Ahad, 9 Ogos 2015 | 12:02am

Lata Kinjang - Taman Eko-Rimba di pinggir lebuh raya


AIR yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa menghasilkan suasana segar dan pemandangan menarik.

BAGI pengguna lebuh raya utara selatan yang menuju ke utara, apabila menghampiri hentian rawat dan rehat (R & R) Tapah, mesti terpandang air terjun yang memutih.

Jika kebetulan selepas hujan, air terjun itu kelihatan agak besar, tetapi pada musim panas aliran air dari tanah tinggi itu agak mengecil atau nipis saja.

Airnya seperti menyegarkan dan terjun secara bertingkat. Itulah Air Terjun Lata Kinjang.

Melihat lebih dekat, takat terjun bertingkat dan menarik serta ditambah dengan aliran air yang bebas daripada sebarang bentuk pencemaran dari Banjaran Titiwangsa menjadikan air terjun yang terletak dalam Taman Eko-Rimba (TER) di Tapah, Perak yang dahulunya dikenali sebagai kawasan perkelahan Lata Kinjang kian menjadi tumpuan orang ramai.

Aliran air yang mengalir melalui takat terjun membentuk kolam kecil secara semula jadi setiap takat memberi keselesaan kepada pengunjung menikmati kesegaran dan kesejukan air terjun membuat kita berasa tenang di samping menikmati suasana alam yang terdapat di sini.

Semua takat terjun yang terdapat di taman ini sehingga ke lokasi titi gantung di bahagian atas banjaran itu dibentuk secara tabii akibat aliran air yang mengalir jatuh lalu menolak batu-batu kecil untuk membentuk kolam kecil di setiap takat terjun itu.

Jika kita melalui Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sebelum melewati susur keluar tol Tapah dari arah Kuala Lumpur, akan maka jelas kelihatan pemandangan air terjun di sebelah kanan membuat kita tidak sabar menuju ke taman itu.

Jualan hasil hutan


TERDAPAT gerai menjual hasil kraf buatan penduduk tempatan, khususnya masyarakat Orang Asli dari Kampung Asli Lata Kinjang.

Pengunjung yang datang dari arah utara dan selatan boleh menggunakan susur keluar tol Tapah. Tidak susah untuk menuju Lata Kinjang kerana terdapat banyak papan tanda di tepi jalan Persekutuan kerana ia terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari pekan Tapah atau tujuh km dari plaza tol Tapah.

Sepanjang perjalanan menuju ke Lata Kinjang yang menjadi kawasan riadah terkenal di Perak, pengunjung akan melihat ramai penduduk kampung menjual hasil hutan seperti petai dan jering serta buah-buahan tempatan.

Terdapat banyak pondok untuk keselesaan orang ramai dibina sejak pusat perkelahan di sini di perbaiki menjadi taman eko-rimba oleh Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sejak tahun lalu.

Bagi memastikan keselamatan pengunjung ketika berada di kawasan itu, terdapat papan tanda dibina sebagai panduan dan peringatan. Bagi mengekalkan keaslian suasana taman di sini, pengunjung sepatutnya memberi kerjasama dengan sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan serta keindahan dengan tidak merosakkan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga, pengunjung seharusnya juga ada kesedaran untuk bersama-sama menjaga kebersihan dan tidak melakukan sebarang bentuk vandalisme di kawasan ini.

Terdapat gerai disediakan menjualkan hasil kraf buatan penduduk tempatan, khususnya masyarakat Orang Asli dari Kampung Asli Lata Kinjang.


PAPAN tanda sebagai panduan dan peringatan untuk keselamatan pengunjung Taman Eko-Rimba.

tapak perkhemahan disediakan

Bagi mereka yang suka aktiviti mencabar keberanian atau menguji kecergasan diri, bolehlah menggunakan tangga yang dibina untuk merasai pengalaman berjalan di titi gantung yang berada di pertengahan puncak banjaran itu.

Bagi tujuan pendidikan terdapat papan maklumat dibina di sekitar kawasan air terjun, terutama mengenai habitat haiwan dan tumbuhan yang terdapat di sini.

Jika bernasib baik ketika mengunjungi taman ini, terdapat ramai penduduk tempatan menjual hasil hutan seperti petai yang paling popular di kawasan ini selain durian yang dikutip dari hutan berhampiran.

Bagi mereka yang menggemari perkhemahan, terdapat tapak disediakan kepada pengunjung untuk menjalankan aktiviti berkenaan.


PAPAN maklumat mengenai habitat haiwan dan tumbuhan di Taman Eko-Rimba.

Info:

Menurut penduduk setempat nama Kinjang berasal dari dari nama haiwan "Kijang" yang ketika dahulu banyak berkeliaran di kawasan ini dan menjadi kawasan pemburuan orang Inggeris pada zaman dahulu serta orang Inggeris ketika itu tersalah sebut Kijang kepada Kinjang sehingga kekal nama itu sehingga hari ini. Kini kijang di sini semakin berkurangan disebabkan aktiviti pemburuan haram sebelum ini untuk mendapatkan daging dan kulitnya serta haiwan pemangsa seperti harimau juga semakin berkurangan disebabkan kekurangan kijang di kawasan ini.

Berita Harian X