahirkan dengan penyakit Hydrocephalus supaya mendapatkan rawatan segera.

"Penyakit ini juga boleh menyebabkan kecacatan saraf kekal dan kematian boleh berlaku sekiranya tidak dirawat," jelasnya.

Punca Hydrocephalus


PENYAKIT hydrocephalus boleh berlaku secara kongenital (sejak kelahiran) terutamanya kepada pesakit kanak-kanak. - Foto Danial Saad

Mengulas lanjut, penyakit hydrocephalus boleh berlaku secara kongenital (sejak kelahiran) terutamanya kepada pesakit kanak-kanak.

"Punca utama penyakit berkenaan masih tidak diketahui. Namun ada beberapa keadaan yang menyumbang kepada punca terjadinya hydrocephalus.

"Ini mungkin disebabkan wujudnya penyakit lain seperti ketumbuhan, jangkitan dan pendarahan apabila berlaku gangguan dalam sistem aliran cecair otak.

"Selain itu, antara faktor risiko yang mungkin menyebabkan hydrocephalus ialah masalah genetik dan kecacatan yang berlaku semasa tumbesaran," katanya.

Tanda serangan

Terdapat beberapa tanda atau gejala yang boleh dikenalpasti sama ada seseorang bayi atau kanak-kanak menghidap hydrocephalus.

Dr Azmi berkata, antara simptom yang paling jelas adalah saiz kepala yang besar pada kadar yang tidak normal.

"Kita boleh lihat ukuran perimeter kepala pesakit semakin meningkat, dan ia memberi petanda bahawa saiz kepala mereka semakin besar.

"Selain petanda fizikal, pesakit hydrocephalus juga akan mengalami muntah, tidak lena tidur dan rasa kurang selesa kepada persekitaran.

"Untuk kes yang lebih berat, bayi atau kanak-kanak hydrocephalus boleh diserang sawan dan mata mereka tidak boleh bergerak atau melihat ke atas.

"Ini kerana kedudukan bola mata yang sudah terkeluar sedikit, seakan-akan mata sedang terbeliak," katanya.

Beliau turut menjelaskan diagnosis untuk pesakit hydrocephalus boleh dilakukan ketika pemeriksaan kandungan (antenatal) dan selepas kelahiran (post natal)

"Untuk pemeriksaan kandungan, ia boleh dibuat menerusi ujian imbasan bunyi dan imej resonan magnetik (MRI).

"Bagi pemeriksaan bayi selepas kelahiran, ia boleh dilakukan dengan pemeriksaan fizikal secara terperinci, ujian imbasan bunyi, imbasan CT (CT scan) dan juga MRI," katanya.

Jenis Rawatan


'SHUNT' dipasang bagi membolehkan lebihan cecair otak disalurkan ke bahagian lain dalam badan.

Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh diberikan kepada penghidap Hydrocephalus, bergantung kepada keadaan mereka.

Dr Azmi berkata, untuk mengalihkan aliran cecair otak secara kekal, pembedahan memasang 'shunt' perlu dilakukan.

"Kebiasaannya, pemasangan 'shunt' terdiri daripada dua tiub `catheter' dan injap sehala. 'Shunt' dipasang bagi membolehkan lebihan cecair otak disalurkan ke bahagian lain dalam badan.

"Terdapat dua jenis pembedahan memasukkan 'shunt' iaitu secara dalaman dan luaran.

"Pembedahan pemasangan 'shunt' secara dalaman dikenali sebagai ventriculo-peritoneal shunt (VP shunt). Pembedahan luaran pula dikenali sebagai endoscopic third ventriculostomy (ETV shunt)," katanya.

Disebabkan terdapat pelbagai keadaan berbeza berlaku kepada pesakit hydrocephalus ini, Dr Azmi mencadangkan ibu bapa yang mempunyai anak berpenyakit itu supaya berunding dengan pakar di hospital berhampiran.

"Ia bagi membolehkan ibu bapa mendapat nasihat dan rawatan terbaik bagi mengubati penyakit anak mereka," katanya.

Berita Harian X