Jumaat, 31 Julai 2015 | 12:02am

Pilih produk bebas bahan kimia

APAKAH cara paling tepat memilih produk pemutihan yang sesuai mengikut jenis kulit. Saya pernah mencuba dalam bentuk krim, pada mulanya hasil menakjubkan, iaitu kulit cerah dan sekata. Namun, apabila saya berhenti menggunakannya, timbul jerawat halus dan kulit nampak kusam. Adakah produk ini tidak sesuai dengan kulit saya?

Aeina Karmila-Bukit Antarabangsa, Selangor

Untuk mendapatkan kulit putih dan cerah, ia bukan boleh diperoleh dengan segera. Sebagai pengguna, anda haruslah curiga, sekiranya sesuatu produk itu mampu memberi kecerahan kulit dalam waktu yang singkat.

Pada asasnya, krim pemutih adalah campuran bahan kimia bertujuan menghasilkan wajah lebih pucat pada kulit. Dalam jangka lama, krim itu dapat menghilangkan atau mengurangi hiperpigmentasi pada kulit.

Waspada produk tiruan

Namun, penggunaan secara berterusan akan menimbulkan pigmentasi dengan kesan secara kekal. Di pasaran terbuka, ada produk tiruan dijual pada harga murah yang berkemungkinan besar tidak memberi kesan positif atau mungkin bersifat terlalu menghakis lapisan kulit untuk memberikan hasil segera.

Ada pelbagai jenis krim pemutih di pasaran dan kandungan yang dibenarkan untuk memutihkan kulit yang dihasilkan daripada pati soya, vitamin C, vitamin E, albutin, asid kojik, liquorice dan mulberi.


AWASI produk kecantikan tiruan.

Awas bahan berbahaya

Kandungan ini dibenarkan untuk krim pemutih yang dijual di farmasi atau kaunter kosmetik saja, manakala krim pemutih yang dibenarkan di kebanyakan klinik aestetik dan klinik pakar kulit hanya mengandungi dua hingga empat peratus hidrokuinon dan 0.025 sehingga 0.1 miligram (ml) peratus tretinoin saja, selebihnya adalah berbahaya.

Boleh dikatakan, hampir semua krim pemutih yang dijual di pasaran terbuka mengandungi agen pemutih seperti hydrokuinon dan tretinoin pada paras kandungan yang tinggi untuk memberi pengguna hasil yang menakjubkan dalam masa singkat.

Penggunaan produk kosmetik yang mengandungi hidrokuinon secara berlebihan melebihi empat peratus dilaporkan memberi kesan sampingan seperti radang dan rasa panas pada kulit.

Hidrokuinon adalah zat reduktor yang mudah larut dalam air dan lazimnya digunakan dalam proses mencuci foto cetak. Bahan ini sangat berbahaya walaupun ia berfungsi menjadikan kulit cerah dalam tempoh yang singkat.

Namun, lama-kelamaan, ia akan mendap di bawah kulit sehingga bertahun-tahun dan akhirnya kulit bertukar biru kehitaman serta lebih buruk, ia boleh menyebabkan kanser kulit.

Pada tahun 2006, Pentadbiran Makanan dan Ubatubatan (FDA) di Amerika syarikat melarang semua produk kosmetik mengandungi hidrokuinon kerana dianggap ubat-ubatan serta hanya boleh dibeli di bawah pengawasan doktor saja, manakala di Indonesia, larangan itu mula berkuatkuasa pada tahun 2008 dan di Filipina pula, pada awal 2009.

Ada yang tidak berdaftar

Sementara itu di Malaysia, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan tidak mendaftarkan kosmetik mengandungi hidrokuinon dan produk ini diklasifikasikan sebagai produk tidak berdaftar.

Hidrokuinon berkemampuan memberikan hasil yang luar biasa dalam pembentukan melanin, menjadikannya bahan kosmetik popular untuk pencerahan kulit dan diberi nama miracle cream.

Malah, ahli dermatologi beranggapan hidrokuinon paling berkesan apabila digunakan empat hingga 10 peratus sehingga menjadi satu-satunya pencerah kulit yang dipersetujui FDA selama 20 tahun.

Namun, menyedari bahan ini membawa lebih kemudaratan berbanding manfaat, ia diharamkan oleh FDA dan kini hanya di bawah empat peratus saja dibenarkan mengikut pengawasan doktor.

Kandungan yang tidak terkawal yang dijual di pasaran ini boleh memberi kesan sampingan berkekalan seperti alahan yang teruk, jeragat degil (tompok hitam yang leper di dalam lapisan kulit atau biji seperti ketumbuhan kecil pada kulit) dan jerawat.

Di samping itu, ia juga menjadikan kulit lebih sensitif apabila terkena sinar matahari.

Kulit yang menghadapi masalah selepas menggunakan produk tidak diiktiraf boleh dirawat, namun ia akan mengambil masa dan bergantung kepada kulit individu.


GUNAKAN produk kecantikan yang tidak merbahaya.

Jangan terburu-buru beli produk

Pengguna yang mengalami masalah kulit selepas penggunaan produk pemutihan dinasihatkan supaya berhenti menggunakannya sertamerta dan segera berjumpa doktor. Sebelum rawatan, dinasihatkan supaya berhenti menggunakan produk sedia ada selama sebulan sebelum proses rawatan dilakukan.

Pengguna dinasihatkan tidak terburu-buru menggunakan produk pemutih disebabkan ingin mendapatkan kulit cerah tanpa mendapatkan pandangan doktor terlebih dulu.

Krim pencerah sepatutnya hanya mencerahkan kulit secara keseluruhan, namun langkah pencegahan semula jadi yang perlu diambil adalah dengan mengelak daripada terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari. Ini kerana cahaya matahari mengandungi sinaran ultraungu (UV) A dan UVB yang berupaya menggelapkan kulit.

"Amalkan penggunaan krim pelindung matahari mengandungi SPF 50 ke atas dan gunakan payung, topi atau penapis sinaran yang berkualiti pada cermin tingkap kereta yang mampu menghalang sinaran UV daripada menembusi kulit.

Vitamin yang sesuai

Di pasaran ada vitamin yang sesuai untuk kulit seperti vitamin C, E dan B yang tidak memudaratkan kulit walaupun diambil dalam tempoh lama, manakala pengambilan makanan mengandungi vitamin itu sangat membantu melindungi kulit daripada bermasalah.

Berhatihati ketika memilih produk pemutihan kulit dan pastikan ia disyorkan oleh doktor bertauliah. Rawatan pemutihan kulit di klinik di bawah pengawasan doktor kebiasaannya adalah lebih berkesan dan selamat.

Berita Harian X