Sabtu, 8 Ogos 2015 | 9:00am

Watak Saloma, Zaiton Sameon beri impak buat Nadia Aqilah

NADIA Aqilah Bajuri. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Peluang melakonkan dua watak ikonik yang pernah meninggalkan impak di arena seni pastinya kesempatan terindah yang takkan dilupakan pelakon yang juga penyanyi, Nadia Aqilah Bajuri.

Bukan calang orang yang mampu diberi mandat dan kepercayaan untuk membawakan watak yang mencipta sejarah serta fenomena tersendiri dalam sejarah hiburan tanah air.

Melakonkan semula watak biduanita negara, Allahyarhamah Saloma di pentas teater muzikal P Ramlee dan filem biografi, Zaiton Ceritaku bagi watak Zaiton Sameon ternyata meninggalkan maksud dan ingatan mendalam buat Nadia.

Ia membuktikan bakat Nadia yang pernah menganggotai kumpulan Luscious di samping Eenaz dan Ruzana dalam rancangan realiti televisyen Gangstarz pada tahun 2007 tidak dipandang sebelah mata.

Cuma hingga saat ini, percubaannya di bidang nyanyian belum menyebelahi beliau. Mujur, dunia lakonan menjadi penebus untuk beliau meneruskan kelangsungan hidup. Biarpun tidak segah pelakon popular lain, Nadia meneruskan legasi seninya dengan cara tersendiri. Empunya diri juga bagaikan sudah lali kerana nama belum naik lagi walaupun pelbagai cabang seni diceburi, termasuk ke pentas teater.

Filem Zaiton Ceritaku yang ditayangkan pada November 2012 menjadi pertaruhan sulung Nadia ke layar perak. Filem itu diarahkan oleh Esma Daniel dan diterbitkan Bruang Filem Sdn Bhd. Watak Saloma pula, Nadia diberi kepercayaan itu untuk dua kali dalam teater muzikal terbitan Enfiniti Vision Media milik Datin Seri Tiara Jacquelina.

NADIA Aqilah (kiri) bersama Datin Seri Tiara Jacquelina. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Kedua-dua watak itu meninggalkan impak tersendiri dalam hidup saya. Ia kejayaan peribadi yang saya akan semat sampai bila-bila. Dengan kepercayaan yang diberikan, saya pikul amanah itu. Dalam hati saya cuba untuk tidak menolak tawaran keemasan sebegitu yang mungkin hanya akan datang sekali dalam seumur hidup. Malah saya cabar diri dengan persoalan, kenapa tidak saya menerima tawaran itu.

"Filem Zaiton Ceritaku sendiri pastinya memainkan peranan penting di hati saya. Biarpun sambutannya tidak sehebat diharapkan, saya anggap ia cukup istimewa. Ia menjadi filem pertama yang membenarkan saya menyanyi. Saya juga dapat ke majlis anugerah yang turut mencalonkan nama saya dalam kategori dipertandingkan. Selalunya saya akan ke majlis anugerah atas paksi memberi sokongan kepada kawan dan penganjur.

"Tanpa ragu, memang filem dan watak ini mempunyai sudut terbaik dalam sanubari. Menerusi watak Zaiton, saya pernah dicalonkan dalam kategori Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) dan Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2013. Tetapi tuah lebih menyebelahi Cristina Suzanne yang dilihat cemerlang dalam filem KIL bagi dua kategori yang sama," katanya.

Peluang membawakan watak Saloma, insan yang pernah bertakhta di hati Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga sangat bermakna. Bulan ini sekali lagi teater muzikal P Ramlee akan dipentaskan secara jelajah bermula di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.

Mengetengahkan judul 'Dari Penang ke Singapura', teater itu turut menampilkan pelakon lain seperti Datuk Aznil Nawawi dan Tony Eusoff

Teater itu sudah tiga kali dipentaskan, termasuk di ibu kota, Kuching dan Singapura. Sebelum Nadia, watak Saloma untuk pementasan musim terdahulu digalas Liza Hanim dan Elly Mazlein.

Saloma disifatkan Nadia sebagai seorang yang sangat memberi inspirasi kepada orang lain dan sememangnya dilahirkan untuk menjadi seorang primadona.

