Selasa, 14 Julai 2015 | 12:10am
AEON menawarkan lebih 80 pilihan rekaan baju kurung dan jubah. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KOLEKSI Raya AEON 2015 menampilkan ciri tradisional dan klasik. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Koleksi sedondon di pagi Aidilfitri


KOLEKSI hari raya AEON menampilkan rekaan untuk seisi keluarga.. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SETIAP kali menjelang lebaran, fesyen sedondon semakin menjadi pilihan terutama yang sudah berkeluarga bagi menyerlahkan penampilan menarik dan penuh gaya pada hari raya.

Bukan hanya mengenakan pakaian daripada rona yang sama, malah ada kalanya seluruh ahli keluarga memakai baju yang dibuat daripada material dan corak yang sama.

Menyedari ia menjadi aliran fesyen semasa setiap kali Aidilfitri, pusat beli-belah AEON menampilkan kelainan untuk koleksi hari raya tahun ini apabila memperkenalkan rekaan untuk seisi keluarga.

Pengurus Kanan Bahagian Barangan AEON Co (M) Bhd, Wahida Ahmad, berkata setiap tahun pusat beli-belah berkenaan menyediakan koleksi pakaian untuk keluarga daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa.


KOLEKSI Raya AEON 2015. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Katanya, bagaimanapun tahun ini ada kelainan apabila pihaknya memberikan lebih banyak pilihan terutama kepada keluarga yang mahu kelihatan sedondon di pagi raya apabila mereka boleh mendapatkan semuanya di AEON.

"Daripada koleksi untuk ibu, bapa hinggalah anak lelaki dan perempuan yang mahu kelihatan sedondon semuanya boleh didapati di AEON.

"Bukan sekadar mengikut aliran fesyen terkini tetapi setiap koleksi yang kami tawarkan menjanjikan keselesaan dan keharmonian, selain harga yang mampu dimiliki iaitu bermula dari RM59 hingga RM159," katanya kepada media baru-baru ini.


PELBAGAI pilihan warna Koleksi Raya AEON 2015. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Selesa ikut cuaca

Beliau berkata, sepanjang musim perayaan ini, AEON menawarkan lebih 80 pilihan rekaan menarik baju kurung dan jubah daripada jenama Puteri untuk wanita, 30 pilihan jenama JKids untuk kanak-kanak dan 15 pilihan baju Melayu untuk lelaki daripada Guy's Vision.

Wahida berkata, pemilihan fabrik jenis kapas, crepe dan rayon untuk memastikan keselesaan kepada pemakainya bersesuaian dengan cuaca di negara ini.

"Selama 30 tahun AEON bertapak di negara ini, kami sentiasa mahu memastikan keselesaan kepada pelanggan terutama ketika musim perayaan penting seperti ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai menghargai pelanggannya juga, AEON turut bekerjasama dengan jenama pakaian dalam wanita terkemuka, Triumph untuk memberikan khidmat nasihat percuma dengan setiap pembelian pakaian daripada jenama Puteri.

"Bagi setiap pembelian pakaian jenama Puteri, pelanggan akan diberikan nasihat secara percuma mengenai pakaian dalam bersesuaian untuk dikenakan dengan baju pilihan mereka bagi memastikan keselesaan sepanjang hari.

"Setiap pembelian juga melayakkan mereka untuk menerima sehelai seluar dalam jenama Triumph secara percuma," katanya.


SEBANYAK 30 pilihan jenama JKids untuk kanak-kanak - Foto Nur Adibah Ahmad Izam


KOLEKSI sedondon raya AEON 2015 sesuai untuk ibu dan anak. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Rekaan klasik

Sementara itu, Wahida berkata, tahun ini juga AEON turut mengadakan kolaborasi dengan pereka fesyen muda tempatan, Noorbaity Abd Hadi menerusi koleksi rekaannya Betty Hardy by Jedan yang boleh didapati di AEON Bandar Utama, MidValley, Bukit Indah, Tebrau City dan Wangsa Maju.

"Ini adalah cubaan terbaharu bagi AEON untuk memberi peluang kepada pereka muda dan berbakat bagi mengetengahkan rekaan mereka yang bukan saja menarik tetapi eksklusif kepada pelanggan setia kami," katanya.

Katanya, koleksi Betty Hardy berkenaan disifatkan unik kerana selain menampilkan ciri tradisional dan klasik, ia juga mementingkan keselesaan kerana setiap rekaan dihasilkan daripada fabrik yang bersesuaian dengan cuaca panas di negara ini.

"Selain itu, ia juga menjadi sasaran kami di AEON untuk muncul sebagai peneraju pasaran bagi kategori pakaian tradisional di negara ini," katanya.

Berita Harian X