Jumaat, 15 Ogos 2014 | 6:46pm
Sumber Bank Negara Malaysia

Ekonomi 2014 diunjur 5.5 peratus - ahli ekonomi

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia seluruh tahun ini diunjurkan berkembang pada kadar 5.5 peratus, walaupun pertumbuhan sangat memberangsangkan pada separuh pertama didorong peningkatan eksport dan penggunaan domestik.

Kalangan ahli ekonomi berpendapat faktor luaran terutama isu geopolitik akan memberi kesan kepada pertumbuhan secara keseluruhan pada separuh kedua tahun ini.

"Momentum pertumbuhan ekonomi bagi separuh kedua 2014 dijangka lebih perlahan berbanding prestasi kukuh yang dicatat pada separuh pertama," kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Ekonomi Malaysia berkembang 6.4 peratus pada suku kedua tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran. Pada suku pertama, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang 6.2 peratus menjadikan pertumbuhan dalam separuh pertama tahun ini sebanyak 6.3 peratus.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata, prestasi ekonomi negara pada suku kedua sememangnya adalah sangat baik kerana ia melebihi jangkaan kebanyakan penganalisis ekonomi.

"Kami mengunjurkan 6.5 peratus sebelum ini kerana faktor permintaan ekonomi luaran yang dilihat sebagai pemangkin utama apabila eksport bersih menyumbang 4.5 peratus kepada jumlah keseluruhan pertumbuhan ekonomi pada suku kedua," katanya.

Bagaimanapun katanya, permintaan ekonomi domestik mengalami sedikit kelembapan apabila pertumbuhan yang dicatatkan adalah 5.7 peratus berbanding 7.4 peratus yang dicatat dalam tempoh sebelumnya.

"Namun demikian, prestasi yang direkodkan oleh pelaburan swasta iaitu 12.1 peratus sedikit sebanyak dapat mengekang kelembapan dalam sektor perbelanjaan yang lain," katanya.

Sementara itu, penganalisis Capital Economics Ltd, Krystal Tan, berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah antara yang paling cemerlang di rantau Asia Tenggara setakat tahun ini.

Katanya, Malaysia muncul sebagai antara sebilangan kecil negara yang benar-benar menyaksikan ekonominya meningkat kukuh.

"Ini bermakna Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai ruang untuk terus menormalisasi dasar monetarinya," katanya.

BNM menaikkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas bulan lalu dan berkata langkah pada masa akan datang bergantung kepada keseimbangan risiko antara pertumbuhan dan inflasi.

Ahli Ekonomi CIMB Group Holdings Bhd, Julia Goh pula berkata ekonomi Malaysia ketika ini berada dalam dinamik pertumbuhan yang mantap namun masih dipengaruhi oleh tekanan inflasi.

Pada masa sama, katanya BNM mengambil langkah awal untuk melindungi pembentukan ketidakseimbangan kewangan.

"Justeru, kami menjangkakan BNM akan melaksanakan satu lagi kenaikan kadar faedah pada September ini," katanya.

Berita Harian X