Sabtu, 11 Julai 2015 | 12:00am

Kafe istimewa untuk penggemar kopi


DUA beradik, Muhammad Shaffiz Ab Rahim dan Muhammad Firdhaus Ab Rahim bersama menu di kafe TheCoffeeAddict (TCA). - Foto Shiraz Ali

MEMANDU dalam cuaca panas membuatkan tekak mudah haus dan menginginkan minuman dingin. Mungkin lebih bagus jika dapat meneguk kopi yang dipercayai dapat memulihkan rasa mengantuk selain mengecaj semula tenaga.

Bagi yang merancang pulang ke ibu kota melalui Alor Gajah, disyorkan singgah sebentar di kafe TheCoffeeAddict (TCA) bagi menikmati kopi sedap resipi eksklusif dua beradik, Muhammad Firdhaus Ab Rahim dan Muhammad Shaffiz Ab Rahim.

Menamakan kopi istimewa itu CoffeAddict bersempena nama kafe itu, menurut Muhammad Shaffiz, antara cara penyediaan ia perlu diadun menggunakan kaedah titisan (dripping) sebelum dicampur krim.

"Bagi penggemar kopi pekat dan keras, boleh meminta lebih kuantiti serbuk kopi manakala yang sukakan rasa lebih ringan dan kurang menyengat, selalu mahukan lebih campuran krim. Bagi rasa seimbang, kami akan pastikan sebatian kopi dan krim sama banyak," katanya memberitahu mengambil masa seminggu untuk tampil dengan formula kopi unik itu.

Katanya, kopi berkenaan enak dihirup panas selepas menikmati masakan Barat seperti spageti carbonara, fettuccine carbonara, pasta di samping pencuci mulut; kek dan biskut.

"Kafe ini baru beroperasi awal Mei lalu namun sambutan diberikan terhadap kopi ini amat memberangsangkan. Sama seperti roti bakar AG (Alor Gajah) yang mula mengumpul penggemar tersendiri," katanya mengenai kopi yang menawarkan harga RM4 secawan manakala tambahan seringgit untuk bancuhan sejuk.

Begitupun, bagi memenuhi cita rasa pelbagai, kafe dengan enam pekerja itu turut menyenaraikan beberapa kopi popular dan menjadi kegemaran sedunia antaranya espreso, kopi O, kopi hazelnut, latte, moca, cappucino, standard Frappe atau Frappe bersama krim serta sirap sementara minuman lain adalah coklat, teh susu, teh lemon termasuk diramal disukai ramai, teh lemon pudina.


TENAGA kerja kafe The Coffee Addict. - Foto Shiraz Ali

Sejajar konsep, Muhammad Shaffiz tidak menolak TCA lebih mengutamakan menu Barat yang difikirkan sesuai disaji bersama kopi. Selain pasta dan spageti, pelanggan ke kafenya turut berselera menikmati sandwich, kentang digoreng nipis, kepak ayam goreng serta kek coklat, tiramisu dan sicillian orange.

Namun, menjelang hujung minggu, TCA menyelitkan nasi lemak dimakan bersama pilihan sambal ikan bilis atau kepak ayam.

"Istimewanya, nasi lemak ini menitipkan resipi turun temurun tempat kelahiran saya, Bukit Rambai. Sambalnya cukup segala masam dan pedas mengikut cara masakan orang Melaka. Rasa masam mungkin disebabkan sedikit asam jawa yang turut diselitkan dalam ramuan," katanya yang menawarkan harga RM2.50 bagi sepinggan nasi lemak manakala pelanggan hanya perlu membayar RM5 jika memilih set nasi itu bersama kopi CoffeeAddict.

Katanya, dia menerima banyak permintaan untuk menjadikan nasi lemak sebagai menu harian namun belum terlintas berbuat demikian berikutan tidak menang tangan.

Suasana santai mengikat pelanggan

Melangkah ke TCA seolah menjejakkan kaki ke kafe di Manhattan, Seoul dan Geneva yang mengutamakan hiasan dalaman santai lagi mendamaikan.

Di sebelah kiri pintu masuk disediakan rak buku memuatkan pelbagai bahan bacaan disusuli kaunter kaca mengisi kek dan biskut juga ruang membancuh minuman.

Tempat duduk selesa dan hiasan dinding ala retro menyerlahkan gaya santai cuba diketengahkan. Muhammad Shaffiz tidak menafikan hiasan dalaman ditonjolkan itu senjata utama dalam menarik pelanggan terutama bagi yang berkeluarga.


PEMILIK The Coffee Addict, Muhammad Shaffiz Ab Rahim. - Foto Shiraz Ali

"Saya mahu pelanggan makan dan minum dalam keadaan santai dan ketika berada di sini, melupakan seketika segala masalah yang membelit. Saya mahu mereka menikmati hidangan sambil mentelaah buku manakala yang datang bersama anak-anak kecil, boleh melakukan aktiviti menyeronokkan bersama menerusi permainan catur, jengan dan pelbagai permainan lain yang disediakan," katanya berhasrat menambah lebih banyak menu seperti chicken chop, fish and chips serta nasi Arab.

INFO

TheCoffeeAddict Cafe

* Taman Bandar Baru, Simpang Empat, Alor Gajah, Melaka

* Waktu Operasi: 4 petang hingga 4 pagi

* Antara menu: Aneka jenis kopi, selain nasi lemak enak, makanan Barat, nasi Arab dan roti bakar

Berita Harian X