Sabtu, 20 September 2014 | 12:16pm

Muktamar PAS gagal tonjolkan usia sebenar perhimpunan - Mahfuz


DARI KIRI: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din; Timbalan Presiden PAS, Mohamed Sabu dan Datuk Mahfuz Omar berbincang sesuatu pada hari ketiga Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Parit Raja , Batu Pahat, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

BATU PAHAT: Walaupun Muktamar Tahunan PAS sudah memasuki usia ke-60, namun pemikiran dan sikap dalam kalangan perwakilan parti itu masih gagal menampakkan usia sebenar perhimpunan ahli PAS terbesar yang sudah melepasi separuh abad itu.

Perkara itu diluahkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini, sebentar tadi.

"Ini muktamar ke-60... dah 60 kali la tuan-tuan kan? Saya mahu semua khususnya pimpinan parti di semua peringkat negeri untuk kita bangunkan pemerkasaan parti, bukan saja dalam pengurusan pentadbiran organisasi tetapi dalam pembinaan dan pemikiran ahli.

"Tahun ni kita dapat 15 kawasan nak bentang usul tetapi usul berkenaan tidak mencerminkan usia PAS dalam konteks muktamar ke-60 ini.

"Ini perlu tuan-tuan pikir. Adakah ini adalah sesuatu kegagalan atau kelemahan kita dalam membina pemikiran yang jitu, yang mantap untuk melihat segala persoalan dalam persekitaran masyarakat kita," katanya.

Mahfuz turut meluahkan kekecewaan terhadap usul yang dibawa oleh perwakilan di peringkat negeri dan menganggap ahli parti seolah-olah tidak mempunyai ilmu dalam memperjuangkan dasar parti.

"Usul yang dihantar kepada kita ditulis begitu saja. Macam usul dalam muktamar zaman 60-an. Tidak menggambarkan usul... hanya bersifat cadangan, itu pun depa (mereka) hantar. Tetapi tidak apa, kita terima saja. Namun apa yang saya nak tegur, apa yang saya nak luahkan di sini adalah usia muktamar kita dah 60 tahun tetapi kita masih berada pada tahap seolah-olah kita tidak tahu apa-apa...kosong!," katanya penuh tegas menyebabkan seluruh dewan riuh.

Beliau turut menegur sikap beberapa perwakilan yang tidak mengambil bahagian dengan baik dalam sesi perbahasan sepanjang muktamar berkenaan.

"Saya juga agak kecewa dengan usul-usul yang harus dibahaskan secara lebih baik tetapi tidak diambil bahagian oleh perwakilan. Usul yang kita nak lihat daripada persoalan dan isu-isu besar yang sedang berlaku dalam negara kita.

"Usul ni tak kisahlah nak bantai UMNO boleh, nak bantai kerajaan BN (Barisan Nasional) pun boleh.. tapi tak nak bantai pula. Pasai dah puas dok bantai sesama sendiri kan?," katanya.

Dewan muktamar semakin rancak dengan seluruh dengan menyahut ucapan Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Inilah yang tak sepatutnya berlaku dalam kalangan kita. Tu sebabnya saya minta, 60 tahun usia muktamar PAS ni... kita tunjukkan kematangan ahli PAS walaupun kita baru dalam parti," katanya.

Berita Harian X