Ahad, 26 Julai 2015 | 12:10am

Pakar sejarah tolak syor S4S ubah tarikh Sarawak merdeka


DI Kuching Rabu lalu, gerakan menamakan diri mereka 'Sarawak untuk rakyat Sarawak' atau 'S4S' mengadakan perhimpunan dengan kerjasama Pertubuhan Dayak Iban Sarawak (SADIA), antara lain menuntut supaya tarikh 22 Julai diiktiraf sebagai hari kemerdekaan Sarawak dan mahu ia diisytiharkan cuti umum. Tetapi pakar sejarah Sarawak, Datuk Dr Sanib Said yang juga bekas Pengarah Muzium Sarawak bertegas menyatakan 22 Julai bukan tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak kerana penjajah British masih berkuasa di Bumi Kenyalang sehingga 15 September 1963. Malah beliau mengesahkan Sarawak menjadi sebuah negara hanya dalam tempoh kira-kira 20 jam. Wartawan BH Ahad, MOHD ROJI KAWI menemubual Dr Sanib Said dan penganjur 'S4S', Peter John Jaban untuk mendapat penjelasan lanjut.

Dr Sanib Said


DATUK Dr Sanib Said. - Foto Che Rani Che Din

S: Difahamkan Datuk ada membuat kajian mengenai tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan Inggeris dan apakah hasil yang diperoleh sepanjang kajian itu.

J: Saya membuat kajian mengenai tarikh sebenar kemerdekaan Sarawak sejak lebih 30 tahun lalu. Banyak sumber saya jadikan rujukan dan kini, hasilnya sudah saya peroleh yang jelas menunjukkan tarikh kemerdekaan Sarawak bukanlah pada 22 Julai 1963.

S: Boleh Datuk jelaskan lanjut.

J: Tanggal 22 Julai 1963 itu sebenarnya tarikh Sarawak mencapai status negara `berkerajaan sendiri', tetapi pemimpin tempatan masih terikat dengan arahan serta perintah daripada kuasa penjajah. Pada tarikh itu, Gabenor Inggeris terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddell, mewartakan pelantikan Stephen Kalong Ningkan (mendiang, Tan Sri) sebagai Ketua Menteri pertama Sarawak. Pada masa sama, Jawatankuasa Tertinggi atau Kabinet negeri dibentuk dan semua Menteri menerima watikah daripada Waddell. Berikutan pelantikan Ketua Menteri serta barisan Kabinetnya, pentadbiran Sarawak dijalankan oleh pemimpin tempatan termasuk Datuk Abdul Taib Mahmud (kini Tun) yang ketika itu memegang portfolio Komunikasi dan Kerja Raya. Tetapi kuasa perlembagaan masih dipegang oleh Gabenor Inggeris di peringkat negara Sarawak manakala kuasa tertinggi terhadap Sarawak masih lagi hak mutlak Ratu Elizabeth di London.

S: Ketika itu pentadbiran sudah diserahkan kepada pemimpin tempatan Sarawak, tetapi Datuk mengatakan Sarawak sebenarnya masih belum merdeka pada 22 Julai 1963.

J: Apabila kuasa tertinggi dan perlembagaan masih dipegang oleh penjajah Inggeris, kita tidak boleh menganggap kemerdekaan Sarawak berlaku pada tarikh itu. Ini kerana ketika itu, pemimpin tempatan dalam Kabinet iaitu Kalong Ningkan hanya menjalankan pentadbiran, namun Wadell masih berada di Kuching dan menjalankan tugas rutinnya sebagai Gabenor. Ini bermakna kita masih dalam pemerintahan mereka.


GABENOR Inggeris terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddell bersalaman dengan Gabenor Sarawak pertama, Datuk Abang Openg Sapiee, sebelum beliau meninggalkan Sarawak pada tengah hari 15 September 1963.

S:  Jika bukan 22 Julai 1963, bilakah tarikh sebenar Sarawak mencapai kemerdekaan daripada penjajah Inggeris.

J:  15 September 1963. Mengapa saya bertegas mengatakan tarikh itu?.  Sebabnya ialah Gabenor Inggeris terakhir di Sarawak, meninggalkan Bumi Kenyalang kira-kira jam 12 tengahari pada tarikh itu. Ketika itu, barulah kuasa perlembagaan British keluar sepenuhnya dari Sarawak. Namun, kewujudan Sarawak sebagai sebuah negara hanya berlaku dalam tempoh kira-kira 20 jam kerana pada jam 9 pagi 16 September 1963, Datuk Abang Openg Sapiee (Allahyarham Tun) yang diisytiharkan sebagai Gabenor menggantikan Waddell turut mengumumkan pembentukan Persekutuan Malaysia bersama Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Singapura. Kemerdekaan kemudiannya kita diteruskan bersama sebuah negara baharu, Malaysia.

S: Selepas Datuk membuat pendedahan hasil kajian itu, ramai pihak mengkritiknya. Apakah Datuk tetap dengan pendirian mengatakan tarikh 22 Julai bukanlah hari kemerdekaan Sarawak.

