Ahad, 19 Julai 2015 | 3:44pm

Banjir kilat di Janda Baik akibat hujan lebat berterusan

KUANTAN: Beberapa rumah dan sembilan kawasan rekreasi di kawasan peranginan popular di Janda Baik dinaiki air selepas air sungai naik mendadak akibat hujan lebat berterusan hampir lima jam hari ini.

Pemangku Pengerusi Belia Janda Baik, Mohd Azman Abu Naim, 34, berkata hujan lebat sejak jam 5 pagi ini menyebabkan air di tiga sungai di sekitar Janda Baik iaitu Sungai Cheringin, Sungai Lampin dan Sungai Kuali naik mendadak sebelum bertemu di Pulau Santap.

Katanya, ia mengakibatkan pusat rekreasi di sekitar sungai tersebut dan Pulau Santap melimpah sehingga memasuki beberapa buah rumah penduduk kampung yang terletak berhampiran kawasan itu.

"Sebuah jambatan ke tanah persendirian turut runtuh akibat arus deras selain menyebabkan sebahagian kampung terputus bekalan air bersih kerana paip patah dilanda arus," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, pengusaha chalet Mohd Ridzwan Mohd Arif, 30, berkata beliau membuat keputusan memindahkan sebuah keluarga yang sedang bercuti ke rumah saudaranya yang terletak di atas bukit selepas chalet itu dinaiki air.

Katanya, keluarga itu terlebih dahulu menyelamatkan diri dari chalet tanpa membawa barangan mereka selepas melihat air naik dengan cepat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Kereta pelanggan juga mengalami kerosakan kecil. Kolam ikan yang dibina di kawasan chalet juga habis dilimpahi air menyebabkan ikan terlepas," katanya.

Mohd Ridzwan berkata, ini adalah kali pertama chaletnya dinaiki air selepas tiga tahun mengusahakan chalet berkenaan.

- BERNAMA

Berita Harian X