Sabtu, 15 Ogos 2015 | 12:02am

Rahsia gulai tempoyak Akob Patin


MOHD Eruwan Alias bersama isterinya, Rosma Yaakob mengusahakan restoran Akob Patin House 3 di Kuantan, Pahang. - Foto Zunnur Al Shafiq

KEBELAKANGAN ini amat mudah mencari gulai tempoyak ikan patin, termasuklah di restoran di pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, sekiranya anda teringin atau mengidam kelazatannya.

Namun, adakah keaslian rasanya memenuhi cita rasa seperti gulai tempoyak ikan patin di beberapa daerah di negeri Pahang sebelum ini? Jawapannya pasti tidak. Jika ada sekalipun, rasanya tidak 100 peratus asli!

Bagi penggemar gulai tempoyak ikan patin, anda boleh cuba merasainya ke Akob Patin House 3, Jalan Putra Square 6, Kuantan, Pahang. Ini kerana semua hidangan ikan patin di restoran berkenaan, pasti memenuhi cita rasa ramai.

Penulis bersama jurugambar berpeluang menikmati gulai tempoyak patin buah sangkar sungai, patin goreng dan ikan kerai goreng di situ, keenakannya sangat puas hati!


PENGUNJUNG menikmati juadah yang terdapat di Akob Patin House 3. - Foto Zunnur Al Shafiq

Akob Patin House 3 hanya menyajikan patin sangkar sungai dan patin buah yang berkualiti sahaja kepada pengunjungnya.

Pengusaha dan pemiliknya, Mohd Eruwan Alias, 34, berkata keistimewaan patin buah adalah isi atau rasa ikan berkenaan. Isi patin buah lebih pejal dan tidak mudah pecah apabila dimasak, selain mempunyai lemak yang sedap dimakan, terutama di bahagian kepala ikan berkenaan.

"Berbanding ikan patin biasa, selepas beberapa jam dimasak, isinya lembik dan akhirnya hancur. Bagi gulai tempoyak, kami hanya menggunakan tempoyak dan cili api yang tulen sahaja. Itulah resepi rahsia gulai tempoyak, turun temurun daripada ayah dan emak yang mula-mula mempelopori perniagaan gulai tempoyak ikan patin di Kuantan," akui Eruwan atau mesra disapa Iwan saja.

Berbeza dengan pengusaha gulai tempoyak ikan patin yang lain, Akob Patin House 3 tidak menggunakan kunyit yang terlalu banyak untuk menaikkan lagi warna kuah gulai tempoyak kerana kaedah seumpamanya mampu menghilangkan keaslian rasa tempoyak berkenaan.

Begitu juga jika kuah gulai tempoyak dicampur dengan isi pisang, bukan tempoyak 100 peratus. Penjimatan seperti ini boleh mengurangkan keaslian rasa gulai tempoyak berkenaan.


JUADAH yang terdapat di Akob Patin House 3. - Foto Zunnur Al Shafiq

Iwan mengusahakan perniagaan makanan di restoran berkenaan bersama isterinya, Rosma Yaakob, 34, kira-kira dua tahun lalu. Akob Patin House mempunyai dua cawangan lain di Kuantan iaitu di Jalan Besar dan Bandar Indera Mahkota.

Menu lain yang wajib anda cuba di Akob Patin House 3 termasuklah patin goreng dan ikan kerai goreng. Keenakan rasanya pasti menambat hati pengunjung.

Selain itu, daging salai, gulai lemak pisang, gulai lemak rebung, gulai lemak pucuk paku dan pucuk ubi tempoyak serta ulam-ulaman lain yang dicicah bersama sambal tempoyak, sambal belacan, sambal kicap dan sambal budu, mampu menawan cita rasa ramai.

Tambah Iwan, restorannya dipenuhi pengunjung luar terutama dari Kuala Lumpur, Terengganu dan Kelantan pada setiap hujung minggu.

"Bagi saya, sekiranya ingin kekal lama dalam perniagaan makanan, kita perlu mengekalkan keaslian rasa gulai tempoyak itu. Hidangan istimewa ini jangan sesekali kualitinya ke 'laut'. "Elakkan daripada nak tunjuk pandai, ubah suai resepi seperti campur kuah dengan keju dan sebagainya.

"Pengunjung akan datang berulang kali jika rasa makanan kita sedap. Mereka pasti datang lagi bawa bersama lebih ramai saudara mara dan kenalan lain," jelas Iwan.


PENGUNJUNG memilih hidangan yang terdapat di Akob Patin House 3. - Foto Zunnur Al Shafiq

INFO

  • Akob Patin House 3
  • Alamat: No 24, Lot 150, End Lot, Contraction Town, Jalan Putra Square 6, Kuantan, Pahang

    (berhampiran East Coast Mall dan The Zenith Hotel Kuantan)

  • Beroperasi setiap hari kecuali Isnin
  • Waktu operasi: 8.30 pagi hingga 5.30 petang
  • Sebarang pertanyaan dan tempahan, hubungi: 012 951 4212 (Mohd Eruwan)

Senarai harga hidangan istimewa

  • Patin sangkar sungai (1 ketul > RM15)
  • Patin buah sangkar sungai (1 ketul > RM20 hingga RM25, bergantung kepada saiz)
  • Patin goreng (1 ketul > RM15)
  • Ikan kerai goreng (seekor > RM150 hingga RM160, bergantung kepada saiz)

Berita Harian X