Selasa, 28 Julai 2015 | 12:11am

Elak padah melecur


SEJUKKAN luka yang melecur atau terbakar.

TIDAK meriah beraya tanpa letusan kecil mercun, meriam buluh dan percikan bunga api yang berbunyi kuat dan bersinar garang.

Namun, dalam kemeriahan bermain bunga api, khususnya dalam kalangan remaja, boleh bertukar tragedi.

Ini kerana malang tidak berbau. Tambah malang, anda mungkin menjadi mangsa akibat mercun sesat atau perbuatan orang lain yang bermain mercun bersebelahan rumah anda.

Justeru, anda harus ingat bahawa sesiapa saja berisiko sebagai mangsa kemalangan bunga api.

Larangan tidak memiliki, menjual atau membeli atau bermain sebarang mercun atau bunga api boleh dikenakan tindakan penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 di bawah Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) tidak diendahkan orang ramai.

Kenal pasti tahap kecederaan, rawat segera

Justeru, sekiranya anda mengalami kecederaan disebabkan bermain bunga api dan cedera, cuba praktikkan pertolongan cemas daripada laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan, www.myhealth.com.my.

Antaranya, kenal pasti jenis kecederaan dialami sama ada luka terbakar pada lapisan teratas kulit (epi dermis) atau merebak ke dalam dan merosakkan lapisan kedua kulit (dermis).

Lapisan kulit yang terkoyak akibat terbakar tidak boleh dibiarkan berlarutan berikutan berisiko mengundang jangkitan kuman.

Selain itu, mangsa kebakaran teruk akan kehilangan banyak air dalam badan dan mangsa boleh mengalami kesukaran bernafas. Berikan rawatan segera dan bawa mangsa ke klinik atau hospital berdekatan dengan segera.


KESAN serius akibat melecur boleh memudaratkan.

TIP AWAL BANTU MANGSA TERBAKAR

1. Hentikan punca kebakaran

2. Sejukkan luka lecur/bakar

- Jangan gunakan ais atau air berais kerana boleh menyebabkan kehilangan haba daripada badan.

- Anda boleh menggunakan tuala yang direndam dalam air, atau pakaian yang basah bagi kawasan yang tidak boleh direndam seperti muka.

3. Tutup luka lecur/bakar

- Jika luka lecur/bakar meliputi kawasan yang besar, tutup luka lecur/bakar dengan kain yang besar, bersih dan kering.

- Jangan pecahkan gelembung cecair yang terbentuk. Jika luka terbakar sangat menyakitkan atau semakin teruk, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan dengan segera.

GEJALA LUKA TERBAKAR PANDUAN SEMAK KESELAMATAN KEBAKARAN

Tahap pertama (first degree)

  • Hanya lapisan atas kulit (epi dermis).
  • Kulit berwarna merah, kering dan biasanya berasa sakit.
  • Kawasan lecur/bakar boleh membengkak.
  • Selalunya sembuh dalam masa seminggu tanpa meninggalkan parut.

Tahap kedua (second degree)

  • Juga membabitkan lapisan atas kulit.
  • Kulit berwarna merah, melecur dan terdapat gelembung cecair, menjadikan kulit kelihatan basah.
  • Kulit yang melecur/terbakar berubah warna.
  • Biasanya berasa sakit dan membengkak.
  • Jangka masa sembuh mengambil masa tiga hingga empat minggu.
  • Boleh meninggalkan parut.

Tahap ketiga (third degree)

  • Memusnahkan semua lapisan kulit dan boleh mencederakan struktur di bawah lapisan kulit -lemak, otot, tulang dan saraf.
  • Kulit menjadi perang atau hitam (hangus) dengan tisu di bawahnya kelihatan putih.
  • Tidak berasa sakit sekiranya saraf turut terbakar.

PANDUAN SEMAK KESELAMATAN KEBAKARAN

  • Disyorkan memasang alat pengesan asap di setiap tingkat. Tempat sesuai, iaitu pada siling, di dalam kurungan tangga, bilik tidur dan ruang tamu.
  • Pastikan ada dua laluan kecemasan dari setiap bilik dan semua penghuni tahu serta telah berlatih menggunakannya.
  • Jangan sekali-kali merokok sambil berbaring di atas katil semasa berada dalam keadaan mengantuk, mabuk atau setelah mengambil ubat berisiko menyebabkan mengantuk.
  • Gunakan bekas habuk rokok yang besar dan berat. Pastikan puntung rokok dipadamkan sepenuhnya sebelum dibuang.
  • Elakkan membuat penyambungan atau membebankan litar elektrik.
  • Letakkan mancis dan pemetik api di tempat tinggi supaya tidak boleh dicapai oleh kanak-kanak.
  • Bekas mengandungi cecair mudah bakar perlu disimpan di tempat jauh dan selamat dari punca api dan kanak-kanak.
  • Jangan biarkan sumber api seperti bunga api, mercun, dan lilin menyala tanpa diawasi orang dewasa walaupun sesaat dan jauhkan daripada kanak-kanak.
  • Anda disyor meletakkan satu unit alat pemadam api jenis debu kering ataupun jenis gas di rumah.

TIP KESELAMATAN BERMAIN BUNGA API

  • Patuhi undang-undang penggunaan bunga api.
  • Kenali jenis bunga api yang dimainkan, baca label amaran dan penerangan berkaitan sebelum menyalakan bunga api.
  • Orang dewasa bertanggungjawab semua aktiviti bunga api. Jangan sekali-kali berikan bunga api tanpa pengawasan kepada kanak-kanak.
  • Jauhkan bunga api daripada bahan bersifat alkohol. Ia boleh menyebabkan letupan.
  • Jika perlu, pakai cermin mata keselamatan ketika merakamkan pertunjukan bunga api.
  • Ketika nyalakan bunga api, bertindak dengan secepat mungkin dan cepat bergerak ke tempat selamat.
  • Bermain di kawasan lapang, jauh dari bangunan dan kenderaan.
  • Elak nyalakan semula bunga api yang 'tidak berguna'. Tunggu 20 minit dan kemudian rendam dalam sebaldi air.
  • Letakkan baldi air atau hos air di kawasan berdekatan tapak bermain bunga api.
  • Jangan menjalankan ujian ke atas bunga api buatan sendiri.
  • Jangan sesekali membawa bunga api dalam poket seluar anda atau menembaknya ke bekas kaca dan tertutup.
  • Melaporkan bahan letupan haram, seperti M-80, bom ceri, kebakaran atau kemalangan kepada polis.

Berita Harian X