Jumaat, 24 Julai 2015 | 12:01am

Runsing wajah berkedut, kusam

SAYA berusia 40-an, runsing apabila muka nampak letih, kusam, garis halus pada sekeliling mata dan mulut. Apakah cadangan doktor untuk mendapatkan bentuk wajah yang sempurna sejajar dengan peningkatan usia saya?

Nurul Huda Malek,

Petaling Jaya, Selangor

Peningkatan usia menyebabkan permasalahan kulit yang melendut menjadikan kita kehilangan simetri wajah asal. Ia berlaku disebabkan kejatuhan lemak pada muka dan kehilangan kolagen semula jadi.

Ini menimbulkan masalah dikenali sebagai fat jowls iaitu keadaan lemak jatuh di bawah pipi. Kehadiran fat jowls menimbulkan kesan penuaan wajah yang ketara dan sukar disembunyikan dengan kosmetik. Kehilangan kolagen membuatkan kulit mengendur dan menyumbang kepada pembentukan fat jowls.

Kehadiran lemak pada kawasan rahang sebegini membuatkan wajah tampak kendur. Lemak berkumpul semakin lama semakin banyak menjadikan wajah dipenuhi garis penuaan.


KEHILANGAN kolagen membuatkan kulit mengendur dan menyumbang kepada pembentukan fat jowls.

Pada muka terdapat banyak salur darah dan saluran limfa. Ini bermakna sebarang luka atau calar pada muka lebih cepat sembuh berbanding sel kulit pada bahagian lain. Muka kita disokong oleh struktur tulang yang nipis.

Apabila salur limfa tersumbat, sel lemak akan terperangkap dan tidak dapat bergerak. Ini kemudian menyebabkan salurannya tersumbat, lemak akan berkumpul pada muka dan akan nampak berat serta melendut ke bawah.

Rawatan yang sesuai fat jowls

1. Botox

Kebanyakan orang begitu risau dengan Botox. Ada berpendapat Botox akan memburukkan muka dan boleh mengubah paras wajah. Botox ialah jenama bahan yang mengandungi Botulinum Toxin Type A, yang ditemui oleh Dr Justinus Kerner, pada tahun 1820.

Pada 1950-an, Dr Vernon Brooks, dari Montreal, Kanada mendapati Botulinum Toxin Type A boleh melemahkan otot secara sementara. Pada 1980-an, seorang doktor pakar mata, Dr Alan B Scott, merawat spasm kelopak mata. Beliau mendapati pesakit yang dirawat dengan Botox, akan membuatkan semua garis halus pada sekitar mata akan hilang.

Justeru, Botox boleh membantu dengan menyuntik pada kawasan berkedut khususnya dahi, tepi dan sekitar mata serta mulut, selain kedutan pada leher.

Botox boleh melemahkan otot yang menyebabkan kedutan. Ia juga membantu mencegah perkembangan dan mendalamkan kedutan.

2. Fillers

Fillers antara kaedah mengisi ruang kosong pada wajah. Ia didapati dalam bentuk Hyaluronic acid, yang menyerupai tisu di bawah kulit dihasilkan secara sintetik. Fillers menggunakan lemak yang diambil daripada badan sendiri mempunyai kelebihan berbanding Fillers Hyaluronic acid kerana lemak mengandungi stem sel yang boleh menyerikan kulit.

Fillers lemak atau fat dan Hyaluronic acid akan mengisi ruangan `hilang' akibat proses penuaan. Ia banyak digunakan di kawasan pipi terutama di tulang pipi supaya kelihatan lebih bulat, membentuk dagu, menghilangkan lingkaran bawah mata, bibir yang nipis atau tidak simetri dan pada hidung untuk menampakkan batang .

3. Thread Lift (menggunakan benang khas mudah resap)

Teknik ini adalah inovatif yang mengagumkan dalam dunia perubatan aestetik. Teknik ini mengangkat kembali muka tanpa pembedahan atau kesan parut. Pemeriksaan rapi perlu dilakukan oleh doktor untuk memulakan rawatan ini. Kebiasaannya, kulit kendur perlu dirawat dengan fillers lemak atau Hyaluronic acid untuk mengisi ruang kosong dan selepas itu jika masih kendur, bolehlah mencuba kaedah threadlift.

Pada dasarnya, rawatan Botox dan fillers boleh dilakukan untuk mereka berusia seawal 20-an, manakala threadlift, untuk mereka berusia 40 tahun ke atas.

Berita Harian X