Selasa, 14 Julai 2015 | 12:09am

Kalori makanan istimewa Aidilfitri

SAMBUTAN Aidilfitri pastinya dimeriahkan dengan kunjungan saudara mara yang jauh atau dekat, rakan taulan serta jiran tetangga.

Kedatangan tetamu pastinya disambut dengan pelbagai juadah tradisional yang enak dan menyelerakan.

Biasanya, antara makanan popular sering menjadi pilihan ketika sambutan Aidilfitri adalah lemang, ketupat, rendang, lontong dan pelbagai kuih-muih beraneka rasa.

Menurut Pengamal Perubatan, Dr Khairul Idzham Abdul Khalid, dalam keseronokan menyambut Aidilfitri, kita masih bijak memilih makanan dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Pengambilan makanan yang tidak terkawal boleh menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak selain meningkatkan risiko penyakit kronik.

"Oleh itu, kita perlu sentiasa mengekalkan berat badan sepanjang musim perayaan. Makan secara sihat akan membantu kita menikmati makanan semasa musim perayaan tanpa menjejaskan kesihatan.

"Menurut Panduan Diet Malaysia, saranan pengambilan kalori bagi orang lelaki dewasa berumur 18 tahun hingga 59 tahun adalah 2000 kkal/sehari.

"Manakala bagi wanita dewasa dalam julat umur yang sama, mereka dinasihatkan memastikan pengambilan kalori sekitar 1500 kkal/sehari," katanya kepada BH baru-baru ini.

Jenis makanan tradisional dan jumlah kalori

1. Ketupat nasi / nasi impit (seketul kecil)

Berat: 50 gram

Kalori: 80 kkal

2. Ketupat pulut (palas) (sebiji)

Berat: 50 gram

Kalori: 130 kkal

3. Lemang (sepotong)

Berat: 30 gram

Kalori: 100 kkal

4. Rendang Ayam (dua potong kecil)

Berat: 50 gram

Kalori 100 kkal

5. Roti jala dan kuah kari (tiga keping, satu mangkuk kecil)

Berat: 90 gram

Kalori: 150 kkal

6. Sate Ayam (lima cucuk)

Berat: 50 gram

Kalori: 200 kkal

7. Soto ayam (semangkuk)

Berat: 490 gram

Kalori: 520 kkal

8. Kuah kacang (satu senduk)

Berat: 50 gram

Kalori: 130 kkal

9. Laksa Johor (semangkuk)

Berat: 250 gram

Kalori: 330 kkal

10. Lontong dengan sayur lodeh (semangkuk)

Berat: 250 gram

Kalori: 260 kkal

11. Mi kari (semangkuk)

Berat: 410 gram

Kalori: 530 kkal

12. Pelbagai jenis kuih raya (sebiji)

Berat: 10 gram

Kalori: 50 kkal

13. Kek berkrim (sepotong)

Berat: 60 gram

Kalori: 240 kkal

14. Minuman berkarbonat (segelas)

Kalori: 130 kkal

15. Minuman jus (segelas)

Kalori: 60 kkal

16. Kopi O/Teh O (segelas)

Kalori: 20 kkal

17. Air kosong (segelas)

Kalori: 0 kkal

18. Air Kordial (segelas)

Kalori: 40 kkal

19. Air Kotak (sekotak)

Kalori: 140 kkal

20. Tapai Pulut (sebungkus)

Berat: 50 gram

Kalori: 80 kkal

INFO

Tujuh panduan makan secara sihat pada musim perayaan

1) Makan dalam saiz hidangan atau kuantiti yang kecil.

2) Pilih makanan yang rendah kalori seperti buah-buahan serta makanan yang kurang minyak, lemak dan santan.

3) Pilih makanan yang tinggi serat untuk mengelakkan sembelit.

4) Hadkan pengambilan makanan yang manis dan berlemak seperti dodol.

5) Pilih buah-buahan segar sebagai snek atau pencuci mulut.

6) Hadkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam seperti kerepek.

7) Minum air kosong berbanding minuman berperisa berkarbonat atau minuman yang manis.

Berita Harian X