Isnin, 3 Ogos 2015 | 12:04am
ANTARA juadah yang terdapat di Zawara Coffee Bukit Jelutong. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELBAGAI hidangan terdapat di Zawara Coffee Bukit Jelutong. - Foto Zunnur Al Shafiq
RUANG Zawara Coffee di Bukit Jelutong. - Foto Zunnur Al Shafiq

Juruterbang tinggal kerjaya cari cabaran


ZAWARA Coffee Bukit Jelutong. - Foto Zunnur Al Shafiq

"RUPA-rupanya kepuasan bekerja adalah dalam bidang perniagaan bukannya berada di awan biru," kata bekas seorang juruterbang komersial sebuah syarikat penerbangan antarabangsa terkemuka dunia.

Biarpun pernah berada dalam zon selesa, pemuda dikenali Kamarul Ariff Karim memilih untuk menjadi seorang usahawan dan meninggalkan kerjayanya yang menjanjikan gaji lumayan.

Berusia 39 tahun, Kamarul Ariff kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zawara Sdn Bhd yang mempunyai dua anak syarikat di bawahnya iaitu Zawara Fashion Sdn Bhd dan Zawara Coffee Sdn Bhd.

Berkat kesungguhan, perniagaan beliau berkembang menerusi jenama yang semakin dikenali ramai terutama menerusi segmen pakaian muslimah, Zawara.

Memulakan perbualan, Kamarul Ariff berkata, beliau meminati bidang perniagaan kerana ia satu bidang yang mencabar serta berisiko, sekali gus melatihnya untuk bersikap sabar, berkeyakinan tinggi dan berani mencuba.


MOHD Zaqhwan Zaidi.

Adik jadi pendorong

"Kehidupan sebagai seorang juruterbang juga mempunyai cabaran tersendiri. Namun, selepas belasan tahun, timbul keinginan saya untuk mencuba sesuatu bidang baharu yang lebih mencabar.

"Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja walaupun kehidupan saya di luar negara ketika itu dianggap sudah selesa dan mewah dengan jaminan gaji setiap bulan.

"Apatah lagi, semangat untuk berniaga turut didorong adik saya, Nur Fadilla, 29, yang juga berhasrat untuk membuka perniagaan menyebabkan saya tidak berfikir panjang untuk berhenti dan pulang ke Malaysia, menjalankan perniagaan," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, tahun 2009 menjadi titik permulaan apabila beliau dengan adiknya membuka perniagaan secara kecil-kecilan sebelum melangkah secara lebih serius pada tahun 2013.

"Buat permulaan, kami hanya membuka kiosk menjual barangan elektronik yang diambil daripada pengedar untuk dijual secara kecil-kecilan, bermodalkan permulaan sebanyak RM15,000.

"Meskipun secara kecil-kecilan, kami tidak takut untuk berdepan risiko. Kami mampu membuka 20 kiosk jualan di seluruh Malaysia dan walaupun baru tahun pertama berniaga, kami sudah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3 juta," katanya.

Menggunakan pengalaman sedia ada dan perniagaan yang baru setahun jagung, Kamarul Ariff akhirnya nekad untuk lebih serius dengan membuka perniagaan menjual pakaian dan tudung wanita yang dianggap mempunyai potensi yang cukup besar sehingga wujudnya, Zawara Fashion yang kini semakin popular di kalangan penggemar fesyen.

Malah, adiknya sendiri Nur Fadilla bertindak sebagai pereka fesyen selain menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi syarikat.


ZAWARA Cofffe yang berkonsepkan kafe santai. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dari butik ke kafe

Berkat kesungguhan dua beradik berkenaan, Zawara Fashion kini mempunyai 19 cawangan butik di seluruh negara selain perniagaan dalam talian.

"Setiap butik mampu mencatatkan pendapatan antara RM150,000 hingga RM200,000 sebulan dan boleh mencecah dua hingga tiga kali ganda daripada jumlah itu jika tiba musim perayaan.

"Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan usaha kami adik beradik, Zawara kini dikenali antara jenama tempatan yang semakin mendapat tempat di kalangan peminat fesyen," katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Kamarul Ariff terus mengorak langkah dengan mengembangkan perniagaannya kepada penjualan makanan dan minuman dengan membuka sebuah kafe dikenali Zawara Coffee.

Zawara Coffee yang baru dilancarkan Mei lalu kini beroperasi di Bukit Jelutong dan dua lagi di Bangi dan Setapak dijangka akan beroperasi akhir bulan ini.

Kamarul Ariff berkata, minat untuk membuka Zawara Coffee timbul disebabkan beliau sendiri adalah penggemar kopi dan sering menjadikan kafe antara lokasi bersantai dengan rakan.

"Sepanjang bertugas sebagai juruterbang dahulu, saya sudah merasai pelbagai jenis kopi dari seluruh negara yang mempunyai keunikan rasanya yang tersendiri. Kadang-kadang ada di antara kopi berkenaan sukar diperoleh di negara ini.

"Justeru, tidak salah saya berkongsi minat saya bersama orang lain dengan membuka kafe yang menyediakan minuman kopi gourmet yang bercitarasa mewah dan berkualiti tinggi," katanya.

Zawara Cofffe yang berkonsepkan kafe santai mencatatkan jualan memberangsangkan walaupun baru tiga bulan beroperasi.

Selain menggunakan peralatan teknologi tinggi bagi mengadunkan ramuan kopi, kafe berkenaan juga menyediakan hidangan enak dengan harga berpatutan.

Rancang masa depan

Berkongsi pandangan bagi perancangan masa depan, Kamarul Ariff berkata, beliau merancang untuk membuka sebuah pusat sehenti untuk muslimah yang menyediakan pelbagai koleksi produk untuk wanita daripada pakaian sehingga kelengkapan lain seperti tudung, kasut dan beg tangan.

"Kami merancang untuk merealisasikan hasrat itu pada tahun depan dengan mempelbagaikan produk demi memenuhi permintaan pelanggan.

"Selain itu, kami juga merancang untuk menyediakan koleksi pakaian bagi lelaki `Zawara Men' berikutan turut mendapat sambutan positif di kalangan kaum Adam," katanya.

Katanya, beliau optimis hasrat itu mampu dilaksanakan berikutan Zawara mempunyai tiga kilang untuk menjahit serta menghasilkan setiap produk yang direka mengikut trend terkini.

"Satu kilang kami beroperasi di Ara Damansara, manakala dua lagi di Vietnam dan Indonesia. Dianggarkan kapsiti bagi ketiga-tiga kilang itu mampu mencecah 100,000 pengeluaran sebulan," katanya yang menyasarkan pembukaan 100 cawangan Zawara Coffee di seluruh Malaysia dalam tempoh tiga tahun.

Sebagai seorang usahawan Bumiputera, Kamarul Ariff juga bercita-cita tinggi untuk menjadikan bidang perniagaannya sebagai satu daripada platform untuk membantu peniaga lain.

"Kami sentiasa mengalu-alukan mereka yang berminat untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman berniaga menerusi produk keluaran Zawara," katanya.

Berita Harian X