Sabtu, 25 Julai 2015 | 12:07am

Sakit mental: Lebih percaya bomoh daripada psikiatri


RAMAI pesakit mental didapati gagal mendapat rawatan sewajarnya berikutan tiada kesedaran dan kefahaman yang jelas mengenai penyakit ini sehingga menyukarkan proses pemulihan.

Inilah cabaran besar yang terpaksa dihadapi pakar perunding psikiatri khususnya di negara Asia berikutan budaya masyarakat di rantau ini yang lebih terpengaruh dengan kepercayaan mistik yang banyak dikaitkan dengan penyakit mental.

Bukan itu saja mereka sanggup membelanjakan beribu-ribu ringgit dan membuang masa yang banyak untuk mendapatkan rawatan, malah terpaksa melepaskan benda yang amat berharga kerana percaya dengan nasihat yang salah seperti yang berlaku terhadap ibu kepada dua anak yang menghidapi penyakit mental, Poh Kim Pheng, 74.

"Saya rasa sungguh menyesal membuang serbuk batu bulan yang diberikan seorang profesor ke Sungai Klang, Selangor yang kononnya dikatakan menjadi punca anak saya menghidap penyakit mental . Tapi nak buat macam mana, semuanya sudah terlambat. Nasi sudah jadi bubur," katanya.

Tindakannya ketika itu kerana mengikut nasihat seorang pengamal paranormal yang mendakwa serbuk batu bulan dibawa pulang dari Oxford, England mengandungi kuasa jahat sehingga menyebabkan dua anaknya jatuh sakit.

Mengimbas kejadian pada kira-kira 25 tahun lalu, serbuk batu bulan itu dihadiahkan kepadanya ketika bertugas sebagai Pegawai Saintifik di Jabatan Isotop Geokimia Universiti Oxford, England.


IBU kepada dua orang anak yang menghidap penyakit mental, Poh Kim Pheng.

"Perasaan ketika itu sudah tentu sangat bangga kerana saya memiliki serbuk batu bulan yang tidak ternilai harganya. Bagaimanapun pada suatu hari ada seorang pengamal paranormal dari Kanada yang juga sahabat saya mendakwa melihat makhluk E.T dalam serbuk batu itu.

"Anak lelaki saya pada ketika itu sudah mula menghidap penyakit skizofrenia dan anak perempuan saya turut mendakwa melihat benda itu. Rakan saya menasihati supaya membuang serbuk batu berkenaan.

"Jadi saya ikut nasihat dia dan buang ke dalam Sungai Klang. Lepas buang baru ada seorang lagi rakan beritahu sepatutnya saya tidak buang tapi hantar saja ke muzium," katanya.

Kim Pheng menyatakan ketika itu perasaan bercampur baur dan tidak dapat berfikir dengan tepat sehingga membuat keputusan sebegitu.

Selepas dibuang secara beransur-ansur anak lelakinya mula sembuh. Namun sehingga kini dia tidak dapat memastikan sama ada benar atau tidak batu tersebut menjadi punca masalah mental di kalangan anak-anaknya.

Kim mengakui pada waktu itu beliau mempunyai tahap kesedaran yang amat rendah mengenai penyakit mental, dan tidak pernah mendengar perkataan 'psikiatri'.

Anak lelakinya mula mengalami tanda penyakit mental pada usia 17 tahun ketika menuntut di Sekolah Tinggi Oxford.

"Anak lelaki saya beritahu dia dapat melihat benda di sekelilingnya menjadi besar dan pada masa sama badannya mula menggeletar. Saya bawa dia berjumpa dengan pakar mata dan pergi ke Australia untuk merujuknya kepada pakar tulang tetapi tiada perubahan yang berlaku.

"Kemudian saya mula membawa dia kepada bomoh kampung. Saya disuruh baling telur dan macam-macam lagi upacara pelik yang saya terpaksa lalui. Saya juga pergi ke kuil dan mana-mana tempat tradisional lain dan menghabiskan wang yang banyak.

"Walaupun sudah pelbagai usaha dan ikhtiar keadaan anak saya tetap tidak berubah... Selepas lima tahun berada di jalan yang salah, anak saudara saya mencadangkan untuk membawanya berjumpa pakar psikiatri. Pada mulanya saya agak ragu-ragu," katanya.

Kes seperti Kim adalah fenomena biasa dikalangan kalangan masyarakat khususnya di Asia yang banyak terpengaruh dengan kepercayaan mistik dan mempunyai stigma kepada pakar psikiatri.

Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia yang juga Pakar Perunding Psikiatrik Dr Andrew Mohanraj berkata, masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk berjumpa dengan bomoh dan bukannya pakar psikiatri.

Katanya, mereka bukan saja gagal memulihkan pesakit malah terpaksa menghabiskan ribuan ringgit bagi membayar perkhidmatan dan rawatan bomoh memulihkan penyakit yang didakwa berpunca daripada 'gangguan luar' ini.


PESAKIT mental memerlukan rawatan awal bagi proses pemulihan.

"Contohnya skizofrenia, masyarakat lebih percaya ia adalah disebabkan perkara mistik. Amat malang kerana pesakit dalam kes-kes sebegini gagal mendapat rawatan awal menyebabkan mereka lebih sukar untuk diubati apabila berjumpa pakar.