"Saya percaya ramai pelakon yang mendambakan peluang ini. Pasti ada yang teringin nak bawa watak Saloma. Tanyalah mana-mana pelakon pun, pasti ramai yang 'mengidam' watak sama. Jadi saya cukup bertuah diberi ruang ini sebanyak dua kali. Bagi pelakon yang masih boleh dianggap baharu ini, saya tak mahu lepaskan peluang yang hadir begitu sahaja.

"Bekerja dengan produksi Tiara juga cukup menyenangkan. Saya selesa dengan rumah produksi ini. Produksi miliknya umpama rumah dan sekolah buat pekerja seni seperti kami. Ia juga seperti taman permainan untuk saya dan pelakon lain mencari apa yang perlu ada bagi seorang penghibur pentas.

TONY Eusoff diapit Nadia Aqilah dan Datin Seri Tiara Jacquelina. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Tiara sendiri sangat memberi inspirasi. Tiara tak cakap kosong. Apa yang beliau cakap, beliau akan dibuktikan. Bekerja dengannya juga seperti bergandingan dengan kawan. Sekalipun sudah pernah membawakan watak Sally (panggilan manja Saloma), ia bukan alasan untuk saya ambil mudah. Tambah pula pementasan kali ini bergerak dari Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka," katanya.

Diasak dengan persoalan populariti dirinya yang pada tahap biasa biarpun dilihat mampu menyerlah, penyanyi yang pernah dikenali dengan lagu Patah Sayap ini tidak melihat hal itu sebagai beban yang perlu difikirkan. Lebih sedekad bertapak, Nadia sebenarnya pernah mengalah dan mahu cari kerja lain.

"Tetapi siapa sangka, saya masih berada di arena seni. Daripada zaman Gangstarz dan filem Zaiton Ceritaku lagi, saya sudah buat macam-macam benda untuk mencipta nama dalam industri seni.

"Kalau saya sudah bekerja keras sekalipun tetapi orang masih tak nampak bakat saya, apa daya saya. Tapi sebagai individu, saya melihat apa yang dilalui selama ini cukup indah dikenang.

"Zaman awal dahulu, mungkin saya ralat kalau tak popular atau dikenali. Macam sekarang ini, saya percaya semua yang berlaku atas kehendak-Nya. Paling penting niat saya. Saya hanya sekadar mahu berkongsi bakat yang ada. Saya nak memberi inspirasi dan membuat persembahan yang sampai ke hati semua orang yang menghargai seni.

"Pada tahap sekarang juga, saya selesa bersikap selektif. Selektif itu juga tak bererti hanya memilih untuk bekerja dengan kroni sahaja. Cuma selepas kita membuat dan mencuba sesuatu perkara, akhirnya memang penting untuk memilih apa yang kita rasa selesa nak buat, termasuk dengan siapa kita nak bekerja.

"Cuma saya tak boleh terus di zon selesa selepas membuat banyak perkara," katanya yang mula berlakon pada usia 14 tahun sebelum mengambil keputusan untuk lebih serius dalam dunia lakonan ketika berumur 19 tahun.

Ramadan lalu, Nadia juga menghasilkan album mini yang memuatkan lagu Melayu sepenuhnya. Sebelum ini, beliau menampilkan sebuah album solo yang mengandungi tujuh buah lagu berbahasa Inggeris dan tiga lagu Melayu berjudul DIVA, namun dianggap gagal selepas dua tahun berada di pasaran.

Selain rentak kerjaya seninya yang dilihat bergerak perlahan, Nadia juga tidak mahu perkara yang tidak sewajarnya seperti sisi peribadi sewenang-wenangnya diperkatakan.

"Saya memang agak perahsia dalam soal peribadi. Saya lebih selesa untuk berkongsi hal kerja saja," tegasnya mengakhiri bicara.

Info teater muzikal P Ramlee

  • Dipentaskan di Pulau Pinang dari 28 Ogos hingga 30 Ogos, diikuti Johor Bahru (4 hingga 6 September) dan Melaka (11 hingga 13 September).
  • Harga tiket RM83, RM103, RM153 dan RM203. Layari www.ticketpro.com.my untuk keterangan lanjut.
Berita Harian X