Isnin, 10 Ogos 2015 | 3:24pm

Aiman Hakim tak mahu terikat lakonan skop cinta


AIMAN Hakim.

KUALA LUMPUR: Pelakon Aiman Hakim akui mendambakan produk lakonan berbeza dan enggan terikat dengan skop cinta semata-mata.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza, 25, berkata dia mahu orang ramai buka mata dan melihat bakatnya menerusi setiap watak yang dibawa kerana itu adalah keutamaan dalam kariernya.

"Sering kali saya ditawarkan untuk menjayakan watak berlatarkan skop cinta. Klise rasanya wajah saya sering dikaitkan dengan karya berkaitan cinta.

"Setiap watak yang dilakonkan akan memberikan persepsi berbeza kepada penonton dan peminat. Sebab itulah saya begitu memilih supaya tidak terkena tempias atau badi watak yang dibawa.

"Saya mahu menampilkan kelainan dalam portfolio kerjaya saya sebagai seorang pelakon. Sekali gus mencabar diri untuk memperbaiki bakat dalam bidang lakonan," kata Aiman kepada BH Online.

Aiman ditemui pada sidang media teater Y Sebuah Muzikal terbitan Gerakan Belia 4B Malaysia dan Belbis Sdn Bhd di Istana Budaya di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu mengenai pementasan teater Y Sebuah Muzikal, Aiman diberi peranan membawa watak Haikal iaitu seorang pemuda yang pulang ke kampung selepas tamat pengajian di bandar.

"Saya memegang watak sebagai Haikal iaitu pemuda yang aktif dalam Persatuan Gerak Belia. Saya begitu teruja menjayakan watak Haikal ini kerana menyuntik semangat patriotik menerusi lakonan.

"Saya memandang tinggi dua tokoh negara iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri P Ramlee yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara," katanya.

Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya selama sembilan hari bermula pada 22 Ogos depan arahan Khairunawan Rodzy.

Selain Aiman, pelakon lain yang turut terbabit dalam pementasan ini ialah Fathia Latiff dan pelakon baru Sarah Hilderband.

Tiket menyaksikan pementasan ini dijual dengan harga RM55, RM75, RM125, RM155, RM195 dan RM300.

Ia boleh dibeli secara dalam talian di www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X