Ahad, 26 Julai 2015 | 7:53am

Hapus sentimen kenegerian melampau

PADA jam 12.30 tengah hari, Ahad, 15 September 1963, Gabenor British terakhir Sarawak Sir Alexander Waddell dan isteri meninggalkan Astana Negeri. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada rakan dan rakyat Sarawak. Sebanyak 17 das tembakan dilepaskan.

Di atas bukit di Kubu Margherita, pancaragam polis Sarawak memainkan lagu Auld Lang Syne ketika kapal Loch Killisport yang dinaiki Wad- dell, lalu. Sesuatu yang amat menyentuh perasaan, apabila ramai yang melambai-lambai dengan sapu tangan putih di kedua-dua tebing Sungai Sarawak.

Kini, ada tuntutan supaya tarikh itu diraikan sebagai Hari Sarawak dan diisytiharkan cuti umum. Jika tarikh 22 Julai diisytiharkan cuti umum, maka Sarawak akan meraikan tiga cuti umum, termasuk 31 Ogos hari kemerdekaan dan 16 September, Hari Malaysia. Persoalannya, perlukah satu lagi cuti umum? Yang mana lebih penting, 22 Julai atau 16 September? Atau kedua-duanya sama penting?

Hakikatnya, tarikh 22 Julai itu tidak mungkin ada jika rancangan pembentukan Malaysia tidak digagaskan. Maksudnya, tanpa Gagasan Malaysia yang diumumkan Tunku Abdul Rahman, Sarawak tentu masih dicengkam penjajah British. Tarikh itu sebagai persediaan pemerintahan sendiri yang diberi oleh pihak British, apatah lagi sebahagian daripada kuasa masih dalam genggaman British pada ketika itu. Kuasa itu masih dalam tangan Gabenor British dan Baginda Ratu. Implikasinya, Sarawak belum lagi mendapat kuasa mutlak untuk mentadbir negeri ini.

Ketika menulis tiga biografi bekas Gabenor Sarawak, iaitu Tun Abang Haji Openg, Tun Abang Salahuddin, dan Tun Abdul Rahman Ya'akub, selain biografi pengasas Parti Negara Sarawak (PANAS), Datu Bandar Abang Mustapha, saya meneliti ribuan dokumen di Public Record Office di London, serta halaman akhbar tempatan mengenai bagaimana proses pembebasan Sarawak dan pembentukan Malaysia.

Tarikh 22 Julai adalah tarikh Gabenor British mengisytiharkan pelantikan Ketua Menteri Sarawak pertama, Stephen Kalong Ningkan serta pelantikan ahli Majlis Tertinggi yang merupakan Kabinet pertama Sarawak. Tun Abang Haji Openg dilantik sebagai Gabenor pada 16 September, di sebalik teka-teki dan tarik tali, ada tuntutan terutama di pihak British dan Kalong Ningkan untuk melantik Temenggong Jugah Barieng.

Mahu tarikh penting diiktiraf

Sebenarnya, 22 Julai adalah satu permulaan ke arah kemerdekaan sebagai persediaan bagi pemerintahan sendiri, kerana Sarawak sebenarnya hanya merdeka sepenuhnya pada 15 September 1963 sesudah Gabenor terakhir British Alexander Waddell meninggalkan Astana Negeri dan balik ke Britain. Bagi gerakan Sarawak untuk Orang Sarawak, tarikh itu perlu diiktiraf sebagai tarikh penting pembebasan Sarawak daripada cengkaman penjajahan British. Bagi mereka, dengan turunnya bendera Union Jack, maka berakhirlah penjajahan.

Tuntutan terhadap perlunya tarikh itu diiktiraf dan diraikan berlaku terutama selepas perubahan landskap politik tahun 2008. Sebelum itu meskipun ada tuntutan khususnya daripada pembangkang, namun diabaikan oleh pemimpin negeri. Tetapi perubahan sosiopolitik mengubah pendirian mereka. Mereka tidak lagi dapat berdiam diri, sebaliknya kelihatan perlu mengikut arus dan wacana yang diperjuangkan oleh gerakan tertentu.

Apa pun alasan supaya tarikh itu diarusperdanakan dan ditonjolkan, bagaimana mengisi kemerdekaan itu adalah jauh lebih penting. Kini, tuntutan mendapatkan autonomi yang lebih banyak semakin lantang disuarakan. Pemimpin mahu Sarawak diberi hak seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian 18 Perkara. Tuntutan supaya Sarawak dilayan dengan adil agar kemajuannya setaraf negeri maju lain, memang tidak salah.

Yang salah ialah menyemarakkan semangat nasionalisme kenegerian dan sentimen kewilayahan yang melampau, apatah lagi menuntut supaya Sarawak keluar dari Malaysia. Itu pendekatan yang tidak masuk akal, malah pendek akal. Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Sarawak dalam Malaysia banyak memperoleh manfaat meskipun masih banyak yang perlu diperbaiki.

Akui kesilapan

Tugas dan tanggungjawab itu bukan hanya terletak di tangan Kerajaan Pusat, tetapi juga kerajaan negeri, sesuai dengan sistem fede-

ralisme yang diamalkan. Jika ada kesilapan dan kelemahan sehingga berlaku kekurangan seperti didakwa, kesilapan itu tidak harus hanya diletakkan di bahu pemimpin Pusat. Pemimpin negeri juga turut bertanggungjawab dan perlu mengakui kesilapan itu. Dan inilah masanya bagi Ketua Menteri untuk memperbetulkannya. Menyemarakkan sentimen anti-Semenanjung memang tidak wajar. Menganggap Sarawak hanya untuk orang Sarawak, juga melampau. Bagaimana jika negeri di Semenanjung, bertindak balas, dengan turut kemukakan slogan masing-masing ala Sarawak untuk orang Sarawak? Seyogia diingat, kita hidup di bawah sistem federalisme.

Pemahaman mengenai sejarah dan sistem politik amat penting, tetapi buku berkaitan sejarah Sarawak, khususnya dalam bahasa Melayu tidak banyak ditulis dan diterbitkan. Generasi muda perlu didedahkan kepada fakta sejarah yang sebenarnya. Menyedari pentingnya pemahaman sejarah yang betul, persatuan sejarah dan sejarawan yang berminat terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan kemerdekaan Sarawak perlu membuat penyelidikan yang serius. Kita perlu bercakap berdasarkan fakta, bukan sentimen melulu bagi memastikan kita dapat bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa.

Berita Harian X