J:  Ya... saya tetap mengatakan tarikh kemerdekaan sebenar ialah pada 15 September 1963 iaitu sehari sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Saya membuat kajian ini sejak lebih 30 lalu dengan menjadikan pelbagai bahan sebagai sumber rujukan.  Apa yang saya temui ialah Sarawak memang masih dalam kuasa pemerintahan penjajah Inggeris pada 22 Julai 1963. Cumanya mereka melantik jawatankuasa pentadbiran dalam kalangan pemimpin tempatan sebagai proses peralihan untuk kemerdekaan yang sebenar. Gabenor kalangan rakyat tempatan juga hanya dilantik pada 16 September 1963, jadi macam mana kita boleh mengatakan Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963?.


GABENOR Inggeris terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddel, ketika menghadiri majlis terakhir beliau di Kuching sebelum meninggalkan Sarawak pada 15 September 1963.

S: Pembentukan Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Mengapa tidak diadakan sama tarikh dengan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos.

J:  Rancangan asalnya memang akan diadakan pada 31 Ogos 1963. Persiapan sudah dibuat dan Padang Merdeka di pusat bandar Kuching sudah dihias dengan cantik. Namun pada malam 30 Ogos 1963, pengganas dari Parti Komunis Kalimantan Utara bertindak mensabotaj sambutan itu dengan meletupkan bom di tengah bandar Kuching. Berikutan itu, pemerintah ketika itu meminda tarikh pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Peter John Jaban


PETER John Jaban. - Foto NSTP

S: Ada yang mengatakan 'Sarawak untuk Rakyat Sarawak' atau S4S disemarakkan bagi meniup semangat rakyat Sarawak untuk menuntut supaya keluar dari Malaysia, apakah itu benar.

J: Sesiapa pun boleh bercakap dan sesiapa juga boleh mengatakan itu (keluar dari Malaysia). Tetapi perhimpunan yang kami adakan sempena memperingati Sarawak merdeka pada tarikh 22 Julai (Rabu lalu) sama sekali tidak menyentuh isu itu. Saya dipanggil oleh polis dan disoal selama enam jam selepas perhimpunan itu. Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah mengucapkan kata-kata hasutan. Saya juga memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah berkata apa-apa mengenai pemisahan atau untuk membawa Sarawak keluar dari Malaysia.

S: Tetapi penganjuran perhimpunan itu seolah-olah membangkitkan sentimen rakyat Sarawak agar keluar dari Malaysia.

J: Jika kami dikatakan membangkitkan sentimen itu, ia sebenarnya silap. Seperti yang saya katakan tadi, terpulang kepada sesiapa saja untuk bercakap mengenai isu Sarawak keluar dari Malaysia. Kita tidak boleh menghalang orang untuk bercakap mengenainya, tetapi yang jelas saya atau jawatankuasa penganjur lain tidak menyentuhnya ketika perhimpunan yang dihadiri lebih 10,000 orang itu. Perhimpunan itu cukup bersejarah kerana ia lebih besar daripada majlis Hari Kemerdekaan rasmi anjuran kerajaan negeri di Petra Jaya. Peserta yang datang sanggup mengambil cuti kerja, menanggung sendiri perbelanjaan perjalanan untuk datang ke Kuching.

S: Jika bukan menuntut untuk membentuk negara Sarawak atau keluar dari Malaysia, apakah motif sebenar perhimpunan itu.

J: Kami mahu tarikh 22 Julai diiktiraf sebagai hari kemerdekaan Sarawak dan kami akan mengemukakan surat permohonan rasmi kepada Ketua Menteri (Tan Sri Adenan Satem) supaya mengumumkan tarikh itu sebagai cuti umum. Saya yakin rakyat Sarawak akan menyokong kerajaan negeri dan berharap kerajaan mendengar serta menyokong apa yang kami tuntut sebagai mewakili apa yang keseluruhan rakyat negeri ini mahukan.

S: Selain tuntutan untuk cuti umum, apakah lagi yang `S4S' mahukan daripada kerajaan.

J: Kami mahu satu perjanjian yang adil bagi negeri kami seperti yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kami mahu kawalan ke atas sumber-sumber kita sendiri terutama minyak dan gas, supaya kita boleh menyokong pembangunan kita sendiri. Kami juga menuntut agar kerajaan memasukkan sejarah kemerdekaan Sarawak dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah kerana ini akan memberi pengetahuan kepada anak-anak Sarawak mengenai sejarah kemerdekaan negeri mereka sendiri. Selain itu, kami juga menuntut penambahbaikan sistem pendidikan dan kesihatan di Sarawak. Tetapi yang paling utama kami menuntut royalti minyak dan gas, 100 peratus untuk Sarawak. Perhimpunan itu juga memberi mesej kepada Putrajaya bahawa kita (di Sarawak) diabaikan dan terlepas pandang terlalu lama terutamanya dalam Rancangan Malaysia.

S: Ada yang mendakwa perarakan dan perhimpunan S4S didalangi parti politik tertentu.

J: Kami berhimpun untuk melaungkan suara rakyat yang mengharapkan tuntutan mereka didengari oleh kerajaan dan apa yang kami lakukan ini tidak dipengaruhi unsur politik. Perhimpunan adalah saluran yang betul kerana ini suara rakyat. Jika kami menulis surat, adakah mereka yang berkenaan akan membacanya?  Kita tidak boleh sekadar mengharapkan Menteri atau wakil rakyat untuk menyampaikan suara rakyat ini kerana mereka semuanya sibuk berpolitik dan bergaduh sesama sendiri saja.

Berita Harian X