"Kepercayaan sebegini tidak ada asas yang saintifik tetapi kita tidak boleh abaikan peranan kerohanian... Sebab itu dalam pendekatan yang saya ambil selain daripada pengambilan ubat (bio), kaunseling ((psikologi) dan peranan keluarga (sosio), saya menambah pendekatan unsur kerohanian," katanya.

Dr Andrew menyatakan jika tiada unsur kerohanian, sukar untuk memahami penyakit mental ini dan tidak salah untuk mendapatkan bantuan daripada orang yang lebih mengetahui mengenai hal agama.

Penyakit Mental dan Pemulihan Mengikut Islam


PENSYARAH Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, seseorang itu boleh menjadi gila kerana ada gangguan jin dan dalam kes orang yang mengamuk biasanya berpunca daripada mengamalkan ilmu salah yang memakan diri sendiri.

Katanya selain daripada mendapat rawatan perubatan moden, pesakit juga disaran menggunakan rawatan alternatif iaitu perubatan Islam.

"Orang yang mengamuk ketika dirasuk perlakuannya seperti orang yang sakit mental iaitu meracau dan menjerit-jerit. Nampak gagah dan luar biasa, makan banyak sehingga satu talam pun boleh habis. Perlakuan ini akan berterusan jika tidak diubati.

"Oleh itu dalam perkara penyakit mental ini kita kena berubat dengan dua kepakaran iaitu perubatan moden dan Islam. Perubatan Islam banyak menggunakan ayat al-Quran yang mengamalkan zikir ruqyah (doa dan bacaan daripada al-Quran dan hadis) kepada pesakit, menyebabkan jin meronta dan seterusnya keluar daripada badan pesakit.

"Bagi pesakit mental biasa pula apabila dibacakan ayat al-Quran ini keadaan mereka macam biasa dan normal. Tiada tanda kehadiran jin maka ia mungkin berpunca daripada masalah saraf dan otak dan boleh dirawat menggunakan kaedah perubatan moden," katanya.

Beliau berkata tidak salah mendapatkan rawatan daripada bomoh yang mengamalkan ayat al-Quran, hadis dan zikir tetapi malangnya masyarakat Melayu lebih suka untuk pergi berjumpa bomoh yang menggunakan jampi dan mentera yang boleh menyebabkan syirik.

Bagi Pakar Psikiatri dan Ketua Jabatan, Jabatan Psikiatri Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Ramli Musa berkata, penyakit mental bukan sesuatu yang baru dalam dunia Islam malah wad psikiatri pertama di dunia ditubuhkan pada tahun 705 Masihi di Baghdad oleh ahli perubatan pertama di dunia, Al-Razi.

Al-Razi berpendapat penyakit ini adalah sebahagian dari penyakit perubatan yang memerlukan dirawat secara ubat dan kaunseling seperti psikoterapi.

Dr Ramli berkata, masyarakat sering membuat tafsiran yang salah rawatan Islam itu hanya merujuk kepada rawatan tradisional sedangkan hakikatnya rawatan moden menggunakan kaunseling, psikoterapi dan ubat-ubatan moden juga tergolong dalam rawatan Islam.

Katanya, Islam menyuruh umatnya mendapatkan rawatan apa cara sekali pun selaras dengan landasan ajaran Islam (halal dan toyyiban) termasuklah rawatan moden di klinik dan hospital atau alternatif yang berpandukan ayat al-Quran dan tiada unsur syirik serta pemujaan jin dan syaitan.

Tambahnya Islam tidak menolak teori bahawa seseorang itu mendapat sesuatu penyakit psikiatri seperti kemurungan dan Skizofrenia adalah disebabkan pelbagai faktor termasuk keturunan (genetik), cara didikan oleh ibu bapa, faktor personaliti, kelemahan iman dan kurang beribadat.

"Kajian saintifik membuktikan mereka yang mempunyai tahap keagamaan, amalan ibadat dalam Islam serta iman yang tinggi, melindungi seseorang daripada mendapat penyakit ini.

"Sebagai contoh seseorang yang kurang keimanan akan terjebak dengan masalah dadah, alkohol dan gejala sosial. Ia akan mendedahkan diri kepada tekanan emosi, stres dan bertindak luar batasan serta memudaratkan diri dan keluarga," katanya.

Dr Ramli berkata antara kaedah rawatan penyakit mental dalam rawatan Islam ialah melalui aspek bio (biologi) iaitu menerima dan memakan ubat yang dicadangkan oleh doktor selain aspek psiko-sosial melalui kaedah kaunseling, penerangan mengenai penyakit dan ubat-ubatan serta sokongan keluarga.

"Di samping itu elemen agama (spiritual) pula seperti mendekatkan diri dengan Allah. Membina semula keyakinan sahsiah diri menghadapi setiap cabaran dunia.

"Berdoa dan bersolat dapat mententeramkan jiwa yang kosong. Beberapa kaedah yang disarankan membantu proses pemulihan seperti rawatan melalui doa, terapi al-Quran, terapi sujud dalam solat serta kaunseling menggunakan nas ajaran Hadis , Sunnah dan tasawuf dapat membantu menyucikan hati," katanya.

IKUTI KUPASAN KEHIDUPAN PESAKIT MENTAL DI HOSPITAL BAHAGIA, TANJUNG RAMBUTAN, PERAK DALAM SIRI BERIKUTNYA HARI INI.

Berita Harian X